Thursday, November 7, 2013

Perihal 2: Rumah Koff, rumah penuh cinta.

Perempuan itu masih di situ. Dia sedang duduk menghadap tingkap. Hari ini sudah masuk hari ketiga dia di situ. Kerusi yang didudukinya adalah sebuah kerusi Inggeris yang kami beli dari sebuah jualan gudang. Kerusi yang kusyennya kami telah gantikan, kusyen lama sudah rosak tetapi struktur sokongan kayunya masih bagus. Kami beli dengan harga RM10.00 sahaja. Di hadapannya ada sebuah meja kayu, juga meja terpakai. Kelihatan ada 2 buah buku dan 2 batang pen. Ada sebuah telifon genggam yang sedang bersambung 'tenaga'. Katanya, namanya Lili, sedang melancong di sekitar daerah ini. Dia menyewa katil backpacker kami tetapi dia dilihat lebih banyak masanya di kerusi itu.

'Boleh kan saya duduk di sini 2-3 hari lagi? Saya kemaskini bayaran setiap hari. Rumah Koff ini sangat selesa. Rumah saya pun tidak seperti ini.'

Dia memesan segelas kopi setiap 4 jam. Di sisinya sentiasa ada sebotol mineral untuk minuman tambahan. Sudah 3 hari berkampung di Rumah Koff, dia memesan makanan seperti jadual makan seorang manusia biasa. Cuma yang pelik, dia banyak menghabiskan masa di kerusi Inggeris itu. Tetapi kami sudah boleh menerima keadaan, ramai manusia pelik di dunia ini. Kadang-kadang dia dilihat seperti mencatat sesuatu, kadang-kadang seperti membelek-belek telifon genggamnya dan kadang-kadang dia seperti termenung jauh. Kami pekerja saling berpesanan, agar memberi perhatian kepada Lili. Takut-takut sesuatu di luar jangkaan boleh berlaku.

'Saya sudah 72 jam tidak tidur. Saya tidak dapat tidur. Mungkin minum kopi terlalu banyak. Tetapi saya selesa dengan keadaan ini.'

Matanya kelihatan sembap, seperti baru menangis. Esok masuk hari keempat, mungkin esok matanya masih kelihatan begitu. Dia membersihkan diri seperti biasa. Ada tandas pancur Rumah Koff sediakan di bahagian belakang. Setiap kali lepas mandi, wajahnya kelihatan segar. Sejam tadi, dia mencuci pakaiannya dengan menggunakan mesin basuh kami sediakan. Selepas menjemur pakaiannya, dia duduk setengah jam di bawah cahaya matahari di samping kawasan ampaian. Pakaian tetamu nampaknya banyak tengah 'bersidaian' di luar itu, mungkin kerana semalaman hari semalam hujan turun tidak berhenti. Rumah Koff kalau jam-jam begini memang agak sunyi. Tetamu lain mungkin sedang berada di mana-mana kawasan pelancongan di daerah ini.

'Saya okay, jangan bimbang. Saya cuma mahu berehat.'

Malam ini, kami seperti agak sibuk. Hari Jumaat memang kerap menerima pengunjung yang datang makan malam di sini. Nasiblah cuaca agak baik, persembahan musik akustika berjalan lancar seperti biasa. Kami lihat Lili seperti sedang berteman. Ada seorang lelaki duduk di sebelah dan sedang memandang tepat ke arah Lili. Lili sedang mengamati persembahan musik, manakala lelaki itu seperti sedang mengatakan sesuatu. Kawan kenalan mungkin.

'Hebat persembahan akustika tadi, saya rasa terhibur. Oh, lelaki itu? Hmm..Dia kawan saya. Dia memarahi saya kerana menyimpan perasaan terhadap dia. Sedangkan dia menganggap saya hanya sekadar kawan yang rapat. Saya banyak berdiam dan biarkan dia bercakap. Salahkah saya menyimpan perasaan terhadap dia? Kenapa dia beria-ria memarahi saya? Saya sekadar meluah perasaan saya tetapi tidaklah berniat untuk memiliki sebuah hubungan cinta dengan dia. Cuba awak fikir, dia melayani saya dengan baik. Kadang-kadang dia mengirimkan bait lagu cinta kepada saya. Saya mulanya tidak ada perasaan sebab saya tahu dia ada kekasih hati. Sebenarnya, ada beberapa kali kami keluar bersama. Katanya, kekasih hatinya tahu saya keluar bersama dia. Kekasih hatinya tidak kisah. Saya katakan pada dia, 'Awak perlu kisah dengan kekasih yang tidak kisah kekasihnya keluar bersama dengan perempuan lain.' Satu malam, saya bertanya soal hati kepadanya. Dia tak menafikan perasaan itu, cuma saya pelik dalam tempoh sejam dia seperti berubah rasa. Aneh ya. Dan, tadi dia datang memarahi saya.'

Kami terasa aneh dengan butir kata Lili. Tetapi mungkin ini cuma salah faham. Betul katanya, salahkah menyimpan perasaan terhadap seseorang? Menyimpan dan meluah rasa tidak semestinya mahu  membina hubungan cinta. Tetapi kami yakin lelaki semalam itu ada isunya sendiri. Kalau tidak ada rasa, kenapa mahu melayan Lili begitu rupa? Anehnya cinta. Yang aneh, bila cinta itu berpusing-pusing keadaannya. Lili mahupun lelaki itu sudah pasti adalah manusia-manusia yang mahu dicintai dan mencintai.

Pagi itu, perempuan Lili itu sudah tidak kelihatan di kerusi Inggeris itu. Barang-barangnya juga sudah tidak ada. Ada sehelai memo di atas kaunter pertanyaan Rumah Koff, ringkas tulisannya.

'Cinta itu ada satu tuju dan dua perkara;mencari persamaan,dan menghormati perbezaan.'
Rumah Koff, rumah penuh cinta.
Salam sayang, Lili.

Yang lagi aneh, kami menemui 3 buah botol ubat batuk yang sudah kosong di bawah meja yang 'dihuni' oleh Lili selama beberapa hari.



2 comments:

Nor Adzwaty Rokkafella said...

good writing...keep it up sis...i know how it feels

KerusiSepi said...

seramnya rumahkoff ni hahahahaha