Tuesday, October 15, 2013

Pegawai Bayang Hitam

'Ini bilik konsultansi terakhir, bermaksud sebelum awak dijatuhkan hukuman selepas mendengar pertuduhan awak yang lepas dan awak telah didapati bersalah, awak mesti diberikan konsultansi peringkat akhir. Ada apa-apa soalan sebelum kita mulakan seisi ini?'

Saya memandang lesu, seperti ada point di atas meja kayu ini. Mata saya dipanah oleh cahaya lampu yang berwarna kuning. Sakit dan pedih mata saya ini, tetapi kesakitan itu seolah-olah sudah saya imun. Air mata mengalir di pipi disebabkan mata terasa pedih. Saya diam, ada sedikit perasaan ingin menangis. Tetapi menangis ini sudah berkali-kali saya lakukan sebelum ini. Saya sudah tidak ingat, emosi bagaimana boleh mengeluarkan air mata. 

'Saya sudah disabitkan kesalahan. Hukumlah saya secepatnya. Saya sudah penat. Hendak berfikir pun penat. Kadang menyedut udara juga, saya terasa seperti penat bukan kepalang. Apa lagi tinggal untuk saya?

Air mata mengalir, mata terasa pedih dengan tujahan cahaya. Kadang mata saya bergerak-gerak, cuma sekadar melihat ruang kosong di atas meja kayu di hadapan saya. Dulu mata ini, selalu melihat keindahan alam. Ke gunung, ke laut, ke udara.. ke mana-mana saja. Mata ini ditemani oleh teman-teman panca indera yang lain. Teman-teman lain juga sudah 'mati'. Kini mata ini hanya mampu melihat 'kosong'. Sekejap, sekurangnya mata ini masih mampu mengesan kuningnya lampu, pedihnya terkena tujahan cahaya dan masih mengalirkan air mata. Sekurang-kurangnya saya masih ingat keadaan mata saya. Tubuh saya longlai, bukan kerana tidak makan. Tetapi saya sudah hilang daya untuk hidup. 

'Awak tahu apa hukuman yang akan diberikan kepada awak?'

Tanya bayang gelap itu. Mata saya masih tertancap ke tengah meja kayu. Hanya ketika mula-mula sampai di penjara ini, saya melihat pegawai penjara kemas berpakaian lengkap. Entah. Saya sendiri tidak pasti sudah berapa lama saya di sini. Apa-apa pun sudah tidak penting untuk saya.

'Semua manusia akan mati. Lambat atau tidak. Sama seperti awak.'

'Haha! Awak ini manusia apa? Teringin benar untuk mati. Apa awak dah buat untuk diri awak sendiri sebelum mati? Adakah awak sudah menjalankan tanggungjawab yang patut awak buat sepanjang menjadi manusia? Berapa banyak awak dah buat?' 

Saya tertawa kecil sambil menggeleng-geleng kepala. Untuk apa mengenang diri sendiri? Mengenang hal-hal silam. Saya sendiri malu melihat diri saya di dalam kotak fikiran saya. Mata saya layu semula, saya mula memikirkan sesuatu. Apa sebenarnya terjadi kepada saya, sampaikan saya jadi seperti ini? Kotak ingatan saya aktifkan. Macam di dalam wayang gambar, tiba-tiba saya melihat ada paparan bergerak sedang tertancap di dinding bilik itu. Saya melihat diri saya di dalam sana. Oh, begitu rupanya saya ketawa bila saya sedang bergembira bersama ahli keluarga di dalam perayaan hari raya. Saya melihat ibu dan bapa, duduk berdua-dua sedang tersenyum kepada saya. Di kerusi lain, ada adik beradik saya, sedang berebut-rebut merasa juadah.  Slide ditukar, ada paparan lain. Oh! Itu rupanya wajah saya ketika saya sedang mengerjakan sesuatu di dalam komputer. Seriusnya wajah saya. Saya ingat, ini tahun akhir saya di universiti. Tiba-tiba rakan sebilik saya menghadiahkan sebiji kek berlilin kepada saya. Iya, hari itu ialah hari jadi saya. Slide ketiga, kenapa saya nampak seperti murung di situ? 

'Ini bahagian-bahagian hidup awak ketika awak dilanda masalah. Masalah bercampur gaul. Hal keluarga, hal belajar, hal dengan teman-teman. Segalanya berkemuncak ketika awak mengalami kerugian di dalam perniagaan. Tiada siapa pun bersama awak. Bila awak diisytiharkan muflis, awak akhirnya memilih untuk mati. Masihkah awak ingat, apa benda yang selalu awak nak lakukan tapi tak jadi-jadi juga? Awak selalu berjanji untuk melakukan hal ini sehingga berjaya.'

