Wednesday, November 27, 2013

Rumah idaman dan hal-hal masa depan.



Gambar ini saya cilok dari laman Twitter orang Indonesia. Berkenan sangat tengok rumah macam ini. Saya belum ada rumah sendiri. Mungkin satu masa nanti. Rumah idaman saya cuma macam ini. Rasanya tak mampu nak bayar mahal-mahal untuk sebuah rumah teres yang mencapai harga ratusan ribu. Rumah apartment? Boleh, tapi saya selalu membayangkan nanti di masa tua saya, rumah saya dikelilingi pokok-pokok hijau sebab semasa muda, saya memang menyukai hutan dan tumbuh-tumbuhan.

Kenapa perlu ada platform di hadapan tu? Sebab saya sukakan langit, saya sukakan sejuk malam. Mungkin malam, kita dan kawan-kawan boleh minum kopi bersama-sama. Saya hidang kuih muih untuk mengisi perut tetamu sebelum pulang ke rumah. Atau mungkin bersama anak-anak mengira bintang malam. Itu kalau saya berjodohan dengan seseorang dan mempunyai anak-anak. Saya mahukan anak-anak yang mencintai alamnya, seperti saya di masa muda 'dulu'. Jodoh saya, kalau tidak mencintai alam tidak apa. Biar dia pulang ke rumah cuma untuk beristirehat, pinggirkan soal kerja di siang hari. Yang pasti bila pulang ke rumah, dirinya cuma milik keluarganya. Biar sejuk alam memeluk dirinya supaya lebih sabar dan lupakan dulu amarahnya di siang tadi. Atau, kalau dia juga mencintai alam, mungkin ini hadiah Tuhan paling bermakna buat saya. Tapi, kalau ada juga perbezaan yang jauh, biarlah perbezaan saya dan dia itu adalah titip cinta Tuhan kepada kami supaya saling melengkapi. Aneh ya perasaan begini. Seingat saya, saya belum pernah bercerita hal jodoh di dalam blog saya.

Tapi harga binaan kayu dah mahal kan sekarang?





Thursday, November 7, 2013

Perihal 2: Rumah Koff, rumah penuh cinta.

Perempuan itu masih di situ. Dia sedang duduk menghadap tingkap. Hari ini sudah masuk hari ketiga dia di situ. Kerusi yang didudukinya adalah sebuah kerusi Inggeris yang kami beli dari sebuah jualan gudang. Kerusi yang kusyennya kami telah gantikan, kusyen lama sudah rosak tetapi struktur sokongan kayunya masih bagus. Kami beli dengan harga RM10.00 sahaja. Di hadapannya ada sebuah meja kayu, juga meja terpakai. Kelihatan ada 2 buah buku dan 2 batang pen. Ada sebuah telifon genggam yang sedang bersambung 'tenaga'. Katanya, namanya Lili, sedang melancong di sekitar daerah ini. Dia menyewa katil backpacker kami tetapi dia dilihat lebih banyak masanya di kerusi itu.

'Boleh kan saya duduk di sini 2-3 hari lagi? Saya kemaskini bayaran setiap hari. Rumah Koff ini sangat selesa. Rumah saya pun tidak seperti ini.'

Dia memesan segelas kopi setiap 4 jam. Di sisinya sentiasa ada sebotol mineral untuk minuman tambahan. Sudah 3 hari berkampung di Rumah Koff, dia memesan makanan seperti jadual makan seorang manusia biasa. Cuma yang pelik, dia banyak menghabiskan masa di kerusi Inggeris itu. Tetapi kami sudah boleh menerima keadaan, ramai manusia pelik di dunia ini. Kadang-kadang dia dilihat seperti mencatat sesuatu, kadang-kadang seperti membelek-belek telifon genggamnya dan kadang-kadang dia seperti termenung jauh. Kami pekerja saling berpesanan, agar memberi perhatian kepada Lili. Takut-takut sesuatu di luar jangkaan boleh berlaku.

'Saya sudah 72 jam tidak tidur. Saya tidak dapat tidur. Mungkin minum kopi terlalu banyak. Tetapi saya selesa dengan keadaan ini.'

Matanya kelihatan sembap, seperti baru menangis. Esok masuk hari keempat, mungkin esok matanya masih kelihatan begitu. Dia membersihkan diri seperti biasa. Ada tandas pancur Rumah Koff sediakan di bahagian belakang. Setiap kali lepas mandi, wajahnya kelihatan segar. Sejam tadi, dia mencuci pakaiannya dengan menggunakan mesin basuh kami sediakan. Selepas menjemur pakaiannya, dia duduk setengah jam di bawah cahaya matahari di samping kawasan ampaian. Pakaian tetamu nampaknya banyak tengah 'bersidaian' di luar itu, mungkin kerana semalaman hari semalam hujan turun tidak berhenti. Rumah Koff kalau jam-jam begini memang agak sunyi. Tetamu lain mungkin sedang berada di mana-mana kawasan pelancongan di daerah ini.

'Saya okay, jangan bimbang. Saya cuma mahu berehat.'

Malam ini, kami seperti agak sibuk. Hari Jumaat memang kerap menerima pengunjung yang datang makan malam di sini. Nasiblah cuaca agak baik, persembahan musik akustika berjalan lancar seperti biasa. Kami lihat Lili seperti sedang berteman. Ada seorang lelaki duduk di sebelah dan sedang memandang tepat ke arah Lili. Lili sedang mengamati persembahan musik, manakala lelaki itu seperti sedang mengatakan sesuatu. Kawan kenalan mungkin.

'Hebat persembahan akustika tadi, saya rasa terhibur. Oh, lelaki itu? Hmm..Dia kawan saya. Dia memarahi saya kerana menyimpan perasaan terhadap dia. Sedangkan dia menganggap saya hanya sekadar kawan yang rapat. Saya banyak berdiam dan biarkan dia bercakap. Salahkah saya menyimpan perasaan terhadap dia? Kenapa dia beria-ria memarahi saya? Saya sekadar meluah perasaan saya tetapi tidaklah berniat untuk memiliki sebuah hubungan cinta dengan dia. Cuba awak fikir, dia melayani saya dengan baik. Kadang-kadang dia mengirimkan bait lagu cinta kepada saya. Saya mulanya tidak ada perasaan sebab saya tahu dia ada kekasih hati. Sebenarnya, ada beberapa kali kami keluar bersama. Katanya, kekasih hatinya tahu saya keluar bersama dia. Kekasih hatinya tidak kisah. Saya katakan pada dia, 'Awak perlu kisah dengan kekasih yang tidak kisah kekasihnya keluar bersama dengan perempuan lain.' Satu malam, saya bertanya soal hati kepadanya. Dia tak menafikan perasaan itu, cuma saya pelik dalam tempoh sejam dia seperti berubah rasa. Aneh ya. Dan, tadi dia datang memarahi saya.'

Kami terasa aneh dengan butir kata Lili. Tetapi mungkin ini cuma salah faham. Betul katanya, salahkah menyimpan perasaan terhadap seseorang? Menyimpan dan meluah rasa tidak semestinya mahu  membina hubungan cinta. Tetapi kami yakin lelaki semalam itu ada isunya sendiri. Kalau tidak ada rasa, kenapa mahu melayan Lili begitu rupa? Anehnya cinta. Yang aneh, bila cinta itu berpusing-pusing keadaannya. Lili mahupun lelaki itu sudah pasti adalah manusia-manusia yang mahu dicintai dan mencintai.

Pagi itu, perempuan Lili itu sudah tidak kelihatan di kerusi Inggeris itu. Barang-barangnya juga sudah tidak ada. Ada sehelai memo di atas kaunter pertanyaan Rumah Koff, ringkas tulisannya.

'Cinta itu ada satu tuju dan dua perkara;mencari persamaan,dan menghormati perbezaan.'
Rumah Koff, rumah penuh cinta.
Salam sayang, Lili.

Yang lagi aneh, kami menemui 3 buah botol ubat batuk yang sudah kosong di bawah meja yang 'dihuni' oleh Lili selama beberapa hari.



Wednesday, November 6, 2013

Konversasi Terdalam (1)

'Boleh pinjam bahu?'

'Kenapa? Awak nak menangis?'

'Tidak. Saya cacah tatu dekat bahu awak.'

'Err...ok. Nak buat gambar apa?'

'Saya nak 'buat' gambar ikut bentuk hati saya yang baru renyuk sebentar tadi.'

Friday, November 1, 2013

Perihal 1: Sebuah malam di Rumah Koff.

Malam itu, rooftop Rumah Koff didatangi oleh ramai pengunjung. Kami bikin acara bertajuk 'Berdirinya Saya di Sini...'. Acara ini ialah acara pengucapan bebas. Kami sudah membuat hebahan besar-besaran sebelum ini dan menjemput beberapa orang kenamaan dan sahabat handai yang terdekat. Acara begini hanya dilakukan sebulan sekali. Oh ya, kami baru sahaja beroperasi semenjak 5 bulan yang lepas. Apa itu Rumah Koff? Rumah Koff ialah separa kafe, separa perpustakaan, separa tempat tinggal backpacker dan juga separa untuk tempat santai. Apa yang kami lakukan semuanya berprinsipkan perniagaan. Setakat ini, kami mempunyai 10 katil double decker untuk sewaan backpacker dengan kadar RM15.00 semalam, tanpa breakfast. Tiada bilik tidur cuma dihadang oleh langsir yang panjang. Cuba bayangkan anda bersantai di dalam kafe disertai dengan rak-rak buku? Ah, begitulah. Tawaran makanan dan minuman kami sangat berbaloi. Kami juga menyediakan perkhidmatan membuat acara-acara tertentu di bahagian rooftop Rumah Koff kami. Berbalik kepada acara pengucapan bebas.

Sebuah motor 125z diletak di atas pentas kecil. Lampu di sorot ke ruang berkenaan. Semua meja kerusi tetamu sudah dipenuhi. Pelayan part time Rumah Koff sedang sibuk menghantar makanan yang dipesan. Ada ruang santai di hadapan pentas kecil itu. Tetamu boleh duduk bersila di atas karpet yang disediakan. Kami juga ada menyediakan bantal-bantal besar yang mengandungi bahan kekabu. Kelihatan peserta satu-satunya malam itu sudah naik ke atas pentas. Mikrofon sudah tersedia untuk 'dijamah'. Namanya Nasirun Bin Abdillah. Kedengaran sorakan oleh teman-temannya. Ada 2 orang YB politik sudi bersama kami malam itu. Mereka masing-masing datang bersama isteri. Tiada arak kami sediakan. Yang paling sedap ialah air buah-buahan. Nasirun sudah bersedia dengan ucapan beliau.

'Hobi saya sememangnya membuang masa dengan motor saya. Keluar dan lepak bersama teman-teman di malam minggu. Orang panggil kami, Mat Rempit. Mula-mula kami kisah dengan gelaran ini kerana menurut filem rempit di pasaran, mat rempit sinonim dengan gejala yang buruk. Puas mulut kami menafikannya, tetapi apalah sangat yang boleh dibuat. Mulut celupar biarkan saja. Lagipun gejala buruk bukan milik mutlak komuniti kami. Yeahh!!'

Sorakan memecah malam. Suasana sejuk melilit badan. Kami, tenaga Rumah Koff memerhatikan segenap ruang rooftop itu. Lampu-lampu kecil dipasang keliling, meja dan kerusi untuk tetamu yang ingin menjamah makan malam, kami letakkan di tepi. Di atas setiap meja, kami letakkan gelas berisi sumbu dan api. Macam konsep candle light dinner, sambil mendengar acara ini. Pengunjung di ruang tengah yang duduk di atas karpet juga kelihatan selesa. Ada yang memesan kudapan ringan. 

' Selamat malam YB-YB yang sudi datang bersama isteri. Assallamuallaikum dan salam sejahtera saya ucapkan kepada hadirin yang sudi hadir datang mendengar saya berucap pada malam ini. Terima kasih kepada Rumah Koff yang menjemput saya. Nama saya Nasirun, saya wakil kawan-kawan yang sukakan motor dan kerap membuat bising di jalan-jalan utama di daerah kita yang cantik ini. Malam ini, saya diberi peluang untuk berucap di atas pentas ini. Akhirnya, ada juga pihak yang sudi mendengar luahan isi hati kami.

