Manusia itu sentiasa diuji, laki-laki atau perempuan. Lelaki selalu diuji dengan nafsu, perempuan selalu diuji dengan setianya. Dulu kau pernah lihat aku bertudung litup semasa sekolah kan, tapi bila aku mendapat tahu suami aku mengkhianati aku, aku 'cabut' tudung aku dan gantung atas pokok. Masa muda itu, aku seperti hilang akal, apa yang perempuan itu buat, aku buat. Konon-konon seperti bertanding merebut hati lelaki yang bernama suami halal. Dia buat potongan rambut begini, aku buat. Dia pakai pakaian itu ini, aku pun turut tiru pakai. Yang paling teruk, aku mula berseluar pendek masuk ke dalam pusat membeli belah. Kawan-kawan terkejut dengan perubahan ini. Bayangkan saja, bertudung litup kemudian berseluar pendek? Wang saraan keluarga tak usah cakap. Masa suami buat hal, aku baru lepas bersalin. Melebih-lebih rasa 'pahit'nya. Lagi-lagi bila perempuan itu sudah mula berani bersemuka dengan aku dan ceritakan hal-hal dia bersama suami aku. Gila, memang gila. Kemuncak cerita bila aku membawa hal ini ke mahkamah. Aku kira talak sudah jatuh sebab suami pernah ugut untuk talakkan aku kalau berani buat hal ke mahkamah. Tapi syukurlah, kami masih bersama sehingga ke hari ini. Aku sempat buat pemeriksaan darah untuk pengesahan sebab aku dapat tahu perempuan itu sering bertukar-tukar pasangan seksnya. Perkara paling bodoh bila aku fikir sekarang ini adalah kenapa aku membanding-bandingkan diri aku dengan perempuan itu. Takanlah isteri yang halal ini lagi buruk dari perempuan itu? Itu satu-satunya pemikiran bodoh pernah aku buat.
-----------------------------------------------------------------------------------------------------
Saya mengimbas-imbas wajah kawan saya itu. Kali terakhir kami bertemu-sama semasa di sekolah tinggi. Bertudung labuh, wajahnya jernih seperti keibu-ibuan. Sekarang pada usia 32 tahun, katanya dia sudah 'mengikat' rahimnya kerana kesan kejadian lampau. Marah benar bunyi bicaranya. Mungkin begitulah bila hati isterinya dikhianati. Tapi benarlah pujangga lepas, setia ini harus bertempat. Simpan sedikit rasa ragu-ragu tetapi harus juga bersedia untuk menghadapi saat-saat pahit yang tidak dirancang. Ujian kesusahan hidup itu sebenarnya peringkat kesediaan kita untuk menjadi manusia yang hebat. Bila hati rasa sedih, syaitan bergembira sakan. Sebab itulah kita mudah terpesong hati untuk hal-hal seperti ini. Saya yakin kawan saya itu lebih kuat dari masa-masa lepas. Dia sedang menyambung pelajaran peringkat Master, sedikit masa lagi untuk bukti usaha lebih baik dari kehidupan semalam.
No comments:
Post a Comment