Sunday, February 24, 2013

Laila yang tidak gila.

Jasad dan rohku disambut dengan senyuman kecil. Wanita ini belum berapa tua, tetapi seperti ada lapisan yang memberi tampak tua di wajahnya. Ada jurai-jurai rambut putih di sebalik rambutnya yang masih lebat itu. Wajahnya tidaklah murung, mungkin sedikit serius. Ada 3 baris kayu melintang di dinding, tepi tempat duduknya. Aku memerhatikan barisan-barisan buku itu. Bermacam jenis buku ada di situ, mataku tertancap pada tajuk buku 'Si Badang'.

'Aku memang suka menyimpan buku semenjak kecil. Ini baru 3 baris kau nampak. Selebihnya ada di dalam ruang perpustakaan kecil di belakang rumah aku. Aku tidak memilih buku, asal namanya buku, mahal atau paling murah, ataupun buku lama tidak berlapik lagi pun aku beli dan kumpul.'

Semua buku? Semua? -- soal aku.

'Kecuali buku yang melacurkan sastera. Oh, maaf. Agak kasar bunyinya di situ. Maksud aku, buku yang membawa imaginasi yang bukan-bukan, yang mengajak lebih banyak bawaan dosa. Ah, abaikan, aku bukan baik sangat. Tetapi aku menolak buku-buku begitu.'

Aku perhatikan ke sekeliling ruang itu. Wanita ini ada mempunyai sebalang ikan emas, 3 ekor ikan emas berwarna kuning semuanya. Oh ya, ada tag nama terletak kemas di sebelah balang itu. 'Saya dan keluarga saya'. Di sebelah balang ikan itu, ada deretan gambar berimejkan kucing putih yang sama. Ini aku fikir, mungkin kucing kesayangannya. Hati aku terdetik semula kepada ikan-ikan emas tadi, rasanya wanita ini mempunyai adik beradik yang lain. Di dinding ruang itu, ada beberapa keping lukisan kanvas bercalitkan pelbagai warna. Aku pasti, itu juga lukisan hasil karya wanita itu. Aku pernah nampak salah satu keping lukisan kanvas ini menyerupai sekeping gambar digital yang dimuat-masuk ke dalam akaun Facebook wanita ini.

'Kau jangan hairan. Ikan-ikan emas aku itu, cuma satu simbolik tipis. Aku ada 9 orang adik beradik, aku pernah cuba memelihara 11 ekor ikan emas. Konon-konon mewakili ibu bapa aku dan 9 lagi adik beradik di dalam keluarga aku. Bila tak terjaga, satu persatu ikan aku mati. Yang tinggal cuma ikan yang aku gelar Bapa, Emak dan diri aku sendiri.'

Aku mengerut dahi, tanda kecil protes, tidak faham. Aku mula menulis sesuatu di dalam buku notaku.

'Bukanlah maksud aku, kematian ikan emas itu ialah simbolism berita tidak baik. Mula-mula aku kecewa bila ikan aku mati, seolah-olah petanda tidak baik. Tapi lama-lama aku sudah biasa. Cuma ikan emas yang bernama diriku sendiri ini ku umpamakan kami sembilan orang adik beradik, berenang gembira bersama emak dan bapa di dalam akuarium, simbolik untuk kompaun rumah kami. Walaupun, kami sudah lama tidak bersama.' Wajahnya terus redup, ada genangan kecil di mata nya. Barangkali sedih.

Aku perhatikan kukunya. Kulitnya ditata cantik, bersih dan kelihatan sihat. Sebenarnya, wanita ini belum sampai pun berusia 40 tahun. Dia ada banyak keistimewaan. Aku menghirup secawan teh yang dihidangkannya tadi. Tak lupa, ada sepinggan kecil agar-agar pandan terhidang sama.

'Kenapa Puan seperti menghilangkan diri? Ramai orang anggap Puan lari dari tanggungjawab, lari dari perkara-perkara yang Puan sudah usahakan.' - tanyaku sambil memandang tepat ke wajahnya.

