Thursday, August 1, 2013

Badut Sarkis Yang Lucu.

'Hei, tolong update status tentang cerita lucu. Hari ini tidak ada?', tiba-tiba kotak mesej dari Facebook dari seorang teman menjelma. Saya membaca mesej itu 3 kali untuk cuba memahami. Cerita lucu? 'Hari ini tidak ada?', soalan ini memberikan imaginasi saya seperti seorang pembuat kisah-kisah lucu. 

'Tolong buat cerita yang mampu membuat aku ketawa sambil berguling-guling. Sudah lama tidak ketawa.' Sambungnya lagi. Saya kerut dahi, tadi dia kata dia minta untuk saya update-kan kisah lucu. Kemudian sekarang ini, dia memberitahu dia sudah lama tidak ketawa. Saya terbayangkan badut sarkis.

Saya membawa ingatan semasa berusia 17 tahun, ketika sedang bekerja sambilan di dalam sebuah kedai pakaian milik taukeh cina. Masa itu adalah selepas saya menduduki peperiksaan SPM. 'Cuba, tolong ceritakan kisah-kisah lucu. Aku seronok mendengar kisah-kisah kau. Cerita-cerita dongeng.'

Cerita dongeng? Macam seorang penglipurlara pula saya ini. Kadar kejutan yang saya alami masa itu, sama seperti malam ini. Mungkin paparan status di dinding Facebook saya kadang-kadang memberi impak rasa lucu. Ya, saya memang selalu menyelitkan sisi tulisan yang lucu. Bila saya geram, tetap ada tulisan lucu, walau sedikit. Mungkin kawan saya tadi itu sedang bersedih hati. Entah apa ada di dalam fikirannya. Mungkinkah rasa lucu langsung ketawa boleh mengurangkan rasa-rasa yang pahit itu?

Badut sarkis, apa salahnya?  Badut memakai warna palitan pelbagai di wajahnya sambil menunjukkan ekspresi lucu. Siapa yang memandang, pasti rasa suka. Badut tidak ada ekspresi sedih. Mungkin dari sisi lain, badut juga mampu menakutkan kanak-kanak. Iyalah, kadang-kadang palitan warna di wajah badut lucu ini ada yang tampak seram. Persepsi manusia itu berlainan. Mungkin tulisan saya seperti itu. Nanti saya perah lagi fikiran saya untuk menghasilkan update yang lucu, walau sedikit.

Membuatkan orang lain gembira itu juga satu passion. Mungkin.