'Apa kaitan soalan awak itu dengan sesi konsultansi terakhir ini dengan hukuman yang bakal saya lalui?'

'Sekadar mengingatkan' katanya. Saya nak ingatkan apa lagi. Yang saya ingat, semenjak kecil lagi saya teringin menjadi seorang penulis. Saya pernah mempunyai tulisan di atas kertas kajang berwarna biru nila. Saya kecewa bila mendapat tahu kertas-kertas itu telah dibuang oleh mak saya. Saya menulis lagi, kali ini saya rajin menulis puisi, selari dengan peningkatan usia dan perasaan saya di zaman remaja. Buku itu juga hilang. Saya meningkat dewasa, saya makin kerap membaca. Saat saya dilanda ribut perasaan, saya penuhi masa lapang dengan membaca. Saya sejak kecil lagi berazam mahu menjadi seorang penulis. Saya rasa, hanya melalui imaginasi, saya terus menerus akan gembira. Ya, hanya melalui itu sahaja.

'Soalan terakhir, sekiranya diberi peluang kali terakhir, apakah peluang yang awak inginkan sekali lagi?'

Saya senyum memandang pegawai bayang hitam itu. Menggeleng-geleng kepada, sudahlah hendak dijatuhkan hukuman, boleh lagi pegawai ini menguji-uji hati saya. 'Saya nak hati yang baru, kehidupan yang baru.' Kata saya. Sekadar menganggap ini semua sekadar mempermainkan perasaan saya. Tapi, apasalahnya. Sekurang-kurangnya kali terakhir ini saya sempat bermimpi lagi untuk kehidupan yang baik-baik.

'Baiklah, sebelum awak meninggalkan kami, saya akan memberikan awak hati yang baru. Ini ialah prosedur kami di sini iaitu melaksanakan hasrat pesalah sebelum dihukum. '

'Diberikan hati yang baru? Dah nak mati pun awak nak beri lagi? Awak ni kelakarlah pegawai bayang hitam.'

'Kami memang kelakar. Kelakar ini, sikap yang datang dari hati awak sendiri. Awak lupa, awak seorang yang kelakar sebelum mengambil keputusan untuk menarik nyawa sendiri?'

Saya semakin bingung. Tiba-tiba bahagian tubuh sebelah kiri saya berdenyut dasyat sekali, seperti ada sesuatu yang sedang ditarik keluar. Sakitnya bukan kepalang, saya melihat darah membuak-buak keluar dari perut saya. Nafas saya terasa sesak, seperti udara dari paru-paru saya sedang disedut keluar. 

'Awak akan menghadapi situasi kesakitan ini dalam sedikit masa lagi. Seperti akan mati, tetapi belum mati. Kami bukan malaikat pencabut nyawa untuk mencabut nyawa awak.'

'Habis kau siapa? Kenapa buat aku macam ini???' Kesakitan saya ini amat memeritkan.

'Awak sedang berada di dalam penjara imaginasi awak sendiri. Sesi konsultansi ini ialah monolog dalaman awak bersama hati dan fikiran awak sendiri. Awak dihukum mengikut permintaan awak sendiri, dan nampaknya awak boleh menerima diri awak sebenar bila sebenarnya awak masih mampu membuat impian untuk hidup yang lebih baik. Saya ialah hati awak. Hati awak, akan diganti. Tetapi saya tetap bersama awak. Jumpa lagi bila dah sihat. Bye.'

------------------------------------------------------------------

Entah. Mata saya menangis lagi. Saya memandang ke atas, ada kipas siling yang sedang berputar laju. Mata saya terkedip-kedip. Sakit masih bersisa. Entah apa sedang terjadi. Saya meraba perut bahagian sebelah kiri tubuh saya. Panas tetapi seperti ada cecair. Saya melihat tapak tangan saya, yang panas dan cecair itu rupanya darah. Saya bingkas dari pembaringan. Saya terkejut ada seketul hati manusia di atas katil saya. Saya melihat perut saya, seperti tiada apa-apa yang cedera. Habis tu, siapa punya hati manusia di atas katil saya ini???

1 comment:

Nor Adzwaty Rokkafella said...

deep~~~

yet menginsafkan...

good work!