'Aku bukan lari, aku cuma sudah penat berjuang. Aku sudah merasa tua, walaupun umur aku belum sampai 40 tahun. Kadang aku rasa perjuangan aku, cuma seperti bunga api. Bebas terjah ke angkasa, memancar-mancar cahaya di ruang sana. Bersinar ke bumi dan sampai masa hilang begitu saja.'

'Kenapa Puan andaikan diri Puan seperti bunga api? Tidak seperti bintang? Yang tetap tinggal di langit seperti kata Padi.'

Dia senyum dan menggeleng kecil. Tangannya menjangkau sesuatu dari bawah meja. Sebiji kamera lama.

'Pandai kamu ya, perumpamaan kamu agak funky. Aku suka orang muda yang bijak memberi perumpamaan yang menusuk hati.'

'Puan, Puan tidak terlalu tua. Beza umur saya dan Puan cuma 7 tahun. Cuma saya selalu membaca bahan-bahan bacaan yang banyak bermain kata. Dan ya, post-post Puan di Facebook, tidak pernah saya tidak membacanya.'

'Kata guruku yang sudah lama meninggal, jadilah manusia humble walau di mana berada sekalipun. InsyaAllah, semua orang akan sukakan kita. Tapi mungkin aku ditimpa ujian, tidak ramai yang setuju dengan perjuangan yang aku buat.'

'Sabar sajalah Puan, tidak semua orang sukakan kita. Kita juga sama, bukan semua orang kita akan suka. Kalau Puan rasa perjuangan Puan itu berada di landasan yang betul, teruskan.'

Dia punya banyak pengaruh. Kata-kata motivasinya, aktiviti sukarelanya, program-program tertentu di bawah kendaliannya selalu memberi impak kepada orang-orang di sekelilingnya. Cuma sejak 2 tahun kebelakangan ini, khabarnya sudah jarang didengar. Aku ialah seorang pengikutnya, bukan pengikut ekstremis. Dia  banyak melakukan aktiviti sukarela, aku juga seorang anak muda yang ingin berbakti kepada masyarakat. Cuma sejak isu perkauman dan pendatang asing ini begitu meruncing, dia benar-benar terpukul. Sekolah Tepi Jalan nya dirosakkan. Dia mendirikan Sekolah Tepi Jalan untuk mengajar sesiapa yang berminat untuk belajar membaca dan mengira. Sekolah Tepi Jalan ini tiada ruang yang tetap, cuma sekolah ini akan bergerak nomad dari satu tempat ke satu tempat pada masa tertentu di sekitar kota ini.

'Macam kau kata, tak semua orang sukakan kita. Aku dan kawan-kawan aku cuba mengajar orang kita yang tercicir di sekolah untuk belajar membaca dan mengira. At least, mereka boleh bekerja di mana-mana walaupun sebagai buruh, penjaga kedai runcit atau pekerja majlis bandaran. Tapi kau tahu negeri kita ini, isu perkaumannya sangat tebal. Mereka injak-injak papan tulis aku masa aku tengah mengajar sekumpulan anak-anak membaca ABC.'

Kau jangan gadai maruah kau. Kau ingat sikit kau itu perempuan.
So, what kalau aku perempuan? Apa kaitan dengan kedatangan kamu semua ini ke sini?
Sebab kau perempuan, aku boleh jual kau ke negara jiran. Jadi pelacur, biar kau merempat di sana.
Celaka. Semoga kau semua masuk neraka!!
Hei, aku bagi kau amaran. Lagi sekali kau teruskan Sekolah Tepi Jalan kau ini, aku jual kau betul-betul di negara jiran.
Apa masalah korang aku buka sekolah ni hah? Kau tak cukup nak sekolah, mari sekolah dengan aku di sini!
Hei, engkau guru yang tak berapa jadi ni, tak faham-faham lagi ya. Ini sapa budak-budak yang kau sedang ajar ni? Ini semua anak pendatang haram! Kau tak pandai-pandai faham rakyat mereka ni datang menuntut balik negeri kita?
Tanggapan kau dah silap. Aku bukan hanya ajar budak-budak yang seperti yang kau maksudkan tu. Makcik-makcik pun aku ada ajar, orang tua, orang kita. Apa masalah kau hah? Mak kau ada kat sini ke?
Kurang ajar! Kau memang suka menentang aku sejak dulu lagi! Sekarang kau terima padahnya.

