Sunday, September 1, 2013

Sulaiman, Laki-Laki Senteng.

'Sekarang saya hendak menulis buku sampai tahap boleh difilemkan!' katanya penuh semangat. Laki-laki yang sering dituduh senteng itu tiba-tiba bangkit dari kerusi plastik yang hampir patah itu. Bau bakau menyengat tenggorok. Air laut sudah sampai ke paras betis manusia. Air sedang pasang. Entah kenapa laki-laki itu digelar senteng. Atau manusia sekelilingnya sebenarnya kumpulan manusia yang tidak berguna kepada dirinya sendiri.

'Aku juga ingin menjadi Tarzan! Tapi versi penjaga hutan bakau. Hari ini saja, aku sudah menanam 60 biji benih pokok bakau. Hutan kita ini sebenarnya sudah musnah! Kalau tsunami nanti, senang-senang kampung kita hilang! Kalau  satu hari 60 biji aku boleh tanam, sebulan kita boleh dapat 1, 800 batang pokok yang baru. 1 biji bersamaan dengan 1 batang pokok bakau untuk masa depan kamu. Aku tanam pokok bakau, orang panggil aku senteng.' Kelmarin tadi, laki-laki senteng itu dilihat terbongkok-bongkok sedang mengutip benih bakau dari hutan paya bakau itu. Ada sekarung guni sedang disandangnya. 

Saya dengar laki-laki senteng bernama Sulaiman ini merupakan lulusan universiti di dalam bidang perhutanan. Mengikut cerita orang kampung, Sulaiman ini menjadi senteng selepas kepalanya tertimpa oleh dahan pokok durian ketika berjalan mencari buah durian di sekitar rumahnya. Sebelum itu, Sulaiman cuma lelaki biasa. Tidak pernah dilihat sendirian seperti sekarang. Saya tertarik untuk membuat dokumentari kecil tentang diri Sulaiman sebagai tugasan terakhir pengajian saya.

--------------------------------------------------------------------------------------------

Sarjan Foong memandang jauh ke luar pejabatnya. Tadi baru usai melihat beberapa rakaman visual yang dilakukan oleh pelajar komunikasi media tahun akhir bernama Asri itu. Pagi tadi, dia bertanyakan beberapa soalan kepada Sulaiman Laki-Laki Senteng itu. Asri dikhuatiri hilang semasa membuat rakaman tentang Sulaiman dan hutan bakaunya. Kata Sulaiman, Asri mungkin disembunyi oleh hantu hutan. Budak bandar dan terpelajar macam Asri mana biasa masuk hutan bakau macam itu. Yang tinggal cuma, beg yang berisi kamera perakam, buku catitan, alat tulis, dompet yang tidak berusik dan sebuah botol minuman. Sulaiman dilihat seperti kebingungan, kepalanya berbalut kerana luka. Seperti pernah dipukul, tetapi Sulaiman memberitahu kepalanya luka kerana terjatuh.

Sarjan Foong, memainkan semula rakaman visual peninggalan Asri di dalam laptopnya.

------------------------------------------------------------------------------------------------

'Aku hairan kenapa orang kata aku senteng? Aku tahulah aku bukan orang berharta, aku cuma ada segulung ijazah. Itupun payah nak cari kerja. Aku cuma tanam biji benih bakau, salahkah?'

'Bila aku bagitau dekat Ali, aku nak tulis buku, dia ketawakan. Semua benda aku buat, semuanya salah. Ali dan kawan-kawannya selalu kutuk-kutuk aku. Kadang diorang sengaja sembunyikan karung berisi biji benih pokok bakau aku. Penat aku mencarinya. Lagi nak susahkan aku mencari biji benih yang baru. Aku berazam untuk menanam pokok bakau semula dan jaga pesisir pantai kampung kita. Hah! Kau jangan lupa masukkan dalam rakaman kau, ya.'

'Yang ini, offrecord. Aku nak beritahu kau satu rahsia. Dalam hutan bakau ini, ada taman puteri. Aku dah pernah sampai. Perempuan-perempuan di situ cantik sungguh, tapi aku tak adalah nak mengoratnya. Setiap kali aku berjaya tanam 60 biji benih, mereka akan memberi aku seuncang emas. Hah, sebab itulah aku tak payah kerja sekarang ni.  Aku cuma perlu menanam pokok bakau, aku dapat habuan! Agak itulah kot, aku dipanggil senteng. Aku pernah ajak budak sekampung untuk join bersama. Tapi puteri-puteri itu tak setuju. Mereka tak percaya dengan manusia.'

Dokumentari saya bertambah menarik dengan cerita 'taman puteri'. Saya berasa kurang percaya, hinggalah satu hari Sulaiman jatuh sakit dan hanya berehat di rumah. Saya dalam diam-diam pergi masuk ke dalam hutan bakau kerana teringin melihat taman puteri yang dimaksudkan oleh Sulaiman.