Tidak dapat dinafikan, golongan mat rempit selalu terlibat dengan macam-macam masalah. Tetapi pernahkah hadirin terfikir untuk mendekati kami? Secara kasarnya, kebanyakan dari kami cuma pekerja-pekerja sektor biasa. Ada yang bekerja sebagai penghantar surat, operator kilang, buruh biasa dan macam-macam lagi. Untuk ke tempat kerja, kami menggunakan motor sebagai pengangkutan utama. Ada juga di antara kami terdiri daripada pekerja di dalam sektor profesional, cuma menjadikan motor sebahagian dari keperluan untuk merewang-rewang bila tengah malam bosan tidak tahu hendak berbuat apa. Hendak ke kedai, pakai motor, senang hendak park, senang mencelah di dalam kesesakan lalu lintas dan macam-macam lagi. Kalau kita tinjau pekerja yang bergaji murah, hanya motorsikal yang mampu dimiliki. Berikutan dengan harga belian minyak yang sudah naik, motor ialah keperluan utama kami untuk ke tempat kerja. 

Kami juga mempunyai keinginan seperti pemilik kereta yang lain. Kalau anda sanggup berikat perut membuat maintenance kereta, kami juga seperti itu. Anda dengan kereta anda, kami dengan motor kami. Kami tak pernah mempersoalkan kadar gaji anda berapa dengan menghasilkan kereta make-up serupa kereta lumba anda itu. Tetapi ada di antara kalian yang memandang rendah dengan usaha kami untuk menghasilkan motor yang laju dan dibuat lumba bila di jalan raya. Berlibur di malam minggu, begitu? Anda main kereta, kami main motor. Adil tak adil? Kami juga seperti anda, ada crowd sendiri. Suka keluar lepak-lepak tengah malam, mungkin kami nampak mendominasi keadaan di kedai-kedai mamak. Negara kita masih ramai yang terdiri daripada golongan yang tidak berkemampuan memiliki kereta. Apa ingat kalau kami bergaji besar, nak pakai motor lagi? Kami pun ada nafsu seperti teman-teman semua.

Kami sudah imun ditahan di dalam sekatan jalanraya oleh pihak polis dan JPJ. Tidak dapat dinafikan, ada yang gagal ujian air kencing, tidak memiliki lesen motor dan macam-macam lagi kesalahan. Cuma kebetulan, pihak berkuasa kerap membuat sekatan di malam minggu di mana kami kerap memilih malam minggu untuk pergi berlibur di jalanraya. Hari biasa ialah hari bekerja, badan tak larat hendak berembun malam. Maklumlah bekerja di dalam sektor yang lebih banyak berada di luar pejabat. Perlumbaan motor di jalanraya ialah satu hiburan bagi kami yang tak mampu untuk masuk ke pusat-pusat hiburan. Kalau anda terhibur dengan gelekan gegadis di dalam kelab malam, kami pula terhibur untuk membelah larut malam dengan perlumbaan. Kadang-kadang kami tak berlumba, cuma kami suka untuk meronda-ronda bersama kawan-kawan. Dulu-dulu naik basikal, keliling kampung. Mat-mat yang bawa kekasih meronda malam itu, itu hak mereka. Yang tak ada kekasih, layan motor, layan lap. Kemalangan motor juga adalah perkara biasa. Kami juga tahu, mati itu pasti. Cuma kadang-kadang kita dengar, bila mat motor menyusahkan pengguna jalanraya yang lain. Padahal, pengguna jalan seperti pemandu kereta juga tak kurang hebatnya bila seperti merasakan jalanraya itu bapa mereka yang punya.

Kalau anda pergi ke negara Indonesia, penunggang motosikal tidak memakai topi keledar langsung. Pengguna jalanraya di sana lebih bertolak ansur dan sentiasa memberi perhatian ketika di jalan raya. Mereka sedar, tidak semua rakyat mampu untuk memiliki sebuah kereta mobil. Lagipun, kadar macetan atau kesesakan lalulintas di kota mereka adalah sangat menggerunkan. Jadi, motorsikal adalah pengangkutan paling efisyen untuk mengelak dari macet. 

Pernahkah teman-teman terfikir untuk memikirkan apa yang ada pada kami yang rata-rata berpendapatan kecil dan sederhana? Motorsikal juga agen pencari rezeki untuk kami, cuma kadang-kadang ada di antara pengguna motorsikal ini yang terlibat dengan macam-macam gejala. Media cuma suka menumpukan perhatian kepada golongan kami. Padahal golongan lain juga lagi teruk sikapnya seperti terlibat dengan rasuah dan menjadi musuh nombor 1 negara. Kalau kami terlibat dengan rasuah, takanlah masih mahu menunggang motor cabuk lagi? Tak ada posmen yang mahu menghantar surat ke rumah antara dengan menggunakan kenderaan seperti kereta dan van. Nampak tak takdirnya sebagai ahli masyarakat yang kaya dan tidak kaya?

Walau apa pun labelan anda, ianya tidak mengubah nasib kami bagaimana. Gaji kami tetap rendah, cukup makan dan pakai. Kalau rajin sedikit, bolehlah menambah pendapatan dengan melakukan kerja-kerja tambahan. Terima kasih dengan peluang berucap ini. Semoga anda mendapat manfaat dari perkongsian ini. Assallamuallaikum'.

Sesi soal jawab bersama penonton pun bermula. Nasirun tetap tenang menjawab sebarang soalan. Yang menarik, setiap kali beliau selesai menjawab soalan yang dilontarkan, sorakan pasti bergema. Malam di Rumah Koff diteruskan lagi dengan persembahan nyanyian dan musik akustika oleh rakan-rakan Nasirun. Malam itu milik mat-mat rempit. Pengunjung yang datang rata-rata yang telah memenuhi jemputan kami, dari badan-badan NGO dan kerajaan, orang perseorangan serta 2 orang ahli politik yang dipanggil YB. 

Esok paginya, YB Lee menelefon kami. Butir katanya seperti mahu menaja acara pengucapan awam untuk bulan depan pula. Tambahnya dia mahu menjemput rakan-rakan politiknya untuk datang 'berlibur' di Rumah Koff.

'Saya bosan dengan protokol dan majlis-majlis rasmi. Saya mahu entertainment macam inilah. I punya wife pun suka. Tak perlu set-set rambut. Bagi tau apa you orang perlu. Saya sponsor. You orang punya makanan, kasih sedap lagi.'


Thursday, October 31, 2013

Salam ulangtahun untuk mu.

Sebentar lagi ulangtahun usiamu; bertambah setahun,
Entah siapa dirimu,
Aku pinta beberapa perkataan melambangkan ‘kamu’.
Kau memintaku menulis puisi buat kamu.
Kamu tahu apa yang paling susah tentang menulis puisi?
Aku pilih; hal-hal mengadun rasa.
Aneh ya, menulis tribut harijadi seseorang yang dikenali lewat laman Twitter,
Ini kali pertama bagi aku.

Begini;
Usiamu bertambah, itu biasa
Cuma aku ingin nasihat, bersabar saja apa pun mendatang; lagi-lagi usia mu yang masih muda.
Rebel, agresif, pasif, melawan saja tahunya, mungkin juga seorang yang manis,

Kata Bapa Rhoma;
Masa muda  ialah masa yang berapi-api, yang tahunya mahu menang sendiri. Walau salah tak peduli.

Aku juga pernah muda seperti kamu, banyak hal-hal aneh yang aku lalui,

Pertama; jangan sangat melayan rasa, seperti aku yang pernah bertahun-tahun membuang rasa, padahal aku boleh saja menjadi manusia super pada zaman itu; Super itu, aku saja yang tahu

Kedua; Terus bermimpi. Tapi jangan tidak bangun dari bermimpi. Makin banyak mimpi, makin banyak usaha perlu dilakukan

Ketiga; Hatimu bakal diusik oleh kata-kata yang tidak menyokongmu, agak selalu, tapi nasihatku SELALU TEGUH, JANGAN MELAWAN, TAPI HARUS PANDAI MEMILIH KEADAAN

Keempat; Kalau mahu melawan, pastikan penuh ilmu. Tiada ilmu, carilah ilmu. Melawan dengan berani, bukan pengecut di belakang-belakang manusia lain.

Kelima; 21 ialah kunci kebebasan, itu kata Barat. Bagi aku, tiada kebebasan mutlak di dunia ini. Pastikan kau letakkan Tuhan di atas segala-galanya.

Hal terakhir; ialah hubungan mu bersama teman-teman. Musuh itu tetap ada, tetapi jangan mencari masalah. Lari dari masalah ialah salah satu jalannya, mungkin jalan yang sopak, sesekali boleh diguna. Kau tidak sesekali dilahirkan untuk memuaskan hati teman-teman yang jalang jalannya.

Nah, puisi ini panjang. Tolak mana yang tidak  patut berada di mata hatimu.

Satu hal yang indah, yang pasti, aku doa moga Allah selalu menuntun hatimu ke jalan yang benar.

Salam ulangtahun. Manis selalu.
Untai salam buat ibumu.


Janji Taukeh.

Ada sebuah kedai kopi, lebih kurang terletak di simpang tiga dari 3 buah kampung. Pagi itu, kebetulan 3 orang ketua kampung duduk bersemeja sambil minum kopi dan makan ubi rebus. Pada jam 10 pagi nanti, mereka ada mesyuarat dengan wakil dari pejabat daerah.

‘Saya penyokong kuat kerajaan! Saya yakin sama kerajaan yang sedang memerintah. Minta zing, dapat zing. Minta tangki dapat tangki. Walaupun 5 tahun sekali pun kami sudah cukup bersyukur!’ kata Ketua Kampung,  Kampung Selatan.

‘Ahhh! Macai kerajaan. Baru dapat tangki, zing, sudah bersyukur paling tinggi. Saya ni nama saja dilantik jadi ketua kampung oleh kerajaan, tetapi saya tidak pernah mahu menyokong kerajaan.  Apa dia bagi, kami ambil. Itu undi rahsia. Mana ada tawar duit, kami pergi ambil. Siapa tidak mahu duit percuma? Itu semua duit rakyat!’ balas Ketua Kampung,  Kampung Barat.

‘Sudah 50 tahun, itu jalan 3 simpang masih pakai tanah merah. Anak-anak kita ada sudah masuk universiti. Saya dan kamu ada 3 orang anak di universiti. Harap bila mereka keluar mereka boleh lakukan sesuatu untuk kampung kita. Kita sudah tua, tapi jalan tanah merah masih belum berubah.’ Ketua Kampung, Kampung Utara membalas ringkas. Ketiga-tiga pasang mata melihat 3 buah jalan di hadapan kedai kopi tersebut.

‘Biasalah tok ketua semua, ini politik mana ada yang bagus. Saya tidak kisah siapa yang memerintah. Janji saya masih terus berniaga. Tuan penghulu semua dan orang kampung masih sudi datang ke kedai kopi saya.’ Kata pemilik Kedai Kopi Simpang Tiga.

‘Kau mesti peduli apa yang berlaku di sekeliling kita taukeh. Ini gula naik, minyak naik, semua naik. Saya mahu kahwin lagi satu pun tidak dapat. Phuiii! Bukan main itu perempuan demand mau buat besar-besaran. Nasib bini saya, dia punya mama bapak kaya. Kalau harap jawatan ketua kampung saya ni, menang gaya sajalah.’ Balas Ketua Kampung, Kampung Selatan.

‘Saya sudah ajar anak-anak buah saya, itu geng-geng diorang sana bandar tetap mahu tuntut Perkara 20. Perjuangan tetap diteruskan. Kami yakin perubahan besar. Anak saya pun, sudah saya pesan untuk sama-sama berjuang kelak!’ Ketua Ketua,  Kampung Selatan memesan lagi segelas kopi Kedai Kopi Simpang Tiga. Taukeh Kedai ke dapur melihat-lihat pekerjanya. Pengunjung makin ramai.

‘Malas saya. Saya rasa saya kena ubah style saya menjaga kampung saya. Tidak tahan saya service kereta hilux saya tu ribu-ribu sekali ejas. Ini jalan tanah merah bikin panas. Kalau masa hujan, tiada-tiada tu hilux. Bagus kasi bersadai di rumah daripada rosak.’ Jawap Ketua Kampung, Kampung Utara.

‘Saya ada cadangan ala-ala permainan. Siapa menang, saya sanggup bagi hasil 5 petak sawah sama Ketua Kampung yang menang selama satu musim.’ Cadang Taukeh Kedai Kopi Simpang Tiga. Apa dia?, sahut Ketua Kampung, Kampung Utara.

Kita ada 1 bulan lagi sebelum pergi mengundi pilihanraya umum.  Saya ada kenalan Kilang Batu Kerikil di daerah sebelah. Saya cadang anak-anak kampung dari kampung-kampung tuan semua bina jalan batu kerikil. Setiap hari saya akan panggil lori berisi batu kerikil untuk datang ke sini. Anak-anak kampung boleh mengambil batu kerikil tersebut dan tabur atas jalan tanah merah kampung tuan-tuan. Siapa yang paling awal siap dan cantik, saya sedia tawar hadiah seperti yang saya janji.

‘Apalah sangat 5petak sawah?? Ini kita mahu pilihanraya, orang politik akan datang bagi janji. Nanti lepas menang, pasti janji ditunaikan. Buang masa saja rancangan kau ni, taukeh. Tak begitu Ketua Kampung Selatan?’

‘Betul tu Ketua Kampung Barat. Tapi belum tentu janji ditunaikan. Apa saja wakil politik bagi, kita ambil. Tak kiralah mana-mana wakil kan? Ini kalilah Pesta Pilihanraya. 5 tahun sekali saja.’ Balas Ketua Kampung Selatan.

‘Saya setuju dengan cadangan taukeh. Demi hilux saya, saya sahut cadangan ini. Lagipun offer 5 petak sawah itu sangat bagus. Kampung saya tidak ramai bersawah. Ini kampung Barat dan Selatan tak hairanlah, kampung kamu subur. Sekarang musim penghujan, nanti pergi mengundi payah dengan jalan tanah merah.’

Akhirnya ketiga-tiga ketua kampung bersetuju. Pada minggu pertama, anak-anak buah kampung masing-masing begitu bersungguh-sungguh.  Jarak masing-masing ke simpang tiga itu ialah 2 kilometer. Tetapi hujan kerap turun pada sebelah petang.  Bila hujan sudah turun, masing-masing akan balik ke rumah. Ada juga yang datang ke Kedai Kopi Simpang Tiga untuk makan minum. Masuk minggu ketiga, ketua kampung Barat dan Selatan sibuk ke sana ke mari untuk ikut badan-badan politik berpolitik. Ketua Kampung Utara tidak berapa sihat tapi masih memantau anak-anak buahnya menyiapkan jalan kerikil  yang masih berbaki  800 meter. Tenaga kerjanya tidak ramai seperti kampung sebelah. Akhirnya hari mengundi pilihanraya pun tiba, maka berakhirlah pertandingan membina jalan kerikil di antara ketiga-tiga ketua kampung tersebut.

Kampung Selatan dan Barat tidak dapat menghabiskan usaha mereka, masih berbaki 1kilometer. Anak-anak kampung mereka ramai yang pergi bekerja bersama parti politik semasa 2 minggu akhir sebelum pilihanraya. Ketua Kampung Utara senyum simpul, kerana kampungnya telah berjaya memenangi pertandingan ini.

‘Walaupun saya yang menang ini pertandingan, tetapi siksa juga saya menumpang kereta jenama Kancil anak saya pergi mengundi minggu lepas. Hilux saya tiba-tiba meragam. Mujurlah jalan sudah bagus, kalau tidak, mungkin cepat saya bongkok tiga.’ Ketua Kampung, Kampung Utara menyedut kirai sambil memandang jauh ke hadapan Kedai Kopi Simpang Tiga itu. Dia bangga dapat menyiapkan jalan kerikil tersebut bersama anak-anak buahnya. Jalan masuk ke kampung sebelahnya, masih bertanah merah. Dia memerhati pelanggan kedai kopi itu. Ah, yang kakinya berselut tanah merah atau tayar keretanya juga berselut merah sudah pasti kampung sebelah. Dia memerhati pengunjung yang lain, sederhana saja kotornya. Sudah pastilah mereka ialah anak-anak buah aku.

‘Abang, bila masa kita ada petak sawah?’ Bisik isteri taukeh Kedai Kopi Simpang Tiga kepada suaminya.

‘Shhh. Kau diam saja. Saya dah hutang 50% berguni-guni beras dari kampung sebelah. Ingatkan tok ketua yang seorang ni tak mampu nak siapkan. Kita memang tak ada sawah pun, tapi kita ada akal. Lagipun pendapatan kedai kopi kita makin bertambah. Emas kau dah bertambah. Tengoklah masa proses buat jalan tu, tak menang tangan kita.’


Tuesday, October 15, 2013

Pegawai Bayang Hitam

'Ini bilik konsultansi terakhir, bermaksud sebelum awak dijatuhkan hukuman selepas mendengar pertuduhan awak yang lepas dan awak telah didapati bersalah, awak mesti diberikan konsultansi peringkat akhir. Ada apa-apa soalan sebelum kita mulakan seisi ini?'

Saya memandang lesu, seperti ada point di atas meja kayu ini. Mata saya dipanah oleh cahaya lampu yang berwarna kuning. Sakit dan pedih mata saya ini, tetapi kesakitan itu seolah-olah sudah saya imun. Air mata mengalir di pipi disebabkan mata terasa pedih. Saya diam, ada sedikit perasaan ingin menangis. Tetapi menangis ini sudah berkali-kali saya lakukan sebelum ini. Saya sudah tidak ingat, emosi bagaimana boleh mengeluarkan air mata. 

'Saya sudah disabitkan kesalahan. Hukumlah saya secepatnya. Saya sudah penat. Hendak berfikir pun penat. Kadang menyedut udara juga, saya terasa seperti penat bukan kepalang. Apa lagi tinggal untuk saya?

Air mata mengalir, mata terasa pedih dengan tujahan cahaya. Kadang mata saya bergerak-gerak, cuma sekadar melihat ruang kosong di atas meja kayu di hadapan saya. Dulu mata ini, selalu melihat keindahan alam. Ke gunung, ke laut, ke udara.. ke mana-mana saja. Mata ini ditemani oleh teman-teman panca indera yang lain. Teman-teman lain juga sudah 'mati'. Kini mata ini hanya mampu melihat 'kosong'. Sekejap, sekurangnya mata ini masih mampu mengesan kuningnya lampu, pedihnya terkena tujahan cahaya dan masih mengalirkan air mata. Sekurang-kurangnya saya masih ingat keadaan mata saya. Tubuh saya longlai, bukan kerana tidak makan. Tetapi saya sudah hilang daya untuk hidup. 

'Awak tahu apa hukuman yang akan diberikan kepada awak?'

Tanya bayang gelap itu. Mata saya masih tertancap ke tengah meja kayu. Hanya ketika mula-mula sampai di penjara ini, saya melihat pegawai penjara kemas berpakaian lengkap. Entah. Saya sendiri tidak pasti sudah berapa lama saya di sini. Apa-apa pun sudah tidak penting untuk saya.

'Semua manusia akan mati. Lambat atau tidak. Sama seperti awak.'

'Haha! Awak ini manusia apa? Teringin benar untuk mati. Apa awak dah buat untuk diri awak sendiri sebelum mati? Adakah awak sudah menjalankan tanggungjawab yang patut awak buat sepanjang menjadi manusia? Berapa banyak awak dah buat?' 

Saya tertawa kecil sambil menggeleng-geleng kepala. Untuk apa mengenang diri sendiri? Mengenang hal-hal silam. Saya sendiri malu melihat diri saya di dalam kotak fikiran saya. Mata saya layu semula, saya mula memikirkan sesuatu. Apa sebenarnya terjadi kepada saya, sampaikan saya jadi seperti ini? Kotak ingatan saya aktifkan. Macam di dalam wayang gambar, tiba-tiba saya melihat ada paparan bergerak sedang tertancap di dinding bilik itu. Saya melihat diri saya di dalam sana. Oh, begitu rupanya saya ketawa bila saya sedang bergembira bersama ahli keluarga di dalam perayaan hari raya. Saya melihat ibu dan bapa, duduk berdua-dua sedang tersenyum kepada saya. Di kerusi lain, ada adik beradik saya, sedang berebut-rebut merasa juadah.  Slide ditukar, ada paparan lain. Oh! Itu rupanya wajah saya ketika saya sedang mengerjakan sesuatu di dalam komputer. Seriusnya wajah saya. Saya ingat, ini tahun akhir saya di universiti. Tiba-tiba rakan sebilik saya menghadiahkan sebiji kek berlilin kepada saya. Iya, hari itu ialah hari jadi saya. Slide ketiga, kenapa saya nampak seperti murung di situ? 

'Ini bahagian-bahagian hidup awak ketika awak dilanda masalah. Masalah bercampur gaul. Hal keluarga, hal belajar, hal dengan teman-teman. Segalanya berkemuncak ketika awak mengalami kerugian di dalam perniagaan. Tiada siapa pun bersama awak. Bila awak diisytiharkan muflis, awak akhirnya memilih untuk mati. Masihkah awak ingat, apa benda yang selalu awak nak lakukan tapi tak jadi-jadi juga? Awak selalu berjanji untuk melakukan hal ini sehingga berjaya.'

'Apa kaitan soalan awak itu dengan sesi konsultansi terakhir ini dengan hukuman yang bakal saya lalui?'

'Sekadar mengingatkan' katanya. Saya nak ingatkan apa lagi. Yang saya ingat, semenjak kecil lagi saya teringin menjadi seorang penulis. Saya pernah mempunyai tulisan di atas kertas kajang berwarna biru nila. Saya kecewa bila mendapat tahu kertas-kertas itu telah dibuang oleh mak saya. Saya menulis lagi, kali ini saya rajin menulis puisi, selari dengan peningkatan usia dan perasaan saya di zaman remaja. Buku itu juga hilang. Saya meningkat dewasa, saya makin kerap membaca. Saat saya dilanda ribut perasaan, saya penuhi masa lapang dengan membaca. Saya sejak kecil lagi berazam mahu menjadi seorang penulis. Saya rasa, hanya melalui imaginasi, saya terus menerus akan gembira. Ya, hanya melalui itu sahaja.

'Soalan terakhir, sekiranya diberi peluang kali terakhir, apakah peluang yang awak inginkan sekali lagi?'

Saya senyum memandang pegawai bayang hitam itu. Menggeleng-geleng kepada, sudahlah hendak dijatuhkan hukuman, boleh lagi pegawai ini menguji-uji hati saya. 'Saya nak hati yang baru, kehidupan yang baru.' Kata saya. Sekadar menganggap ini semua sekadar mempermainkan perasaan saya. Tapi, apasalahnya. Sekurang-kurangnya kali terakhir ini saya sempat bermimpi lagi untuk kehidupan yang baik-baik.

'Baiklah, sebelum awak meninggalkan kami, saya akan memberikan awak hati yang baru. Ini ialah prosedur kami di sini iaitu melaksanakan hasrat pesalah sebelum dihukum. '

'Diberikan hati yang baru? Dah nak mati pun awak nak beri lagi? Awak ni kelakarlah pegawai bayang hitam.'

'Kami memang kelakar. Kelakar ini, sikap yang datang dari hati awak sendiri. Awak lupa, awak seorang yang kelakar sebelum mengambil keputusan untuk menarik nyawa sendiri?'

Saya semakin bingung. Tiba-tiba bahagian tubuh sebelah kiri saya berdenyut dasyat sekali, seperti ada sesuatu yang sedang ditarik keluar. Sakitnya bukan kepalang, saya melihat darah membuak-buak keluar dari perut saya. Nafas saya terasa sesak, seperti udara dari paru-paru saya sedang disedut keluar. 

'Awak akan menghadapi situasi kesakitan ini dalam sedikit masa lagi. Seperti akan mati, tetapi belum mati. Kami bukan malaikat pencabut nyawa untuk mencabut nyawa awak.'

'Habis kau siapa? Kenapa buat aku macam ini???' Kesakitan saya ini amat memeritkan.

'Awak sedang berada di dalam penjara imaginasi awak sendiri. Sesi konsultansi ini ialah monolog dalaman awak bersama hati dan fikiran awak sendiri. Awak dihukum mengikut permintaan awak sendiri, dan nampaknya awak boleh menerima diri awak sebenar bila sebenarnya awak masih mampu membuat impian untuk hidup yang lebih baik. Saya ialah hati awak. Hati awak, akan diganti. Tetapi saya tetap bersama awak. Jumpa lagi bila dah sihat. Bye.'

------------------------------------------------------------------

Entah. Mata saya menangis lagi. Saya memandang ke atas, ada kipas siling yang sedang berputar laju. Mata saya terkedip-kedip. Sakit masih bersisa. Entah apa sedang terjadi. Saya meraba perut bahagian sebelah kiri tubuh saya. Panas tetapi seperti ada cecair. Saya melihat tapak tangan saya, yang panas dan cecair itu rupanya darah. Saya bingkas dari pembaringan. Saya terkejut ada seketul hati manusia di atas katil saya. Saya melihat perut saya, seperti tiada apa-apa yang cedera. Habis tu, siapa punya hati manusia di atas katil saya ini???

Sunday, September 1, 2013

Sulaiman, Laki-Laki Senteng.

'Sekarang saya hendak menulis buku sampai tahap boleh difilemkan!' katanya penuh semangat. Laki-laki yang sering dituduh senteng itu tiba-tiba bangkit dari kerusi plastik yang hampir patah itu. Bau bakau menyengat tenggorok. Air laut sudah sampai ke paras betis manusia. Air sedang pasang. Entah kenapa laki-laki itu digelar senteng. Atau manusia sekelilingnya sebenarnya kumpulan manusia yang tidak berguna kepada dirinya sendiri.

'Aku juga ingin menjadi Tarzan! Tapi versi penjaga hutan bakau. Hari ini saja, aku sudah menanam 60 biji benih pokok bakau. Hutan kita ini sebenarnya sudah musnah! Kalau tsunami nanti, senang-senang kampung kita hilang! Kalau  satu hari 60 biji aku boleh tanam, sebulan kita boleh dapat 1, 800 batang pokok yang baru. 1 biji bersamaan dengan 1 batang pokok bakau untuk masa depan kamu. Aku tanam pokok bakau, orang panggil aku senteng.' Kelmarin tadi, laki-laki senteng itu dilihat terbongkok-bongkok sedang mengutip benih bakau dari hutan paya bakau itu. Ada sekarung guni sedang disandangnya. 

Saya dengar laki-laki senteng bernama Sulaiman ini merupakan lulusan universiti di dalam bidang perhutanan. Mengikut cerita orang kampung, Sulaiman ini menjadi senteng selepas kepalanya tertimpa oleh dahan pokok durian ketika berjalan mencari buah durian di sekitar rumahnya. Sebelum itu, Sulaiman cuma lelaki biasa. Tidak pernah dilihat sendirian seperti sekarang. Saya tertarik untuk membuat dokumentari kecil tentang diri Sulaiman sebagai tugasan terakhir pengajian saya.

--------------------------------------------------------------------------------------------

Sarjan Foong memandang jauh ke luar pejabatnya. Tadi baru usai melihat beberapa rakaman visual yang dilakukan oleh pelajar komunikasi media tahun akhir bernama Asri itu. Pagi tadi, dia bertanyakan beberapa soalan kepada Sulaiman Laki-Laki Senteng itu. Asri dikhuatiri hilang semasa membuat rakaman tentang Sulaiman dan hutan bakaunya. Kata Sulaiman, Asri mungkin disembunyi oleh hantu hutan. Budak bandar dan terpelajar macam Asri mana biasa masuk hutan bakau macam itu. Yang tinggal cuma, beg yang berisi kamera perakam, buku catitan, alat tulis, dompet yang tidak berusik dan sebuah botol minuman. Sulaiman dilihat seperti kebingungan, kepalanya berbalut kerana luka. Seperti pernah dipukul, tetapi Sulaiman memberitahu kepalanya luka kerana terjatuh.

Sarjan Foong, memainkan semula rakaman visual peninggalan Asri di dalam laptopnya.

------------------------------------------------------------------------------------------------

'Aku hairan kenapa orang kata aku senteng? Aku tahulah aku bukan orang berharta, aku cuma ada segulung ijazah. Itupun payah nak cari kerja. Aku cuma tanam biji benih bakau, salahkah?'

'Bila aku bagitau dekat Ali, aku nak tulis buku, dia ketawakan. Semua benda aku buat, semuanya salah. Ali dan kawan-kawannya selalu kutuk-kutuk aku. Kadang diorang sengaja sembunyikan karung berisi biji benih pokok bakau aku. Penat aku mencarinya. Lagi nak susahkan aku mencari biji benih yang baru. Aku berazam untuk menanam pokok bakau semula dan jaga pesisir pantai kampung kita. Hah! Kau jangan lupa masukkan dalam rakaman kau, ya.'

'Yang ini, offrecord. Aku nak beritahu kau satu rahsia. Dalam hutan bakau ini, ada taman puteri. Aku dah pernah sampai. Perempuan-perempuan di situ cantik sungguh, tapi aku tak adalah nak mengoratnya. Setiap kali aku berjaya tanam 60 biji benih, mereka akan memberi aku seuncang emas. Hah, sebab itulah aku tak payah kerja sekarang ni.  Aku cuma perlu menanam pokok bakau, aku dapat habuan! Agak itulah kot, aku dipanggil senteng. Aku pernah ajak budak sekampung untuk join bersama. Tapi puteri-puteri itu tak setuju. Mereka tak percaya dengan manusia.'

Dokumentari saya bertambah menarik dengan cerita 'taman puteri'. Saya berasa kurang percaya, hinggalah satu hari Sulaiman jatuh sakit dan hanya berehat di rumah. Saya dalam diam-diam pergi masuk ke dalam hutan bakau kerana teringin melihat taman puteri yang dimaksudkan oleh Sulaiman.

------------------------------------------------------------------------------------------------------

Catatan yang dilakukan oleh pelajar itu menarik perhatian Sarjan Foong. Seolah-olah, ia memberi satu petunjuk baru di mana pelajar itu sedang berada. Tapi kenapa pelajar itu meninggalkan beg sandang miliknya di rumah Sulaiman. Kenapa dia tak bawa sekali untuk membuat rakaman? Sarjan Foong mengarahkan beberapa orang anggota bawahannya untuk masuk ke dalam hutan bakau yang 'didiami' oleh Sulaiman Laki-Laki Senteng. Sulaiman juga dibawa bersama dengan tangan bergari, takut-takut dia melarikan diri pula. Sarjan Foong tidak mahu menganiaya sesiapa yang tidak bersalah. Dia juga yakin Sulaiman sebenarnya 'tidak sihat'. Sulaiman hanya ketawa mengekek bila Sarjan Foong meminta dia menunjukkan uncang emas pemberian taman puteri di dalam hutan bakau itu. Katanya semua orang tamak hendak melihat 'kesenangan'nya. Sarjan Foong mengarahkan rumah Sulaiman digeledah untuk mencari petunjuk kehilangan Asri. Hari ini sudah masuk hari ketiga, Asri hilang. Ini mencabar tugasnya sebagai ketua penyiasat bagi kes ini. Kelihatan sederetan benih-benih bakau yang sudah bercambah setinggi selutut kaki dewasa. Kata Sulaiman, taman puteri itu terletak jauh terperosok ke dalam hutan bakau itu. Hanya boleh dijangkau dengan perjalanan kaki. Sarjan Foong menerima laporan dari anggota polis yang sedang meronda sekitar hutan bakau itu dengan menggunakan helikopter. Tiada sebarang tanda ada manusia tinggal di dalam hutan itu. Sarjan Foong mengeluh berat, dia segera meminta anggotanya untuk patah balik ke balai polis kerana hari sudah beransur surut siang.

'Aku yakin ada sesuatu yang kau sembunyikan, Sulaiman.' Ujar Sarjan Foong. Di hadapannya, seorang Sulaiman sedang memandangnya, tersenyum kecil. Sulaiman akan dilepaskan dari sel itu dengan ikat jamin.

'Manusia perlu kembali ke pada alam. Perlu tahu alam ini perlu dijaga. Musibah menimpa gara-gara 'tangan' manusia itu sendiri. Asri sedang mencari sesuatu di dalam dirinya.' Kata Sulaiman sebelum keluar dari balai polis itu. Sulaiman dilepaskan bersyarat, perlu melaporkan diri pada setiap minggu sehingga kes ini selesai. Dia menarik nafas lega, sampai di pintu pagar utama balai polis itu. Sepanjang perjalanan, beliau mencari cara untuk mencari Asri. Asri ini apa? Hanya pelajar yang sedang menghabiskan semester akhirnya. Sedang mengerjakan tugasannya, tetapi kenapa dia hilang?

Sampai di rumahnya, dia memerhatikan sekeliling ruang kerjanya. Ada sedikit kesan berselerak, mungkin ianya kerana polis menggeledah rumahnya untuk mencari bahan bukti berkaitan dengan kehilangan Asri. Dia menghidupkan laptop dan internet. Membuka aplikasi Google Map dan mencari peta hutan bakau yang sedang dikerjakannya. Tiba-tiba dahinya mengerut. Ada orang telah meletakkan tag di dalam hutan bakau itu, sebelum ini tag itu tidak ada. Seolah-olah hanya dia sahaja manusia di dunia ini yang berminat tentang hutan bakau yang hampir pupus itu. Tag itu diberi nama 'Hutan Sulaiman'. Fikirannya bingit. Dia mengingat-ingatkan hari terakhir Asri berada bersamanya. Asri ada memberitahu ingin meminjam laptop dan talian internetnya. Dia menekan Ctrl + H, untuk mencari History penggunaan laptop di hadapannya itu. History 5 hari lepas terpampang di skrin. Pada fikirnya, memang Asri yang telah meletapkan tag Hutan Sulaiman, tapi untuk apa. Kemudian, dia melihat terdapat pautan lain di dalam History itu. Ada satu pautan yang mempunyai alamat sebuah blog. Sulaiman membaca isi blog tersebut, ini mungkin blog Asri. Terdapat banyak entry di dalamnya, termasuk gambar-gambar aktiviti Asri. Mungkin Asri seorang yang sukakan cabaran lasak. Update terbaru ialah sekitar 5 hari lepas, hari terakhir Sulaiman melihatnya.

'Sulaiman kata, ada taman puteri di dalam hutan bakau ini. Aku hendak tengok sejauh mana sentengnya Sulaiman ini. Korang guys jangan bimbang, Malaysia ni kecil. Tak mungkin aku akan sesat. So, nantikan cerita aku yang seterusnya. Pencarian taman puteri, namanya. Aku dah tag hutan bakau ini dalam Google Map, aku beri nama Hutan Sulaiman. Harap aku akan berjumpa dengan puteri-puteri itu. Well, this sound freaky, tapi inilah hidup aku. 7 hari lepas ini, baru aku akan keluar. Tak lama. Jangan bimbang.

Pencari diri, Asri.'

Asri ini memang gila. Jadi, hari ini hari ke 6 dia hilang. Esok dia dijangka akan keluar dari Hutan Sulaiman itu. Esok dia tak ada, aku akan laporkan benda ini kepada Sarjan Foong. Sulaiman memicit-micit dahinya, terasa ada denyut di dalam kepalanya. Masalah hidup tidak akan pernah selesai.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------

Sarjan Foong terkejut dengan kehadiran Sulaiman di hadapan balai polis itu, kira-kira jam 10 pagi itu. Sulaiman, dilihatnya sedang 'mencari-cari' sesuatu di dalam tablet elektroniknya itu. Sarjan polis itu mendekati Sulaiman dan melihat sama.

'Apa kau buat kat sini, Sulaiman? Tak kan nak lawat saya pula?' Soal Sarjan Foong.

'Saja. Rindu nak tengok muka Sarjan Foong yang tenang tu. Sarjan ni tak pernah ada masalah ke? Tak pernah pukul tahanan ke?' Sulaiman selamba, jarinya masih menguis-nguis skrin tablet di hadapannya. Dia kemudian meneguk air teh tarik yang dibelinya sebelum sampai ke sini.

'Haha! Kau ni memang senteng ke Sulaiman? Orang kampung panggil Sulaiman Senteng, kau tak marah ke?'

'Dulu marahlah, Sarjan. Tapi nak buat macam mana, biar sajalah. Tanam pokok bakau lagi bagus. Hidup sihat, membawa berkat.'

'Dah tu, kau buat apa, dekat depan balai ni?' Tanya Sarjan Foong sekali lagi. Mood paginya sederhana baik. Semalam tidur awal, kes tak berapa banyak. Isterinya memasakkkan makanan kegemarannya semalam, anak-anak tidak berperangai sangat. Hari yang baik hari ini. Agaknya. Tiba-tiba telefon selfonnya berbunyi, ada panggilan di hujung sana. Sarjan Foong tergamam, Sulaiman kerut kening memandang wajah polis cina itu.

Sulaiman hanya diam, dia duduk di kerusi panjang di hadapan kaunter melaporkan aduan. Asri ada di hadapan matanya, pakaiannya berbau masam. Rambut serabai. Oh, ini kesan hilang di dalam hutan bakau itu barangkali, kata Sulaiman di dalam hati. Ibu bapa Asri juga turut berada di situ. Asri dilihat seperti tiada apa-apa yang terjadi kepada dirinya. Asri mendatangi Sulaiman sambil tersenyum-senyum.

'Saya dah jumpa.' Asri tersenyum, Sulaiman tercengang.

'Saya dah jumpa taman puteri itu. Betul kata Encik Sulaiman, tapi mereka tak suruh saya hebohkan. Tadi pun saya laporkan, saya hanya tersesat di dalam hutan itu. Encik Sulaiman ni pasti dah baca blog saya kan? Saya tahu. Nah, puteri-puteri bagi dekat Encik Sulaiman. Mereka kata, teruskan usaha murni Encik untuk menjaga hutan bakau itu. Eh, Hutan Sulaiman. Saya pergi dulu, ibubapa saya dah tunggu. Nanti saya datang lawat Encik. Bye.'

Sulaiman tercengang-cengang, dia menepuk-nepuk pipinya sambil memerhati bungkusan kain di tapak tangannya itu. Dia membuka bungkusan itu, ada kepingan emas berbentuk bulat di dalamnya. Dia tambah bingung dengan keadaan ini. Sebenarnya, dia menipu semua orang tentang cerita taman puteri dan upah kepingan emas ini. Cerita itu hanya direka-reka supaya orang kampungnya mahu mengikutnya menjaga hutan bakau itu. Dia sendiri tidak pernah mempunyai uncangan emas seperti yang ada di dalam telapak tangannya itu.

5 bulan berlalu. Sulaiman masih dipanggil Sulaiman Senteng. Dia masih meneruskan kerja-kerja penanaman benih bakau. Usahanya itu mendapat perhatian sekumpulan ahli badan bukan kerajaan. Setiap 2 minggu, dia akan menerima kunjungan kumpulan tetamu yang akan mempelajari hal-hal berkaitan dengan penjagaan hutan bakau. Pangkin rumahnya dibesarkan untuk dijadikan tempat sidang pembentangan usahanya itu. Bilik-bilik di dalam rumahnya juga dibaiki dan selalu disewa oleh pelancong asing. Pendapatannya semakin bertambah. Tiba-tiba satu petang, Sarjan Foong muncul di hadapan rumahnya bersama 3 orang anggota polis yang lain. Sulaiman pelik.

'Ali dan kawan-kawannya hilang dalam hutan kau ni Sulaiman. Ada apa-apa maklumat tak? Tuan puteri tak bagitau kau apa-apa?' Sulaiman tepuk dahi. Masalah datang lagi, dia sendiri pun tak pernah jumpa tuan puteri rekaannya itu.

'Dah, aku gurau saja. Kami datang nak makan seafood. Masak sedap-sedap.'



Thursday, August 1, 2013

Badut Sarkis Yang Lucu.

'Hei, tolong update status tentang cerita lucu. Hari ini tidak ada?', tiba-tiba kotak mesej dari Facebook dari seorang teman menjelma. Saya membaca mesej itu 3 kali untuk cuba memahami. Cerita lucu? 'Hari ini tidak ada?', soalan ini memberikan imaginasi saya seperti seorang pembuat kisah-kisah lucu. 

'Tolong buat cerita yang mampu membuat aku ketawa sambil berguling-guling. Sudah lama tidak ketawa.' Sambungnya lagi. Saya kerut dahi, tadi dia kata dia minta untuk saya update-kan kisah lucu. Kemudian sekarang ini, dia memberitahu dia sudah lama tidak ketawa. Saya terbayangkan badut sarkis.

Saya membawa ingatan semasa berusia 17 tahun, ketika sedang bekerja sambilan di dalam sebuah kedai pakaian milik taukeh cina. Masa itu adalah selepas saya menduduki peperiksaan SPM. 'Cuba, tolong ceritakan kisah-kisah lucu. Aku seronok mendengar kisah-kisah kau. Cerita-cerita dongeng.'

Cerita dongeng? Macam seorang penglipurlara pula saya ini. Kadar kejutan yang saya alami masa itu, sama seperti malam ini. Mungkin paparan status di dinding Facebook saya kadang-kadang memberi impak rasa lucu. Ya, saya memang selalu menyelitkan sisi tulisan yang lucu. Bila saya geram, tetap ada tulisan lucu, walau sedikit. Mungkin kawan saya tadi itu sedang bersedih hati. Entah apa ada di dalam fikirannya. Mungkinkah rasa lucu langsung ketawa boleh mengurangkan rasa-rasa yang pahit itu?

Badut sarkis, apa salahnya?  Badut memakai warna palitan pelbagai di wajahnya sambil menunjukkan ekspresi lucu. Siapa yang memandang, pasti rasa suka. Badut tidak ada ekspresi sedih. Mungkin dari sisi lain, badut juga mampu menakutkan kanak-kanak. Iyalah, kadang-kadang palitan warna di wajah badut lucu ini ada yang tampak seram. Persepsi manusia itu berlainan. Mungkin tulisan saya seperti itu. Nanti saya perah lagi fikiran saya untuk menghasilkan update yang lucu, walau sedikit.

Membuatkan orang lain gembira itu juga satu passion. Mungkin.


Wednesday, July 31, 2013

Gelinciran Hati

Kau tahu saat sakit hati seorang isteri itu berlaku bila? Yang aku kira paling maksima? Saat bila suami kita mengalami gelinciran hati dengan perempuan lain. Perempuan ini bercintanya lain macam, setianya lain macam. Lain masa bercinta, lain lagi masa selepas berkahwin. Bagi aku, kenapa perempuan tidak diberikan keistimewaan berkahwin poligami seperti lelaki kerana adalah emosi-setia. Istimewa yang ada pada sang perempuan ialah setia. Aku tahu, bukan semua perempuan ada keistimewaan ini. Tapi hampir semua perempuan memilikinya. Kita bercakap dalam konteks perempuan macam aku. 

Manusia itu sentiasa diuji, laki-laki atau perempuan. Lelaki selalu diuji dengan nafsu, perempuan selalu diuji dengan setianya. Dulu kau pernah lihat aku bertudung litup semasa sekolah kan, tapi bila aku mendapat tahu suami aku mengkhianati aku, aku 'cabut' tudung aku dan gantung atas pokok. Masa muda itu, aku seperti hilang akal, apa yang perempuan itu buat, aku buat. Konon-konon seperti bertanding merebut hati lelaki yang bernama suami halal. Dia buat potongan rambut begini, aku buat. Dia pakai pakaian itu ini, aku pun turut tiru pakai. Yang paling teruk, aku mula berseluar pendek masuk ke dalam pusat membeli belah. Kawan-kawan terkejut dengan perubahan ini. Bayangkan saja, bertudung litup kemudian berseluar pendek? Wang saraan keluarga tak usah cakap. Masa suami buat hal, aku baru lepas bersalin. Melebih-lebih rasa 'pahit'nya. Lagi-lagi bila perempuan itu sudah mula berani bersemuka dengan aku dan ceritakan hal-hal dia bersama suami aku. Gila, memang gila. Kemuncak cerita bila aku membawa hal ini ke mahkamah. Aku kira talak sudah jatuh sebab suami pernah ugut untuk talakkan aku kalau berani buat hal ke mahkamah. Tapi syukurlah, kami masih bersama sehingga ke hari ini. Aku sempat buat pemeriksaan darah untuk pengesahan sebab aku dapat tahu perempuan itu sering bertukar-tukar pasangan seksnya.  Perkara paling bodoh bila aku fikir sekarang ini adalah kenapa aku membanding-bandingkan diri aku dengan perempuan itu. Takanlah isteri yang halal ini lagi buruk dari perempuan itu? Itu satu-satunya pemikiran bodoh pernah aku buat.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------

Saya mengimbas-imbas wajah kawan saya itu. Kali terakhir kami bertemu-sama semasa di sekolah tinggi. Bertudung labuh, wajahnya jernih seperti keibu-ibuan. Sekarang pada usia 32 tahun, katanya dia sudah 'mengikat' rahimnya kerana kesan kejadian lampau. Marah benar bunyi bicaranya. Mungkin begitulah bila hati isterinya dikhianati. Tapi benarlah pujangga lepas, setia ini harus bertempat. Simpan sedikit rasa ragu-ragu tetapi harus juga bersedia untuk menghadapi saat-saat pahit yang tidak dirancang. Ujian kesusahan hidup itu sebenarnya peringkat kesediaan kita untuk menjadi manusia yang hebat. Bila hati rasa sedih, syaitan bergembira sakan. Sebab itulah kita mudah terpesong hati untuk hal-hal seperti ini. Saya yakin kawan saya itu lebih kuat dari masa-masa lepas. Dia sedang menyambung pelajaran peringkat Master, sedikit masa lagi untuk bukti usaha lebih baik dari kehidupan semalam.

Monday, July 29, 2013

Seorang bukan pendeta yang dulu seorang pendeta.

Fenomena googlisme mengganggu hubungan manusia moden pada hari ini. Seorang pendeta yang sejak akhir-akhir ini tidak mahu lagi dipanggil sebagai pendeta, berdiri di hadapan sebuah gumpulan buku-buku yang sangat masif. Dia melepaskan keluh.

Dulu, di meja-meja inilah aku dan para pelajarku selalu berdudukan sama. Mereka bertanyakan sebarangan soalan. Dari sekecil-kecil soalan tidak masuk akal, sampailah ke soalan-soalan yang kadang mampu memecahkan pembuluh darah di akal ruang ingatanku untuk menjawabnya. Aku masih ingat Lili Siew, gadis Tionghua, yang selalu membawa sebekas botol air yang besar ke dalam ruang ini. Prem, selalu meminum air dari botol itu tanpa sedar oleh Lili Siew. Hajar, Kasim, Kanang anak orang Sarawak dan Kalin anak soljar dari utara; itu barisan anak-anak muda yang selalu mengajak aku untuk datang ke ruang ini. Kami berbicara tentang banyak hal. Paling aku tidak lupa, bila ada satu hari itu mereka semua meminta aku membaca sajak. Aku lupa hari itu, aku tidak membawa buku catatan ku bersama. Aku pergi ke satu ruang terpuruk sudut-sudut buku itu. Aku capai satu buku; fikirku, buku ini sudah cukup memberi sajak yang puitis.

Aku membacanya seketika dan memahami konteksnya, mesejnya, atau apa-apa yang sesuai untuk barisan anak-anak muda itu. Mereka lapar cerita-cerita hebat dari seluruh dunia. Selain aku digaji oleh orang-orang besar di kota ini untuk menyampaikan ilmu (yang aku tahu), aku juga selalu tidak cukup masa untuk diri aku sendiri. Nama-nama yang ku sebut tadi, mereka yang selalu membuat temujanji untuk bertemu denganku. Aku gembira dengan ajakan-ajakan mereka untuk diskusi ilmu seperti hari ini. Aku sesekali, merindui guru hebatku yang sudah pulang ke rahmatullah 23 tahun yang lepas. Aku kadang titis air mata, mengenang kenangan bersama kawan-kawan lain ketika berlumba-lumba menuju ke rumah guru kami untuk mendengar ajaran-ajaran arwah guruku yang hebat itu. Al Fatihah untuknya.

Sajakku yang baru dicipta tadi mengundang kerut di dahi anak-anak muda di hadapanku. Tanyaku, mengapa terdiam? Mereka kata, sajak ku itu puitisnya lain macam. Semacam amaran-amaran untuk masa depan, semacam juga teladan-teladan manusia yang lepas. Semacam juga penawar-penawar kepada persoalan kehidupan. Aku letak buku yang ku ambil dari rak yang terpuruk itu di hadapan mereka. Kataku, ini adalah buku panduan yang paling hebat untuk dijadikan panduan selain pengamatan kita terhadap sekeliling kita. Bacalah sedikit-sedikit, fahami sedikit-sedikit dan sampaikan sedikit-sedikit kepada sesiapapun. Jadikan ia hamparan rasa yang boleh memberi manfaat kepada manusia lain. Prem dan Lili Siew bertanya, bolehkah mereka membacanya? Kataku, kalau faham bahasa Arab, mungkin boleh saja. Tapi buku tafsir sudah banyak dijual di pasar-pasar buku. Tapi pesanku, fahaminya betul-betul. Kalau membawa 'pusing', harus dirujuk kepada yang lebih tahu.

Kini ruang itu kosong. Ingatan lepas telah berhenti berlayar di kotak ingatan. Anak-anak muda tadi hanya aku hubungi melalui maya internet. Masing-masing sudah sibuk dengan tugasan. Rak-rak buku sudah mula berhabuk di sana sini. Aku fikir, tukang bersihnya tidak ada motivasi untuk membersihkan ruang yang sunyi ini. Segala maklumat boleh didapati dari kotak elektrik yang ajaib dipanggil komputer. Dulu di padang hampar di bawah sana, aku boleh melihat pengunjung ruang ini berbaringan sambil membaca buku. Sekarang tiada lagi. Yang ada cukup rumput-rumput kekuningan bersama bebunga liar. Ruang ini juga sudah nampak sedikit kusamnya. Ada yang masih tinggal seperti dulu iaitu bayu laut. Ah, senyum sajalah.

Pendeta itu berlalu dari situ. Dia tinggalkan saya sebuah buku. Buku yang berbalut dengan kertas coklat usang saya buka lapisnya. Katanya tadi, buku ini banyak memberinya panduan. Zamannya dulu, sudah banyak buku-buku palsu yang banyak menyesatkan manusia. Zaman sekarang, maklumat sudah berbaur-baur. Payah hendak dihadam. Katanya lagi, buku itulah menjadi panduan akhirnya ketika menciptakan sajak spontan untuk anak-anak muda Prem, Lili Siew, Hajar, Kasim, Kanang dan Kalin. Saya terkejut memandang buku yang dimaksudkan. Paling terakhir saya nampak buku seperti ini adalah di rumah nenek Atim. Nenek Atim, saya ingat dulu dia selalu membaca buku ini. Air mata saya bertakung sedikit, saya kucup buku itu, halakan rapat ke dahi dan menyimpankannya di dalam kantung buku saya. Memori saya berputar-putar ke zaman lepas, mengenang zaman pergi mengaji. Selepas itu, saya tidak pernah lagi melihatnya sehinggalah ke hari ini.

Pendeta sudah hilang dari pandangan.

Friday, June 14, 2013

Fasa

Saya ada dilema ni.
Sebut.
Intro dan ending dah ada, cuma sangkut dekat tengah. Part jatuh cinta. Buntu. Sudah stucked.
Feeling tidak cukup dalam. Atau kamu dah lupa sebab kamu dah lalui fasa-fasa tu.
Mungkin. Saya sendiri sudah lupa rasa dating.

Payah untuk menulis sebuah keadaan yang bukan milik kita. Imaginasi diperas hebat. Atau mungkin saya yang malas berfikir, tidak tekun atau sengaja tidak mahu menulis. Saya dalam rangka akhir untuk menghabiskan penulisan cerita panjang saya. Iya, part untuk jatuh cinta untuk orang dewasa itu memang payah untuk dicipta.

Tapi-

Bagaimana pula orang lain yang sudah bertahun-tahun menulis boleh mengekspresikan imaginasi mereka di dalam penulisan dengan begitu hebat.

Ada sesuatu yang perlu berubah di sini.

Wednesday, May 29, 2013

Tentang seseorang.

'Apa impian terbesar kau?' soalku di talian sebelah sini. Aku bertanya soalan remeh, remeh bagi sesetengah orang. Aku kadang tidak adil. Menilai (sedikit) keperibadian orang melalui, menanyakan soalan remeh dan menilai empunya jawapan melalui cara menjawab dan jawapannya.


'Tiada ..impian terbesar. Yang penting terus menulis. Tak perlu set up dreams untuk saya. Apa saja yang Tuhan bagi...'

'Syukur'.

Jawapan kesyukuran saya itu terlalu ringkas. Konversasi tidak bersambung sehingga ke hari ini.

Untuk sesetengah usia, aku yakin kita mempunyai tingkat rasa berbeza tentang impian. Cuba lihat latarbelakang masing-masing. Mungkin dia mendapat kepuasan setelah usai menulis satu-satu tulisannya. Kepuasan itu hanya dia yang rasa. Aku, kita, siapa-siapa, tidak berhak menilai melulu.

Bukan mudah untuk mengerjakan sesuatu kerja. Apa lagi sesuatu yang dipanggil impian.  Semakin banyak impian, semakin banyak usaha perlu dilakukan. Aku yakin keinginannya untuk terus menghasilkan lebih banyak penulisan juga adalah impiannya. Bukan terbesar, atau terkecil. Tetapi sesuatu yang berterusan.

Aku mahu bahagian hidup seperti itu. Cuba satu bahagian sajalah. Sampai sekarang, impian aku masih sama. Aku mahu menjadi penulis tentang sesebuah masyarakat, bukan fiksi. Mungkin juga bergaul dengan fiksi, tetapi masih juga berakarkan kisah asal. Payah.

Aku mengambil masa sekaligus membuang masa beberapa tahun untuk benar-benar mahu menulis. Begitu sekali ya?

Aku tidak pasti.

Saturday, May 25, 2013

untuk hari tua.

aku merinduimu, blog. kita patut bersama selalu. aku selalu meninggalkanmu. Namun, ada di antara tulisan di sini perlu dipadamkan. aku mahu menutup aib dan ingatan lama yang tidak mahu ku ingat lagi.


semoga ada ingatan manis semasa hari tua.

Sunday, May 5, 2013

Kau bisa nampak cinta pada sang manusia yang terluka; dan itu dipanggil senyum angau.

Kalin pandang Nurul yang bersiap. Nurul, ada sesuatu yang lain di wajahnya. Ada aura, tetapi Kalin tidak tahu tentang apa. Nurul sikat rambut perlahan-lahan, rambutnya ikal sederhana. Bau shampoo masih bertebaran. Kening sudah diusainya, itu proses terakhir. Dia senyum pandang cermin besar di hadapannya.

"Kalin, sudah berapa lama kita jadi housemate?" tanya Nurul yang memandang Kalin dari cermin besar itu. Kalin yang tadi berlunjur kaki di atas kerusi di tepi tingkap, kini duduk lurus. Sepertinya soalan tadi itu, memberinya impak yang lain macam.

"5 tahun? Ya 5 tahun. Sejak kita baru balik dari oversea, sampailah hari ini?'', jawapan Kalin. 

''Kau ingat punca bagaimana kita boleh duduk serumah?'' tanya Nurul lagi. Nurul flashback kenangan lepas.

''Ingat, kau duduk poyo bawah rumpun bambu, menangis teresak dan kau kata kau baru kena dump oleh kekasih celaka kau. Eh, celaka itu kau yang gelarkan!" Nurul dan Kalin saling ketawa.

''Tapi apa kaitan soalan kau dengan keadaan kau ni? Tak pernah-pernah aku nampak kau bersolek, kalau ada pun bedak dan gincu yang paling nipis. Rambut kau tak 'berkilat' macam hari ini. Pelik." Kalin kerut kening tanda hendakkan jawapan.

Nurul senyum dan hanya dia. Dia ambil tas tangan dan telefon bimbit di atas meja. Kemudian, dia seperti menaip sesuatu di dalam telefon bimbitnya. Dia pandang Kalin yang masih terpinga-pinga. Dia sembur minyak wangi di seluruh badannya. Kemudian berlalu pergi. Pintu tertutup perlahan. Kalin masih 'blur'. Tiba-tiba dia terfikir sesuatu, lantas dia capai tablet Ipad di atas katil Nurul.

''Cinta boleh melukakan. Cinta juga boleh menukarkan seseorang lain dari biasa. Bila cinta sudah datang, senyum pun tak tentu. Kau bisa nampak cinta pada sang manusia yang terluka; dan itu dipanggil senyum angau.''

Oh Tuhan ku! Nurul pergi dating!! Nurul pergi dating, ok! Kalin imbas cerita lampau. Kalin senyum, kemudian menaip sesuatu di kotak komen status Nurul tadi.


Saturday, May 4, 2013

Husin dan 'Seekor' Nuri.

''Kita perlu berbagi tugas. Ini bukan kerja yang mudah!", Husin mendengus. Laut di hadapannya itu sudah tidak dirasakan indahnya. Hari ini hari paling malang untuk mereka berdua, Husin dan Nuri. Nuri pandang Husin dengan kening mengerut yang seolah-olah sudah bersambung. Aneh. 

Kedua-duanya seperti ditampar Dewa Marah. Eh, ini cerita Melayu, bukan cerita dewa-dewa Greek. 

Bila Husin pandang Nuri, Nuri buat-buat pandang tempat lain. Ego. Degil. Lelaki itu seperti tidak puas hati dengan tindakan Nurul tentang isu hari itu. Di kepala otaknya, masih terngiang kata-kata tadi; Kita perlu berbagi tugas!

''Aku tak pernah paksa engkau, perkara ini melibatkan kau dan aku. Aku tak faham kenapa kau tak boleh bertolak ansur. Apasalahnya aku uruskan semua?'' Nuri simbah minyak. Laut dan angin sudah entah ke mana. Petang itu, bukit rendah itu seolah-olah hendak menumpahkan lahar. Pertempuran jiwa dua manusia, sekelilingnya menjadi hambar.

''Kalau engkau buat sendiri, apa kata orang lain?? Semua orang akan bising. Lagipun.. aku..'' Husin terhenti. Nuri pandang Husin lagi sekali menunggu lahar seterusnya keluar.

''Aku pun mahu hubungan kontrak ini berterusan. Macam kau kata semalam, kau juga mahu meneruskan hubungan kontrak ini. Cuma aku ingin ambil peduli tentang semua hal, kau dan aku. Kita''. Ayat Husin mulai perlahan, tidak seperti tadi, marahnya bertebaran di ruang angkasa.

''Bagi aku, semua berakhir. Kau sudah dapat apa yang kau mahu. Dan aku sendiri sudah berjaya dapatkan semua. Untuk apa lagi kita teruskan, buang masa okay.'' Nuri kejam, hati Husin parah. Minta diselamatkan. Nuri pujuklah hati, marilah bercinta, kata Husin di dalam hati.

Nuri pergi, hilang dalam hujan petang itu. Husin raup wajahnya yang terkena oleh tempias air dari langit. Dia sudah jatuh cinta dengan Nuri. Nuri pandai berlakon, mengalahkan pelakon terkenal. Cinta membunuh jiwa lelaki Husin. Husin mahu permainan baru. 

Husin mahu tawan hati Nuri.

________________________________________________________

Nuri cepat-cepat melangkah. Bodoh punya lelaki, getus hati kecil Nuri. Ini semua kerja kontrak. Kerja yang ada tarikh akhir. Semua hampir berakhir, kenapa peringkat terakhir ini Husin tiba-tiba khianat? Tiba-tiba cakap soal KITA? KITA? Nuri mahu muntah.

Nuri, seorang perempuan. Burung yang liar. Sukar ditangkap. Tapi paling senang jatuh cinta. Itu profil dulu, dia kata dia sudah berubah menjadi keras hati setelah ditinggalkan kekasih celaka. Bertemu Husin ialah kebetulan, tetapi disudahi dengan hari yang malang.

Saturday, March 23, 2013

if you decide

Terikat.

Tiada apa boleh dibuat dengan kenangan masa lepas. Sudah lepas. Namun banyak dari kita, masih terperangkap dengan perasaan-perasaan yang lepas. Kadang terbawa-bawa. Termasuk aku. 

Kejamnya aku membawa diri terikat dengan perasaan-perasaan yang lepas. Tetapi bukan aku tidak selalu sedar, aku banyak membuang masa. Ya, tiada apa boleh dibuat dengan masa lepas.

Ada satu ritual, aku terbaca entah di mana.

'Genggam tangan, bawa ke dada. Baca Surah Al-Fatihah sebab 3 kali, selawat kemudiannya bacakan niat dan berdoa meminta kepada Allah agar dihapuskan kenangan-kenangan yang kita sudah tidak mahu ingat dengan cara yang baik.Kemudian, tangan yang digenggam tadi membuat gerakan fizikal seperti membuang sesuatu dari dalam dada.' 

Kemudian, yakin dengan permohonan ini.

Cubalah. Beritahu aku hasilnya.


Saturday, March 16, 2013

Sibuk.

Minggu ini, purata tidur aku sehari cuma 4 jam. 2 jam selepas balik dari sekolah, 2 jam lagi untuk di tengah malam. Sibuk gila dengan hal-hal pekerjaan.

Aku merindui aktiviti-aktiviti aku yang lepas. Kadang aku bingung, untuk apa semuanya kesibukan ini. Apa kau kata ini adalah salah satu proses akhir untuk menjadi seorang guru? Aku pikir kesibukan ini tidak akan pernah berputusan. Malahan sampai ke hari tua. 

Cuma sibuk keterlaluan ini aku lihat mungkin pada pra persediaan. Hal-hal praktikal. Ada juga guru-guru lama berlenggang kangkung dengan hanya membawa buku rancangan pengajaran dan beg tangan berjenama untuk ke kelas. Aku pula, macam tidak cukup lantai bergerak ke kelas. Itupun guru pembimbing aku selalu kata, terlalu banyak kelemahan. Kelemahan itu aku akur, aku ke sini ialah untuk menuntut ilmu. Bukan berlumba-lumba untuk tayang kehebatan.

Aku tidak pasti nasib untung aku kini. Kalau aku ukur-ukur dengan orang lain, aku memang seorang yang bernasib baik. Baiklah, janganlah mengeluh. Allah dah bagi, Allah punya banyak rahsia.

Cuma Tuhan ku, kadang hamba Mu ini terlalu penat. Penat fizikal, penat mental. Itu belum lagi hal kawan yang sedang cuba memburukkan aku. 

Jadi, aku memilih untuk berdiam dan cuba menampakkan diri seperti orang bodoh. Tapi aku lakukan kerja-kerja rutin dengan sebaiknya. Aku tahu, ramai orang baik juga sedang berada di sekeliling aku. Aku tahu.

Terima kasih ya Tuhan ku, untuk semua hal-hal terbaik ini. Aku memang penat mengejar penambahbaikan diri sendiri untuk masa depan. Mohon selalu diberi kekuatan akal dan fikiran.

Sunday, February 24, 2013

Laila yang tidak gila.

Jasad dan rohku disambut dengan senyuman kecil. Wanita ini belum berapa tua, tetapi seperti ada lapisan yang memberi tampak tua di wajahnya. Ada jurai-jurai rambut putih di sebalik rambutnya yang masih lebat itu. Wajahnya tidaklah murung, mungkin sedikit serius. Ada 3 baris kayu melintang di dinding, tepi tempat duduknya. Aku memerhatikan barisan-barisan buku itu. Bermacam jenis buku ada di situ, mataku tertancap pada tajuk buku 'Si Badang'.

'Aku memang suka menyimpan buku semenjak kecil. Ini baru 3 baris kau nampak. Selebihnya ada di dalam ruang perpustakaan kecil di belakang rumah aku. Aku tidak memilih buku, asal namanya buku, mahal atau paling murah, ataupun buku lama tidak berlapik lagi pun aku beli dan kumpul.'

Semua buku? Semua? -- soal aku.

'Kecuali buku yang melacurkan sastera. Oh, maaf. Agak kasar bunyinya di situ. Maksud aku, buku yang membawa imaginasi yang bukan-bukan, yang mengajak lebih banyak bawaan dosa. Ah, abaikan, aku bukan baik sangat. Tetapi aku menolak buku-buku begitu.'

Aku perhatikan ke sekeliling ruang itu. Wanita ini ada mempunyai sebalang ikan emas, 3 ekor ikan emas berwarna kuning semuanya. Oh ya, ada tag nama terletak kemas di sebelah balang itu. 'Saya dan keluarga saya'. Di sebelah balang ikan itu, ada deretan gambar berimejkan kucing putih yang sama. Ini aku fikir, mungkin kucing kesayangannya. Hati aku terdetik semula kepada ikan-ikan emas tadi, rasanya wanita ini mempunyai adik beradik yang lain. Di dinding ruang itu, ada beberapa keping lukisan kanvas bercalitkan pelbagai warna. Aku pasti, itu juga lukisan hasil karya wanita itu. Aku pernah nampak salah satu keping lukisan kanvas ini menyerupai sekeping gambar digital yang dimuat-masuk ke dalam akaun Facebook wanita ini.

'Kau jangan hairan. Ikan-ikan emas aku itu, cuma satu simbolik tipis. Aku ada 9 orang adik beradik, aku pernah cuba memelihara 11 ekor ikan emas. Konon-konon mewakili ibu bapa aku dan 9 lagi adik beradik di dalam keluarga aku. Bila tak terjaga, satu persatu ikan aku mati. Yang tinggal cuma ikan yang aku gelar Bapa, Emak dan diri aku sendiri.'

Aku mengerut dahi, tanda kecil protes, tidak faham. Aku mula menulis sesuatu di dalam buku notaku.

'Bukanlah maksud aku, kematian ikan emas itu ialah simbolism berita tidak baik. Mula-mula aku kecewa bila ikan aku mati, seolah-olah petanda tidak baik. Tapi lama-lama aku sudah biasa. Cuma ikan emas yang bernama diriku sendiri ini ku umpamakan kami sembilan orang adik beradik, berenang gembira bersama emak dan bapa di dalam akuarium, simbolik untuk kompaun rumah kami. Walaupun, kami sudah lama tidak bersama.' Wajahnya terus redup, ada genangan kecil di mata nya. Barangkali sedih.

Aku perhatikan kukunya. Kulitnya ditata cantik, bersih dan kelihatan sihat. Sebenarnya, wanita ini belum sampai pun berusia 40 tahun. Dia ada banyak keistimewaan. Aku menghirup secawan teh yang dihidangkannya tadi. Tak lupa, ada sepinggan kecil agar-agar pandan terhidang sama.

'Kenapa Puan seperti menghilangkan diri? Ramai orang anggap Puan lari dari tanggungjawab, lari dari perkara-perkara yang Puan sudah usahakan.' - tanyaku sambil memandang tepat ke wajahnya.

'Aku bukan lari, aku cuma sudah penat berjuang. Aku sudah merasa tua, walaupun umur aku belum sampai 40 tahun. Kadang aku rasa perjuangan aku, cuma seperti bunga api. Bebas terjah ke angkasa, memancar-mancar cahaya di ruang sana. Bersinar ke bumi dan sampai masa hilang begitu saja.'

'Kenapa Puan andaikan diri Puan seperti bunga api? Tidak seperti bintang? Yang tetap tinggal di langit seperti kata Padi.'

Dia senyum dan menggeleng kecil. Tangannya menjangkau sesuatu dari bawah meja. Sebiji kamera lama.

'Pandai kamu ya, perumpamaan kamu agak funky. Aku suka orang muda yang bijak memberi perumpamaan yang menusuk hati.'

'Puan, Puan tidak terlalu tua. Beza umur saya dan Puan cuma 7 tahun. Cuma saya selalu membaca bahan-bahan bacaan yang banyak bermain kata. Dan ya, post-post Puan di Facebook, tidak pernah saya tidak membacanya.'

'Kata guruku yang sudah lama meninggal, jadilah manusia humble walau di mana berada sekalipun. InsyaAllah, semua orang akan sukakan kita. Tapi mungkin aku ditimpa ujian, tidak ramai yang setuju dengan perjuangan yang aku buat.'

'Sabar sajalah Puan, tidak semua orang sukakan kita. Kita juga sama, bukan semua orang kita akan suka. Kalau Puan rasa perjuangan Puan itu berada di landasan yang betul, teruskan.'

Dia punya banyak pengaruh. Kata-kata motivasinya, aktiviti sukarelanya, program-program tertentu di bawah kendaliannya selalu memberi impak kepada orang-orang di sekelilingnya. Cuma sejak 2 tahun kebelakangan ini, khabarnya sudah jarang didengar. Aku ialah seorang pengikutnya, bukan pengikut ekstremis. Dia  banyak melakukan aktiviti sukarela, aku juga seorang anak muda yang ingin berbakti kepada masyarakat. Cuma sejak isu perkauman dan pendatang asing ini begitu meruncing, dia benar-benar terpukul. Sekolah Tepi Jalan nya dirosakkan. Dia mendirikan Sekolah Tepi Jalan untuk mengajar sesiapa yang berminat untuk belajar membaca dan mengira. Sekolah Tepi Jalan ini tiada ruang yang tetap, cuma sekolah ini akan bergerak nomad dari satu tempat ke satu tempat pada masa tertentu di sekitar kota ini.

'Macam kau kata, tak semua orang sukakan kita. Aku dan kawan-kawan aku cuba mengajar orang kita yang tercicir di sekolah untuk belajar membaca dan mengira. At least, mereka boleh bekerja di mana-mana walaupun sebagai buruh, penjaga kedai runcit atau pekerja majlis bandaran. Tapi kau tahu negeri kita ini, isu perkaumannya sangat tebal. Mereka injak-injak papan tulis aku masa aku tengah mengajar sekumpulan anak-anak membaca ABC.'

Kau jangan gadai maruah kau. Kau ingat sikit kau itu perempuan.
So, what kalau aku perempuan? Apa kaitan dengan kedatangan kamu semua ini ke sini?
Sebab kau perempuan, aku boleh jual kau ke negara jiran. Jadi pelacur, biar kau merempat di sana.
Celaka. Semoga kau semua masuk neraka!!
Hei, aku bagi kau amaran. Lagi sekali kau teruskan Sekolah Tepi Jalan kau ini, aku jual kau betul-betul di negara jiran.
Apa masalah korang aku buka sekolah ni hah? Kau tak cukup nak sekolah, mari sekolah dengan aku di sini!
Hei, engkau guru yang tak berapa jadi ni, tak faham-faham lagi ya. Ini sapa budak-budak yang kau sedang ajar ni? Ini semua anak pendatang haram! Kau tak pandai-pandai faham rakyat mereka ni datang menuntut balik negeri kita?
Tanggapan kau dah silap. Aku bukan hanya ajar budak-budak yang seperti yang kau maksudkan tu. Makcik-makcik pun aku ada ajar, orang tua, orang kita. Apa masalah kau hah? Mak kau ada kat sini ke?
Kurang ajar! Kau memang suka menentang aku sejak dulu lagi! Sekarang kau terima padahnya.

Selepas kejadian hari itu, rupanya aku terlantar di hospital selama 1 bulan. Kata doktor, aku koma selepas kepala aku terhantuk di bucu jalan. Aku dipukul oleh manusia celaka. Kata kawan aku, selain dari Talib, ada 4 lagi kawannya yang lain telah memukul aku. Budak-budak Sekolah Tepi Jalan lari bertempiaran bila Talib dan kawan-kawannya mula memusnahkan binaan sementara sekolah itu. Sebenarnya Sekolah Tepi Jalan itu hanyalah terdiri daripada sebuah papan hitam besar, beberapa meja kecil dan kerusi kecil, beberapa  bakul buku dan tikar. Setiap hari Ahad, kami akan memilih lokasi tertentu untuk mengajar membaca dan mengira. Aku sedih bila pendidikan di negeri ini masih dipandang enteng oleh sesetengah orang. Ya, aku akui   kata-kata Talib tentang status anak pendatang haram yang masuk ke kelas aku.

Bagi aku, tiada siapa yang menginginkan untuk menjadi pelarian di mana-mana negara. Tiada siapa yang mahu merempat gara-gara tidak mempunyai ilmu untuk mencari pekerjaan. Tiada siapa yang suka mengemis. Kalau bukan kerana terdesak hidup, tidak ada sesiapa yang sanggup mengorbankan diri untuk mencari sesuap nasi dengan cara yang menyalahi undang-undang. Apa salah aku untuk mengajar budak-budak itu membaca? Ilmu membaca dan mengira di negara ini, bukan hanya milik untuk orang di negara ini. Ilmu itu bersifat universal, semua orang berhak mendapatkan ilmu. Anak-anak itu tidak bersalah, cuma kehidupan mereka yang mereka tempuhi memaksa mereka menjadi begitu. Apa salah kau ajar ilmu kepada mereka? Agar mereka boleh bekerja sekurang-kurangnya sebagai penjual plastik ikan dan mampu mengira duit memulangkan baki duit kepada orang yang telah membelinya.

'Hanya dengan ilmu manusia boleh berubah, ya Puan?' - dia mengangguk perlahan.

'Aku bukan lari dari tanggungjawab. Aku sekarang tidak sihat, lagipun aku masih trauma mengingatkan kejadian aku dipukul oleh Talib dan kawan-kawannya. Barang-barang sekolah aku habis dibakar oleh celaka itu. Aku jadi sedih. Aku frust, kenapa usaha aku itu mendapat musibah seperti itu.'

Tidak pernah pula aku menyalahkan Tuhan Pencipta ku. Cuma petang itu nasib aku tidak begitu baik. Aku masih ingat, Nora ada di dalam kelompok manusia celaka itu. Nora itu, kawan kenalan semasa pengajian di kampus. Kami selalu berselisih pendapat. Dia tidak pernah senang dengan aku, tetapi aku tiada masalah kalau tidak bertegur sapa dengan dia. Yang pelik, dia selalu bercakap-cakap pasal aku, ke mana aku pergi, dengan siapa aku berkawan, apa pun aktiviti aku; ini kawan aku yang cakap. 

Dengar khabar, Nora juga termasuk di dalam kelompok yang telah membelasah aku semasa petang durjana itu. Sama ada Talib, Nora dan sekutu-kutunya masih bertebaran di kota ini, aku mendapat tahu, mereka ini sebenarnya gengster yang selalu mempertahankan hak bangsa suku kaum mereka.

'Hak, my ass!'

Teh hampir tersembur bila aku mendengar kata-kata kesat itu. Sebenarnya, usaha wanita ini memang murni. Tapi tak ramai yang memahaminya. Aktiviti sukarela ini mendapat perhatian sinis dari beberapa pihak. Tapi tak kurang juga, ada pihak yang seringkali mendermakan material dan sumbangan wang ringgit untuk memajukan Sekolah Tepi Jalan nya itu. Cepatnya masa berlalu, banyak lagi soalan aku nak soal ni, getus fikir aku.

'Actually, kamu dari mana? Media?' - 

'Er..saya..saya..penulis blog. Saya mahu menjadi seperti Puan, yang selalu menulis kisah masyarakat. Maaf ya Puan. Saya tak tahu pula, Puan hanya menerima tetamu seperti media untuk menemuramah Puan.'

Dia tergelak kecil. Pelik.

'Sudahlah, aku bukan orang popular hendak mendapat liputan. Lagi satu, aku menulis cerita masyarakat ialah untuk perkongsian kecil yang telus. Aku suka berjalan-jalan, mengambil gambar dan menulis. Tak sangka penulisan aku mendapat perhatian. Ada yang tidak setuju dan ada yang setuju. Biasalah. Dunia--dunia--'

'Sebelum saya mengakhiri temu bual ini, boleh tidak kalau saya tanyakan soalan yang mungkin agak menyinggung perasaan Puan sedikit.'' Dia menggeleng-gelengkan kepala sambil ketawa kecil.

'Betulkah Puan mempunyai gangguan mental? Saya dapati Puan nampak biasa atau normal ketika menjawab soalan-soalan saya.'

'Ha-ha-ha-ha. Aku sudah agak kau akan tanya soalan ini dan memberi tanggapan kepada aku. Kalau aku tak ada masalah mental, tak adalah aku saja-saja tinggal dekat sini. Tapi duduk sini best, tiada gangguan langsung.'

'Saya tidak pernah percaya Puan mempunyai masalah mental. Puan seorang yang teguh dan kuat. Masakan perkara terakhir yang Puan hadapi hari itu, menggugat Puan?'

Ada waktunya kita terlalu lelah untuk mengerjakan sesuatu pekerjaan. Aku sebenarnya penat. Kadang jiwa hitam aku mempengaruhi aku -- untuk apa aku berkorban nyawa, masa dan duit semata-mata untuk orang lain? Tapi jiwa yang satu lagi selalu memujuk aku. Aku sebenarnya mencari diri sendiri, kepercayaan aku dan memang ingin membantu masyarakat.

Tapi pelik bukan, kalau diikut kronologi diri aku ini, aku bukanlah berlatarbelakangkan taraf pendidikan yang cemerlang. Sejak dulu lagi. Tetapi kenapa aku bermatian-matian mahu membantu manusia lain untuk sedar akan kepentingan taraf pendidikan? Membaca dan mengira? Usaha ku ini mungkin sangat hebat, sampai sanggup menumpahkan darah. Sangat gila. Ada permainan sedang berlaku di situ.

'Puan pernah cakap, hanya melalui taraf pendidikan sahaja yang boleh mengubah nasib negeri kita. Hanya dengan ilmu. Saya sangat bersetuju dengan yang itu. Tak mustahil, negeri kita akan menjadi super makmur, sama macam negeri-negeri yang lain. Ada itu ini. Macam-macam! Hanya kerajaan yang tidak memberikan apa yang sepatutnya kepada negeri kita!' 

'Ada apa? Bangunan tinggi? Monorel terhebat? Kita tak perlu itu semua. Aku lagi suka kalau negeri kita dikekalkan dengan konsep alam semulajadi berpacu dengan pembangunan. Cuaca panas melengking ini harus kita turunkan. Jangan salahkan kerajaan! Jangan salahkan orang lain, bila kita sendiri yang miskin.'

Aku jadi tidak faham. Kadang aku mendapati wanita ini seperti penyokong kerajaan, seperti juga golongan pembangkang. Kadang-kadang dia lebih kepada tidak pro kepada mana-mana pihak.Tapi aku yakin dia bukan golongan lalang.

'Aku harus keluar dari rumah untuk mencari rezeki. Bukan orang yang akan hantar makanan kepada aku. Aku bukan pengemis. Kau pengemis? Yang tak mampu bekerja atau hilang arah?'

Gelenganku pantas.

'Maaf ya, aku kena berehat. Untuk membuktikan aku ada masalah mental, tadi aku cakap, di belakang rumah aku ini ada perpustakaan kecil. Kau cari sendiri.' Dia senyum tipis, kemudian dia memberikan aku sekeping gambar. Hanya imej sepasang kaki dan sedang berdiri di atas lantai tanah. Ada imej sedikit sampah sarap di bucu gambar itu.

'Hakikatnya, kita semua sedang berdiri di atas tanah. Tapi tak ramai yang sedar. Hakikatnya dalam hidup ini, banyak halangannya apabila berkeputusan untuk manusia yang lebih baik. Selamat petang.' katanya sambil berlalu pergi.

Aku terkulat-kulat, perih akalku memikirkan ayat terakhirnya sebentar tadi. Dengan sekeping gambar yang masih di tangan, aku keluar dari ruang itu. Aku mahu mencari perpustakaan kecil yang dimaksudkan oleh wanita tadi. Pfftt.. lagi sekali aku terkulat-kulat, di belakang bilik tadi cumalah sebuah taman beriadah yang dipenuhi oleh pokok-pokok dan bangku-bangku konkrit. Boleh jadi gila aku ini, ini sebuah hospital masalah mental. Bagaimanalah aku boleh terjebak dalam teka teki wanita ini. Aku memerhatikan semula gambar 'kaki' tadi. Tanpa sedar, di belakang gambar itu ada tulisan kecil.

'Hanya orang gila tidak mengaku gila. Aku sebenarnya hanya mahu berehat. Anggap saja aku sedang buat-buat gila. Aku ada banyak kerja hendak dihabiskan. Duduk di dunia luar buat aku jadi lalai. Tapi satu masa nanti, aku kembali ke pangkuan masyarakat. Terus berjuang. Kamu juga, jangan lupa buat sesuatu untuk masyarakatmu.'

Berehat? Buat-buat gila? Lalai? Ya Tuhan, wanita apakah ini? Apa yang dia cuba maksudkan. Takanlah pihak hospital ini pun bersekongkol untuk menyimpan manusia yang tidak sakit? Betul kata-kata Armin, kawan aku seorang aktivis masyarakat. Wanita bernama Laila ini memang misteri. Bekas guru sekolah rendah ini, berhenti awal dari tugasnya. Masuk ke dalam masyarakat, membuka Sekolah Tepi Jalan bersama 2 orang rakannya. Projek ini mendapat tentangan dari masyarakat setempat, kerana Laila juga mengajar anak-anak imigran, malahan babu-babu yang berjualan tanpa permit pun turut masuk ke dalam kelas yang hanya dibina di tepi jalan. Tanpa dinding, tanpa bumbung dan tanpa fasilitis yang lain, Laila dan kawan-kawannya sanggup berteriak suara mengajar ilmu hanya sekadar membaca ABC. Aku dengar Laila menerima bantuan kewangan untuk projek amal ini. Entah dari siapa. Tapi aku yakin, penderma-penderma itu juga punya hati seperti Laila.

Laila yang tidak gila atau sengaja buat-buat gila, aku yakin kau sedang merancang sesuatu untuk masyarakatmu. Kami menunggumu.

Tuesday, February 12, 2013

Benci dan Emak.

Batuk tak henti-henti. Entah lohong pernafasan mungkin sudah cedera. Ada kahak kental terkubur di sana. Semua serba salah. Semua bagaikan bencikan aku. Kenapa selalu begini; maksud aku, ketika aku penuh dengan idea, ada saja aral sengaja melintang? 

Kampus juga seperti bencikan aku. Elaun belum masuk. Cuaca panas melengking. Keputusan peperiksaan pun nyawa-nyawa ikan. Banyak benda hendak dibeli. Kawan-kawan juga seperti bencikan aku. Mengata aku sesuka hati, padahal tidak permah bertegur sapa. Apa salah kau ludah ke muka aku, segala kebencian kau terhadap aku? Ini tidak, kau hanya memuncung di belakangku. Orang kata, orang yang suka mengata di belakang memang dia layak hanya berada di belakang. Itu kata orang, bukan kata aku. Aku tak kisah sesiapa pun membenci aku, aku pun bukan suka kepada semua orang.
Kuku juga seperti bencikan aku. Pada masa senggang, aku selalu buat kraf. Untung nasib, boleh dijual. Menambah duit poket, sekadar melapis hayat sebelum elaun belajar akan release. Kukuku terkoyak tatkala senang membuka kain yang terlekat tanpa arahan sebenar. Hendak dipotong, terasa sakit. Isi ikut terkoyak. Ya! Aku sedang berusaha mengubah nasib. Mencari duit, menjual barang seni. Sebelum elaun keluar. 

Talian internet juga seperti bencikan aku. Musim perayaan sebegini, talian mesti jadi lembab. Perkara yang perlu aku lalui sejak pandai menggunakan jalur-lebar atau broadband. Ah, talian internet rumah sudah dipotong. Lagi sekali, elaun sudah tertunggak. Semua pembayaran bil-bil sudah bertambah. Elaun belum release. Aku jadi penyabar untuk talian internet sebegini rupa.

Idea juga bencikan aku. Ah, idea untuk membuat kraf baru sebentar tadi terputus. Sekarang aku mahu mencari idea untuk sesi kelas aku lusa. Entah, aku tidak nampak lagi bayangnya. Mataku juga seperti bencikan aku, pedis rasanya. Mungkin kerana seharian 'bekerja'.

Tulang belakang aku juga seperti bencikan aku. Lenguh. Tapi, kalau aku meniarap di atas lantai, aku juga akan rasa dibenci oleh lantai. Mahu tahu kenapa lantai seperti bencikan aku? Sebab aku mudah tertidur sekiranya aku meniarap sambil mencari idea melalui internet. Jari aku selalu terhenti pada butang SPACE, maka turunlah cursor sampai bawah website. Kadang-kadang aku boleh tidur, dengan kepala yang tegak selama sejam lamanya. Untung nasib, rakan sebilik boleh tergelak melihat keadaan aku sebegitu.

Tarik nafas dalam-dalam. Aku rasa udara tidak membenci aku. Lancar saja dia masuk ke dalam lohong nafasku. Dan sekali lagi terbatuk. Benci!

Aku memandang kalender di tepi kanan laptop aku. Hari ini 10 Febuari. Hari jadi mak dan kakak aku. Aku sudah wish kakak aku dekat facebook. Mak tidak ada facebook. Aku cek baki talian telefon genggam. Ada lagi 48 sen.  Nombor mak aku dail.

Mak masak apa? 
Nasi goreng ja.
Waa. Anyway, selamat hari jadi mak. Semoga sihat selalu.
Eh, iya? Hari jadi aku hari ini. Aku pun terlupa.
Yang ke berapa tu mak?
12 tahun baru. Baru stat-stat pandai masak. Haha.
Hah?
Tahun ni kau paling awal call. Adik-adikmu belum call. Rindu pula aku. (bunyi sebak).
Aiyo, org call ucap pun, mau nangis2. Haha. Ok mak, jaga diri ah. Kimsalam org rumah.

Tidak, mak tidak pernah bencikan aku. Aku tamatkan panggilan kerana aku takut aku akan menangis di sebelah sini. Aku pantang mak atau bapa bersedih. Aku turut emo. Tarik nafas dalam-dalam. Pelik. Perasaan aku; tentang semua benda bencikan aku bagaikan hilang. Semua lari bercempera. Apa sudah aku buat? Aku baru saja bercakap dengan mak.

Betullah kata orang, bila kita berserabut fikiran, cuba hubungi ibu bapa kita di kampung. Tak payah kita hendak bercerita tentang masalah kita. Cukuplah mendengar suara mak kita, yang seribu kali lebih mengenali kita.

Ayuh mulakan kerja semula. Dengan bismillah.


---------------------------

Ini adalah sebuah perojek penulisan. 90% adalah kisah benar, dan 10% mungkin adalah pembohongan yang boleh menutupi keseluruhan penulisan. Kau jangan serius sangat.