Selepas kejadian hari itu, rupanya aku terlantar di hospital selama 1 bulan. Kata doktor, aku koma selepas kepala aku terhantuk di bucu jalan. Aku dipukul oleh manusia celaka. Kata kawan aku, selain dari Talib, ada 4 lagi kawannya yang lain telah memukul aku. Budak-budak Sekolah Tepi Jalan lari bertempiaran bila Talib dan kawan-kawannya mula memusnahkan binaan sementara sekolah itu. Sebenarnya Sekolah Tepi Jalan itu hanyalah terdiri daripada sebuah papan hitam besar, beberapa meja kecil dan kerusi kecil, beberapa  bakul buku dan tikar. Setiap hari Ahad, kami akan memilih lokasi tertentu untuk mengajar membaca dan mengira. Aku sedih bila pendidikan di negeri ini masih dipandang enteng oleh sesetengah orang. Ya, aku akui   kata-kata Talib tentang status anak pendatang haram yang masuk ke kelas aku.

Bagi aku, tiada siapa yang menginginkan untuk menjadi pelarian di mana-mana negara. Tiada siapa yang mahu merempat gara-gara tidak mempunyai ilmu untuk mencari pekerjaan. Tiada siapa yang suka mengemis. Kalau bukan kerana terdesak hidup, tidak ada sesiapa yang sanggup mengorbankan diri untuk mencari sesuap nasi dengan cara yang menyalahi undang-undang. Apa salah aku untuk mengajar budak-budak itu membaca? Ilmu membaca dan mengira di negara ini, bukan hanya milik untuk orang di negara ini. Ilmu itu bersifat universal, semua orang berhak mendapatkan ilmu. Anak-anak itu tidak bersalah, cuma kehidupan mereka yang mereka tempuhi memaksa mereka menjadi begitu. Apa salah kau ajar ilmu kepada mereka? Agar mereka boleh bekerja sekurang-kurangnya sebagai penjual plastik ikan dan mampu mengira duit memulangkan baki duit kepada orang yang telah membelinya.

'Hanya dengan ilmu manusia boleh berubah, ya Puan?' - dia mengangguk perlahan.

'Aku bukan lari dari tanggungjawab. Aku sekarang tidak sihat, lagipun aku masih trauma mengingatkan kejadian aku dipukul oleh Talib dan kawan-kawannya. Barang-barang sekolah aku habis dibakar oleh celaka itu. Aku jadi sedih. Aku frust, kenapa usaha aku itu mendapat musibah seperti itu.'

Tidak pernah pula aku menyalahkan Tuhan Pencipta ku. Cuma petang itu nasib aku tidak begitu baik. Aku masih ingat, Nora ada di dalam kelompok manusia celaka itu. Nora itu, kawan kenalan semasa pengajian di kampus. Kami selalu berselisih pendapat. Dia tidak pernah senang dengan aku, tetapi aku tiada masalah kalau tidak bertegur sapa dengan dia. Yang pelik, dia selalu bercakap-cakap pasal aku, ke mana aku pergi, dengan siapa aku berkawan, apa pun aktiviti aku; ini kawan aku yang cakap. 

Dengar khabar, Nora juga termasuk di dalam kelompok yang telah membelasah aku semasa petang durjana itu. Sama ada Talib, Nora dan sekutu-kutunya masih bertebaran di kota ini, aku mendapat tahu, mereka ini sebenarnya gengster yang selalu mempertahankan hak bangsa suku kaum mereka.

