Friday, November 1, 2013

Perihal 1: Sebuah malam di Rumah Koff.

Malam itu, rooftop Rumah Koff didatangi oleh ramai pengunjung. Kami bikin acara bertajuk 'Berdirinya Saya di Sini...'. Acara ini ialah acara pengucapan bebas. Kami sudah membuat hebahan besar-besaran sebelum ini dan menjemput beberapa orang kenamaan dan sahabat handai yang terdekat. Acara begini hanya dilakukan sebulan sekali. Oh ya, kami baru sahaja beroperasi semenjak 5 bulan yang lepas. Apa itu Rumah Koff? Rumah Koff ialah separa kafe, separa perpustakaan, separa tempat tinggal backpacker dan juga separa untuk tempat santai. Apa yang kami lakukan semuanya berprinsipkan perniagaan. Setakat ini, kami mempunyai 10 katil double decker untuk sewaan backpacker dengan kadar RM15.00 semalam, tanpa breakfast. Tiada bilik tidur cuma dihadang oleh langsir yang panjang. Cuba bayangkan anda bersantai di dalam kafe disertai dengan rak-rak buku? Ah, begitulah. Tawaran makanan dan minuman kami sangat berbaloi. Kami juga menyediakan perkhidmatan membuat acara-acara tertentu di bahagian rooftop Rumah Koff kami. Berbalik kepada acara pengucapan bebas.

Sebuah motor 125z diletak di atas pentas kecil. Lampu di sorot ke ruang berkenaan. Semua meja kerusi tetamu sudah dipenuhi. Pelayan part time Rumah Koff sedang sibuk menghantar makanan yang dipesan. Ada ruang santai di hadapan pentas kecil itu. Tetamu boleh duduk bersila di atas karpet yang disediakan. Kami juga ada menyediakan bantal-bantal besar yang mengandungi bahan kekabu. Kelihatan peserta satu-satunya malam itu sudah naik ke atas pentas. Mikrofon sudah tersedia untuk 'dijamah'. Namanya Nasirun Bin Abdillah. Kedengaran sorakan oleh teman-temannya. Ada 2 orang YB politik sudi bersama kami malam itu. Mereka masing-masing datang bersama isteri. Tiada arak kami sediakan. Yang paling sedap ialah air buah-buahan. Nasirun sudah bersedia dengan ucapan beliau.

'Hobi saya sememangnya membuang masa dengan motor saya. Keluar dan lepak bersama teman-teman di malam minggu. Orang panggil kami, Mat Rempit. Mula-mula kami kisah dengan gelaran ini kerana menurut filem rempit di pasaran, mat rempit sinonim dengan gejala yang buruk. Puas mulut kami menafikannya, tetapi apalah sangat yang boleh dibuat. Mulut celupar biarkan saja. Lagipun gejala buruk bukan milik mutlak komuniti kami. Yeahh!!'

Sorakan memecah malam. Suasana sejuk melilit badan. Kami, tenaga Rumah Koff memerhatikan segenap ruang rooftop itu. Lampu-lampu kecil dipasang keliling, meja dan kerusi untuk tetamu yang ingin menjamah makan malam, kami letakkan di tepi. Di atas setiap meja, kami letakkan gelas berisi sumbu dan api. Macam konsep candle light dinner, sambil mendengar acara ini. Pengunjung di ruang tengah yang duduk di atas karpet juga kelihatan selesa. Ada yang memesan kudapan ringan. 

' Selamat malam YB-YB yang sudi datang bersama isteri. Assallamuallaikum dan salam sejahtera saya ucapkan kepada hadirin yang sudi hadir datang mendengar saya berucap pada malam ini. Terima kasih kepada Rumah Koff yang menjemput saya. Nama saya Nasirun, saya wakil kawan-kawan yang sukakan motor dan kerap membuat bising di jalan-jalan utama di daerah kita yang cantik ini. Malam ini, saya diberi peluang untuk berucap di atas pentas ini. Akhirnya, ada juga pihak yang sudi mendengar luahan isi hati kami.

Tidak dapat dinafikan, golongan mat rempit selalu terlibat dengan macam-macam masalah. Tetapi pernahkah hadirin terfikir untuk mendekati kami? Secara kasarnya, kebanyakan dari kami cuma pekerja-pekerja sektor biasa. Ada yang bekerja sebagai penghantar surat, operator kilang, buruh biasa dan macam-macam lagi. Untuk ke tempat kerja, kami menggunakan motor sebagai pengangkutan utama. Ada juga di antara kami terdiri daripada pekerja di dalam sektor profesional, cuma menjadikan motor sebahagian dari keperluan untuk merewang-rewang bila tengah malam bosan tidak tahu hendak berbuat apa. Hendak ke kedai, pakai motor, senang hendak park, senang mencelah di dalam kesesakan lalu lintas dan macam-macam lagi. Kalau kita tinjau pekerja yang bergaji murah, hanya motorsikal yang mampu dimiliki. Berikutan dengan harga belian minyak yang sudah naik, motor ialah keperluan utama kami untuk ke tempat kerja. 

Kami juga mempunyai keinginan seperti pemilik kereta yang lain. Kalau anda sanggup berikat perut membuat maintenance kereta, kami juga seperti itu. Anda dengan kereta anda, kami dengan motor kami. Kami tak pernah mempersoalkan kadar gaji anda berapa dengan menghasilkan kereta make-up serupa kereta lumba anda itu. Tetapi ada di antara kalian yang memandang rendah dengan usaha kami untuk menghasilkan motor yang laju dan dibuat lumba bila di jalan raya. Berlibur di malam minggu, begitu? Anda main kereta, kami main motor. Adil tak adil? Kami juga seperti anda, ada crowd sendiri. Suka keluar lepak-lepak tengah malam, mungkin kami nampak mendominasi keadaan di kedai-kedai mamak. Negara kita masih ramai yang terdiri daripada golongan yang tidak berkemampuan memiliki kereta. Apa ingat kalau kami bergaji besar, nak pakai motor lagi? Kami pun ada nafsu seperti teman-teman semua.

Kami sudah imun ditahan di dalam sekatan jalanraya oleh pihak polis dan JPJ. Tidak dapat dinafikan, ada yang gagal ujian air kencing, tidak memiliki lesen motor dan macam-macam lagi kesalahan. Cuma kebetulan, pihak berkuasa kerap membuat sekatan di malam minggu di mana kami kerap memilih malam minggu untuk pergi berlibur di jalanraya. Hari biasa ialah hari bekerja, badan tak larat hendak berembun malam. Maklumlah bekerja di dalam sektor yang lebih banyak berada di luar pejabat. Perlumbaan motor di jalanraya ialah satu hiburan bagi kami yang tak mampu untuk masuk ke pusat-pusat hiburan. Kalau anda terhibur dengan gelekan gegadis di dalam kelab malam, kami pula terhibur untuk membelah larut malam dengan perlumbaan. Kadang-kadang kami tak berlumba, cuma kami suka untuk meronda-ronda bersama kawan-kawan. Dulu-dulu naik basikal, keliling kampung. Mat-mat yang bawa kekasih meronda malam itu, itu hak mereka. Yang tak ada kekasih, layan motor, layan lap. Kemalangan motor juga adalah perkara biasa. Kami juga tahu, mati itu pasti. Cuma kadang-kadang kita dengar, bila mat motor menyusahkan pengguna jalanraya yang lain. Padahal, pengguna jalan seperti pemandu kereta juga tak kurang hebatnya bila seperti merasakan jalanraya itu bapa mereka yang punya.

Kalau anda pergi ke negara Indonesia, penunggang motosikal tidak memakai topi keledar langsung. Pengguna jalanraya di sana lebih bertolak ansur dan sentiasa memberi perhatian ketika di jalan raya. Mereka sedar, tidak semua rakyat mampu untuk memiliki sebuah kereta mobil. Lagipun, kadar macetan atau kesesakan lalulintas di kota mereka adalah sangat menggerunkan. Jadi, motorsikal adalah pengangkutan paling efisyen untuk mengelak dari macet. 

Pernahkah teman-teman terfikir untuk memikirkan apa yang ada pada kami yang rata-rata berpendapatan kecil dan sederhana? Motorsikal juga agen pencari rezeki untuk kami, cuma kadang-kadang ada di antara pengguna motorsikal ini yang terlibat dengan macam-macam gejala. Media cuma suka menumpukan perhatian kepada golongan kami. Padahal golongan lain juga lagi teruk sikapnya seperti terlibat dengan rasuah dan menjadi musuh nombor 1 negara. Kalau kami terlibat dengan rasuah, takanlah masih mahu menunggang motor cabuk lagi? Tak ada posmen yang mahu menghantar surat ke rumah antara dengan menggunakan kenderaan seperti kereta dan van. Nampak tak takdirnya sebagai ahli masyarakat yang kaya dan tidak kaya?

Walau apa pun labelan anda, ianya tidak mengubah nasib kami bagaimana. Gaji kami tetap rendah, cukup makan dan pakai. Kalau rajin sedikit, bolehlah menambah pendapatan dengan melakukan kerja-kerja tambahan. Terima kasih dengan peluang berucap ini. Semoga anda mendapat manfaat dari perkongsian ini. Assallamuallaikum'.

Sesi soal jawab bersama penonton pun bermula. Nasirun tetap tenang menjawab sebarang soalan. Yang menarik, setiap kali beliau selesai menjawab soalan yang dilontarkan, sorakan pasti bergema. Malam di Rumah Koff diteruskan lagi dengan persembahan nyanyian dan musik akustika oleh rakan-rakan Nasirun. Malam itu milik mat-mat rempit. Pengunjung yang datang rata-rata yang telah memenuhi jemputan kami, dari badan-badan NGO dan kerajaan, orang perseorangan serta 2 orang ahli politik yang dipanggil YB. 

Esok paginya, YB Lee menelefon kami. Butir katanya seperti mahu menaja acara pengucapan awam untuk bulan depan pula. Tambahnya dia mahu menjemput rakan-rakan politiknya untuk datang 'berlibur' di Rumah Koff.

'Saya bosan dengan protokol dan majlis-majlis rasmi. Saya mahu entertainment macam inilah. I punya wife pun suka. Tak perlu set-set rambut. Bagi tau apa you orang perlu. Saya sponsor. You orang punya makanan, kasih sedap lagi.'


No comments: