Tuesday, February 12, 2013

Benci dan Emak.

Batuk tak henti-henti. Entah lohong pernafasan mungkin sudah cedera. Ada kahak kental terkubur di sana. Semua serba salah. Semua bagaikan bencikan aku. Kenapa selalu begini; maksud aku, ketika aku penuh dengan idea, ada saja aral sengaja melintang? 

Kampus juga seperti bencikan aku. Elaun belum masuk. Cuaca panas melengking. Keputusan peperiksaan pun nyawa-nyawa ikan. Banyak benda hendak dibeli. Kawan-kawan juga seperti bencikan aku. Mengata aku sesuka hati, padahal tidak permah bertegur sapa. Apa salah kau ludah ke muka aku, segala kebencian kau terhadap aku? Ini tidak, kau hanya memuncung di belakangku. Orang kata, orang yang suka mengata di belakang memang dia layak hanya berada di belakang. Itu kata orang, bukan kata aku. Aku tak kisah sesiapa pun membenci aku, aku pun bukan suka kepada semua orang.
Kuku juga seperti bencikan aku. Pada masa senggang, aku selalu buat kraf. Untung nasib, boleh dijual. Menambah duit poket, sekadar melapis hayat sebelum elaun belajar akan release. Kukuku terkoyak tatkala senang membuka kain yang terlekat tanpa arahan sebenar. Hendak dipotong, terasa sakit. Isi ikut terkoyak. Ya! Aku sedang berusaha mengubah nasib. Mencari duit, menjual barang seni. Sebelum elaun keluar. 

Talian internet juga seperti bencikan aku. Musim perayaan sebegini, talian mesti jadi lembab. Perkara yang perlu aku lalui sejak pandai menggunakan jalur-lebar atau broadband. Ah, talian internet rumah sudah dipotong. Lagi sekali, elaun sudah tertunggak. Semua pembayaran bil-bil sudah bertambah. Elaun belum release. Aku jadi penyabar untuk talian internet sebegini rupa.

Idea juga bencikan aku. Ah, idea untuk membuat kraf baru sebentar tadi terputus. Sekarang aku mahu mencari idea untuk sesi kelas aku lusa. Entah, aku tidak nampak lagi bayangnya. Mataku juga seperti bencikan aku, pedis rasanya. Mungkin kerana seharian 'bekerja'.

Tulang belakang aku juga seperti bencikan aku. Lenguh. Tapi, kalau aku meniarap di atas lantai, aku juga akan rasa dibenci oleh lantai. Mahu tahu kenapa lantai seperti bencikan aku? Sebab aku mudah tertidur sekiranya aku meniarap sambil mencari idea melalui internet. Jari aku selalu terhenti pada butang SPACE, maka turunlah cursor sampai bawah website. Kadang-kadang aku boleh tidur, dengan kepala yang tegak selama sejam lamanya. Untung nasib, rakan sebilik boleh tergelak melihat keadaan aku sebegitu.

Tarik nafas dalam-dalam. Aku rasa udara tidak membenci aku. Lancar saja dia masuk ke dalam lohong nafasku. Dan sekali lagi terbatuk. Benci!

Aku memandang kalender di tepi kanan laptop aku. Hari ini 10 Febuari. Hari jadi mak dan kakak aku. Aku sudah wish kakak aku dekat facebook. Mak tidak ada facebook. Aku cek baki talian telefon genggam. Ada lagi 48 sen.  Nombor mak aku dail.

Mak masak apa? 
Nasi goreng ja.
Waa. Anyway, selamat hari jadi mak. Semoga sihat selalu.
Eh, iya? Hari jadi aku hari ini. Aku pun terlupa.
Yang ke berapa tu mak?
12 tahun baru. Baru stat-stat pandai masak. Haha.
Hah?
Tahun ni kau paling awal call. Adik-adikmu belum call. Rindu pula aku. (bunyi sebak).
Aiyo, org call ucap pun, mau nangis2. Haha. Ok mak, jaga diri ah. Kimsalam org rumah.

Tidak, mak tidak pernah bencikan aku. Aku tamatkan panggilan kerana aku takut aku akan menangis di sebelah sini. Aku pantang mak atau bapa bersedih. Aku turut emo. Tarik nafas dalam-dalam. Pelik. Perasaan aku; tentang semua benda bencikan aku bagaikan hilang. Semua lari bercempera. Apa sudah aku buat? Aku baru saja bercakap dengan mak.

Betullah kata orang, bila kita berserabut fikiran, cuba hubungi ibu bapa kita di kampung. Tak payah kita hendak bercerita tentang masalah kita. Cukuplah mendengar suara mak kita, yang seribu kali lebih mengenali kita.

Ayuh mulakan kerja semula. Dengan bismillah.


---------------------------

Ini adalah sebuah perojek penulisan. 90% adalah kisah benar, dan 10% mungkin adalah pembohongan yang boleh menutupi keseluruhan penulisan. Kau jangan serius sangat. 

1 comment:

UnaChenta said...

Assalamualaikum Mas!..

Ohh harijadi mama mu.. selamat harijadi makcik! lama sudah ndak jumpa mamamu.. Apa khabar makcik.. Semoga dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki.. Aminn