'Hak, my ass!'

Teh hampir tersembur bila aku mendengar kata-kata kesat itu. Sebenarnya, usaha wanita ini memang murni. Tapi tak ramai yang memahaminya. Aktiviti sukarela ini mendapat perhatian sinis dari beberapa pihak. Tapi tak kurang juga, ada pihak yang seringkali mendermakan material dan sumbangan wang ringgit untuk memajukan Sekolah Tepi Jalan nya itu. Cepatnya masa berlalu, banyak lagi soalan aku nak soal ni, getus fikir aku.

'Actually, kamu dari mana? Media?' - 

'Er..saya..saya..penulis blog. Saya mahu menjadi seperti Puan, yang selalu menulis kisah masyarakat. Maaf ya Puan. Saya tak tahu pula, Puan hanya menerima tetamu seperti media untuk menemuramah Puan.'

Dia tergelak kecil. Pelik.

'Sudahlah, aku bukan orang popular hendak mendapat liputan. Lagi satu, aku menulis cerita masyarakat ialah untuk perkongsian kecil yang telus. Aku suka berjalan-jalan, mengambil gambar dan menulis. Tak sangka penulisan aku mendapat perhatian. Ada yang tidak setuju dan ada yang setuju. Biasalah. Dunia--dunia--'

'Sebelum saya mengakhiri temu bual ini, boleh tidak kalau saya tanyakan soalan yang mungkin agak menyinggung perasaan Puan sedikit.'' Dia menggeleng-gelengkan kepala sambil ketawa kecil.

'Betulkah Puan mempunyai gangguan mental? Saya dapati Puan nampak biasa atau normal ketika menjawab soalan-soalan saya.'

'Ha-ha-ha-ha. Aku sudah agak kau akan tanya soalan ini dan memberi tanggapan kepada aku. Kalau aku tak ada masalah mental, tak adalah aku saja-saja tinggal dekat sini. Tapi duduk sini best, tiada gangguan langsung.'

'Saya tidak pernah percaya Puan mempunyai masalah mental. Puan seorang yang teguh dan kuat. Masakan perkara terakhir yang Puan hadapi hari itu, menggugat Puan?'

Ada waktunya kita terlalu lelah untuk mengerjakan sesuatu pekerjaan. Aku sebenarnya penat. Kadang jiwa hitam aku mempengaruhi aku -- untuk apa aku berkorban nyawa, masa dan duit semata-mata untuk orang lain? Tapi jiwa yang satu lagi selalu memujuk aku. Aku sebenarnya mencari diri sendiri, kepercayaan aku dan memang ingin membantu masyarakat.

Tapi pelik bukan, kalau diikut kronologi diri aku ini, aku bukanlah berlatarbelakangkan taraf pendidikan yang cemerlang. Sejak dulu lagi. Tetapi kenapa aku bermatian-matian mahu membantu manusia lain untuk sedar akan kepentingan taraf pendidikan? Membaca dan mengira? Usaha ku ini mungkin sangat hebat, sampai sanggup menumpahkan darah. Sangat gila. Ada permainan sedang berlaku di situ.

'Puan pernah cakap, hanya melalui taraf pendidikan sahaja yang boleh mengubah nasib negeri kita. Hanya dengan ilmu. Saya sangat bersetuju dengan yang itu. Tak mustahil, negeri kita akan menjadi super makmur, sama macam negeri-negeri yang lain. Ada itu ini. Macam-macam! Hanya kerajaan yang tidak memberikan apa yang sepatutnya kepada negeri kita!' 

'Ada apa? Bangunan tinggi? Monorel terhebat? Kita tak perlu itu semua. Aku lagi suka kalau negeri kita dikekalkan dengan konsep alam semulajadi berpacu dengan pembangunan. Cuaca panas melengking ini harus kita turunkan. Jangan salahkan kerajaan! Jangan salahkan orang lain, bila kita sendiri yang miskin.'