------------------------------------------------------------------------------------------------------

Catatan yang dilakukan oleh pelajar itu menarik perhatian Sarjan Foong. Seolah-olah, ia memberi satu petunjuk baru di mana pelajar itu sedang berada. Tapi kenapa pelajar itu meninggalkan beg sandang miliknya di rumah Sulaiman. Kenapa dia tak bawa sekali untuk membuat rakaman? Sarjan Foong mengarahkan beberapa orang anggota bawahannya untuk masuk ke dalam hutan bakau yang 'didiami' oleh Sulaiman Laki-Laki Senteng. Sulaiman juga dibawa bersama dengan tangan bergari, takut-takut dia melarikan diri pula. Sarjan Foong tidak mahu menganiaya sesiapa yang tidak bersalah. Dia juga yakin Sulaiman sebenarnya 'tidak sihat'. Sulaiman hanya ketawa mengekek bila Sarjan Foong meminta dia menunjukkan uncang emas pemberian taman puteri di dalam hutan bakau itu. Katanya semua orang tamak hendak melihat 'kesenangan'nya. Sarjan Foong mengarahkan rumah Sulaiman digeledah untuk mencari petunjuk kehilangan Asri. Hari ini sudah masuk hari ketiga, Asri hilang. Ini mencabar tugasnya sebagai ketua penyiasat bagi kes ini. Kelihatan sederetan benih-benih bakau yang sudah bercambah setinggi selutut kaki dewasa. Kata Sulaiman, taman puteri itu terletak jauh terperosok ke dalam hutan bakau itu. Hanya boleh dijangkau dengan perjalanan kaki. Sarjan Foong menerima laporan dari anggota polis yang sedang meronda sekitar hutan bakau itu dengan menggunakan helikopter. Tiada sebarang tanda ada manusia tinggal di dalam hutan itu. Sarjan Foong mengeluh berat, dia segera meminta anggotanya untuk patah balik ke balai polis kerana hari sudah beransur surut siang.

'Aku yakin ada sesuatu yang kau sembunyikan, Sulaiman.' Ujar Sarjan Foong. Di hadapannya, seorang Sulaiman sedang memandangnya, tersenyum kecil. Sulaiman akan dilepaskan dari sel itu dengan ikat jamin.

'Manusia perlu kembali ke pada alam. Perlu tahu alam ini perlu dijaga. Musibah menimpa gara-gara 'tangan' manusia itu sendiri. Asri sedang mencari sesuatu di dalam dirinya.' Kata Sulaiman sebelum keluar dari balai polis itu. Sulaiman dilepaskan bersyarat, perlu melaporkan diri pada setiap minggu sehingga kes ini selesai. Dia menarik nafas lega, sampai di pintu pagar utama balai polis itu. Sepanjang perjalanan, beliau mencari cara untuk mencari Asri. Asri ini apa? Hanya pelajar yang sedang menghabiskan semester akhirnya. Sedang mengerjakan tugasannya, tetapi kenapa dia hilang?

Sampai di rumahnya, dia memerhatikan sekeliling ruang kerjanya. Ada sedikit kesan berselerak, mungkin ianya kerana polis menggeledah rumahnya untuk mencari bahan bukti berkaitan dengan kehilangan Asri. Dia menghidupkan laptop dan internet. Membuka aplikasi Google Map dan mencari peta hutan bakau yang sedang dikerjakannya. Tiba-tiba dahinya mengerut. Ada orang telah meletakkan tag di dalam hutan bakau itu, sebelum ini tag itu tidak ada. Seolah-olah hanya dia sahaja manusia di dunia ini yang berminat tentang hutan bakau yang hampir pupus itu. Tag itu diberi nama 'Hutan Sulaiman'. Fikirannya bingit. Dia mengingat-ingatkan hari terakhir Asri berada bersamanya. Asri ada memberitahu ingin meminjam laptop dan talian internetnya. Dia menekan Ctrl + H, untuk mencari History penggunaan laptop di hadapannya itu. History 5 hari lepas terpampang di skrin. Pada fikirnya, memang Asri yang telah meletapkan tag Hutan Sulaiman, tapi untuk apa. Kemudian, dia melihat terdapat pautan lain di dalam History itu. Ada satu pautan yang mempunyai alamat sebuah blog. Sulaiman membaca isi blog tersebut, ini mungkin blog Asri. Terdapat banyak entry di dalamnya, termasuk gambar-gambar aktiviti Asri. Mungkin Asri seorang yang sukakan cabaran lasak. Update terbaru ialah sekitar 5 hari lepas, hari terakhir Sulaiman melihatnya.

'Sulaiman kata, ada taman puteri di dalam hutan bakau ini. Aku hendak tengok sejauh mana sentengnya Sulaiman ini. Korang guys jangan bimbang, Malaysia ni kecil. Tak mungkin aku akan sesat. So, nantikan cerita aku yang seterusnya. Pencarian taman puteri, namanya. Aku dah tag hutan bakau ini dalam Google Map, aku beri nama Hutan Sulaiman. Harap aku akan berjumpa dengan puteri-puteri itu. Well, this sound freaky, tapi inilah hidup aku. 7 hari lepas ini, baru aku akan keluar. Tak lama. Jangan bimbang.

Pencari diri, Asri.'

Asri ini memang gila. Jadi, hari ini hari ke 6 dia hilang. Esok dia dijangka akan keluar dari Hutan Sulaiman itu. Esok dia tak ada, aku akan laporkan benda ini kepada Sarjan Foong. Sulaiman memicit-micit dahinya, terasa ada denyut di dalam kepalanya. Masalah hidup tidak akan pernah selesai.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------

Sarjan Foong terkejut dengan kehadiran Sulaiman di hadapan balai polis itu, kira-kira jam 10 pagi itu. Sulaiman, dilihatnya sedang 'mencari-cari' sesuatu di dalam tablet elektroniknya itu. Sarjan polis itu mendekati Sulaiman dan melihat sama.

'Apa kau buat kat sini, Sulaiman? Tak kan nak lawat saya pula?' Soal Sarjan Foong.

'Saja. Rindu nak tengok muka Sarjan Foong yang tenang tu. Sarjan ni tak pernah ada masalah ke? Tak pernah pukul tahanan ke?' Sulaiman selamba, jarinya masih menguis-nguis skrin tablet di hadapannya. Dia kemudian meneguk air teh tarik yang dibelinya sebelum sampai ke sini.

'Haha! Kau ni memang senteng ke Sulaiman? Orang kampung panggil Sulaiman Senteng, kau tak marah ke?'

'Dulu marahlah, Sarjan. Tapi nak buat macam mana, biar sajalah. Tanam pokok bakau lagi bagus. Hidup sihat, membawa berkat.'

'Dah tu, kau buat apa, dekat depan balai ni?' Tanya Sarjan Foong sekali lagi. Mood paginya sederhana baik. Semalam tidur awal, kes tak berapa banyak. Isterinya memasakkkan makanan kegemarannya semalam, anak-anak tidak berperangai sangat. Hari yang baik hari ini. Agaknya. Tiba-tiba telefon selfonnya berbunyi, ada panggilan di hujung sana. Sarjan Foong tergamam, Sulaiman kerut kening memandang wajah polis cina itu.

Sulaiman hanya diam, dia duduk di kerusi panjang di hadapan kaunter melaporkan aduan. Asri ada di hadapan matanya, pakaiannya berbau masam. Rambut serabai. Oh, ini kesan hilang di dalam hutan bakau itu barangkali, kata Sulaiman di dalam hati. Ibu bapa Asri juga turut berada di situ. Asri dilihat seperti tiada apa-apa yang terjadi kepada dirinya. Asri mendatangi Sulaiman sambil tersenyum-senyum.

'Saya dah jumpa.' Asri tersenyum, Sulaiman tercengang.

'Saya dah jumpa taman puteri itu. Betul kata Encik Sulaiman, tapi mereka tak suruh saya hebohkan. Tadi pun saya laporkan, saya hanya tersesat di dalam hutan itu. Encik Sulaiman ni pasti dah baca blog saya kan? Saya tahu. Nah, puteri-puteri bagi dekat Encik Sulaiman. Mereka kata, teruskan usaha murni Encik untuk menjaga hutan bakau itu. Eh, Hutan Sulaiman. Saya pergi dulu, ibubapa saya dah tunggu. Nanti saya datang lawat Encik. Bye.'

Sulaiman tercengang-cengang, dia menepuk-nepuk pipinya sambil memerhati bungkusan kain di tapak tangannya itu. Dia membuka bungkusan itu, ada kepingan emas berbentuk bulat di dalamnya. Dia tambah bingung dengan keadaan ini. Sebenarnya, dia menipu semua orang tentang cerita taman puteri dan upah kepingan emas ini. Cerita itu hanya direka-reka supaya orang kampungnya mahu mengikutnya menjaga hutan bakau itu. Dia sendiri tidak pernah mempunyai uncangan emas seperti yang ada di dalam telapak tangannya itu.

5 bulan berlalu. Sulaiman masih dipanggil Sulaiman Senteng. Dia masih meneruskan kerja-kerja penanaman benih bakau. Usahanya itu mendapat perhatian sekumpulan ahli badan bukan kerajaan. Setiap 2 minggu, dia akan menerima kunjungan kumpulan tetamu yang akan mempelajari hal-hal berkaitan dengan penjagaan hutan bakau. Pangkin rumahnya dibesarkan untuk dijadikan tempat sidang pembentangan usahanya itu. Bilik-bilik di dalam rumahnya juga dibaiki dan selalu disewa oleh pelancong asing. Pendapatannya semakin bertambah. Tiba-tiba satu petang, Sarjan Foong muncul di hadapan rumahnya bersama 3 orang anggota polis yang lain. Sulaiman pelik.

'Ali dan kawan-kawannya hilang dalam hutan kau ni Sulaiman. Ada apa-apa maklumat tak? Tuan puteri tak bagitau kau apa-apa?' Sulaiman tepuk dahi. Masalah datang lagi, dia sendiri pun tak pernah jumpa tuan puteri rekaannya itu.

'Dah, aku gurau saja. Kami datang nak makan seafood. Masak sedap-sedap.'