Aku jadi tidak faham. Kadang aku mendapati wanita ini seperti penyokong kerajaan, seperti juga golongan pembangkang. Kadang-kadang dia lebih kepada tidak pro kepada mana-mana pihak.Tapi aku yakin dia bukan golongan lalang.

'Aku harus keluar dari rumah untuk mencari rezeki. Bukan orang yang akan hantar makanan kepada aku. Aku bukan pengemis. Kau pengemis? Yang tak mampu bekerja atau hilang arah?'

Gelenganku pantas.

'Maaf ya, aku kena berehat. Untuk membuktikan aku ada masalah mental, tadi aku cakap, di belakang rumah aku ini ada perpustakaan kecil. Kau cari sendiri.' Dia senyum tipis, kemudian dia memberikan aku sekeping gambar. Hanya imej sepasang kaki dan sedang berdiri di atas lantai tanah. Ada imej sedikit sampah sarap di bucu gambar itu.

'Hakikatnya, kita semua sedang berdiri di atas tanah. Tapi tak ramai yang sedar. Hakikatnya dalam hidup ini, banyak halangannya apabila berkeputusan untuk manusia yang lebih baik. Selamat petang.' katanya sambil berlalu pergi.

Aku terkulat-kulat, perih akalku memikirkan ayat terakhirnya sebentar tadi. Dengan sekeping gambar yang masih di tangan, aku keluar dari ruang itu. Aku mahu mencari perpustakaan kecil yang dimaksudkan oleh wanita tadi. Pfftt.. lagi sekali aku terkulat-kulat, di belakang bilik tadi cumalah sebuah taman beriadah yang dipenuhi oleh pokok-pokok dan bangku-bangku konkrit. Boleh jadi gila aku ini, ini sebuah hospital masalah mental. Bagaimanalah aku boleh terjebak dalam teka teki wanita ini. Aku memerhatikan semula gambar 'kaki' tadi. Tanpa sedar, di belakang gambar itu ada tulisan kecil.

'Hanya orang gila tidak mengaku gila. Aku sebenarnya hanya mahu berehat. Anggap saja aku sedang buat-buat gila. Aku ada banyak kerja hendak dihabiskan. Duduk di dunia luar buat aku jadi lalai. Tapi satu masa nanti, aku kembali ke pangkuan masyarakat. Terus berjuang. Kamu juga, jangan lupa buat sesuatu untuk masyarakatmu.'

Berehat? Buat-buat gila? Lalai? Ya Tuhan, wanita apakah ini? Apa yang dia cuba maksudkan. Takanlah pihak hospital ini pun bersekongkol untuk menyimpan manusia yang tidak sakit? Betul kata-kata Armin, kawan aku seorang aktivis masyarakat. Wanita bernama Laila ini memang misteri. Bekas guru sekolah rendah ini, berhenti awal dari tugasnya. Masuk ke dalam masyarakat, membuka Sekolah Tepi Jalan bersama 2 orang rakannya. Projek ini mendapat tentangan dari masyarakat setempat, kerana Laila juga mengajar anak-anak imigran, malahan babu-babu yang berjualan tanpa permit pun turut masuk ke dalam kelas yang hanya dibina di tepi jalan. Tanpa dinding, tanpa bumbung dan tanpa fasilitis yang lain, Laila dan kawan-kawannya sanggup berteriak suara mengajar ilmu hanya sekadar membaca ABC. Aku dengar Laila menerima bantuan kewangan untuk projek amal ini. Entah dari siapa. Tapi aku yakin, penderma-penderma itu juga punya hati seperti Laila.

Laila yang tidak gila atau sengaja buat-buat gila, aku yakin kau sedang merancang sesuatu untuk masyarakatmu. Kami menunggumu.

No comments: