Tuesday, January 17, 2012

17/366 Cerita seorang Melayu.

Saya mencicip kopi perlahan-lahan kerana kopi panas saya itu baru saja dibuat sebentar tadi. Sekarang ini adalah sesudah subuh. Sengaja saya buka langsir tingkap di hadapan meja minda saya ini, menanti kalau-kalau ada sunrise yang cantik pada pagi ini. Keadaan masih gelap namun sudah kedengaran jiran tetangga sudah sibuk 'bunyinya. Mungkin sedang menyiapkan sarapan atau menyediakan keperluan anak-anak ke sekolah. 

Satu hari semalam tidak ada hujan bertandang. Apakah musim monsun sudah berlalu? Petani tanah mungkin sudah boleh pulang kembali menggembur tanah. Nelayan juga sudah boleh turun 'melaut'. Dan penggemar seni foto juga sudah boleh ke hutan rimba mencari gambar close up haiwan kecil. Jari mengetuk-ngetuk permukaan meja usang ini, sebenarnya ada seseorang di dalam talian maya di sana sedang menanti balasan jawapan saya. Mungkin dia sedang menanti walaupun sudah 5 minit saya mencari jawapan pada soalannya. Oh, dia kini telah offline. Baguslah, biarlah beristirehat setelah berbual maya dengan saya. Saya teringat perbualan tadi, tentang seorang jurugambar terkenal di negara saya.

"Dia bongkak, angkuh malah menganggap semua orang itu tidak hebat seperti dia. Orang macam itu tidak ke mana. Semoga mendapat balasan setimpal atas sikapnya itu'', kata kawan saya. Teringat saya secebis ayat dari dunia maya; manusia apakah yang mendoakan ketidaksejahteraan orang lain?

"Kamu pernah berjumpa, berbual dan bergaul dengannya?'', soal saya kembali.

"Tak pernah. Tapi aku melihat paparan tulisannya. Ah! Dia memang suka membuat kontroversi dari dulu. Semua orang tahu dia macam mana. Gambar dia bukan sehebat mana, cuma berjaya memperdayakan pelanggan. Itu semua soal marketing. Dia pandai cakap! Menyesal aku jadikan idola!", bunyinya seperti marah. Saya cuma diam dan mencari idea kalau-kalau ada butir ayatnya yang boleh disoal semula.

Tetapi bagaimana kita hendak memarahi seseorang yang tidak pernah kita temui? Kalau betul pun si polan yang kami maksudkan itu bersikap seperti itu, apakah kemarahan yang baru dihamburnya tadi begitu berbaloi?

"Saya juga selalu sarkastik dalam tulisan saya. Apakah kamu menganggap saya seperti dia? Sombong? Lantas pernah mendoakan saya seperti dia?", soal saya.

"Kamu bukan idola ku, lagipun kita sudah lama kenal walaupun tidak pernah berjumpa.''

''Idola? Apa bezanya dia dengan saya? Darah kami sama merah, seperti kamu. Masakan idola kamu darahnya bewarna hijau? Haha!'' Seloroh saya.

"Kamu tak faham. Kamu tak mempunyai idola? Yang kamu minat hasil karyanya, kamu ikuti segala perkembangannya? Ya, memang darah kita semua merah. Jadi apa yang kamu cuba sampaikan?". Ada bunyi sedikit gusar di situ.

"Saya rasa kamu bias. Dia sama seperti saya, tidak pernah berjumpa kamu. Idola saya ramai, tapi saya tidak keterlaluan menilai idola-idola saya itu. Bagi saya, apabila darah sama merah, kita semua adalah sama. Manusia. Seperti kamu, boleh berbuat silap malah selalu sengaja membuat silap. Masakan idola kamu tidak boleh berbuat silap, apatah lagi tanpa sedar?", bidas saya.

"Melayu! Bukan saya seorang tak suka dia, malah ramai. Kamu ingat mereka yang menjadi fan pada lamannya itu pengikut setia? Saya berani jamin, ada di antara mereka yang sekadar mahu tahu apa lagi yang boleh dia buat. Jadi saksi pada kejatuhan dia! Orang Malaysia ni memang macam tu!", agak berbaur rasis dan sememangnya saya tidak menyukai perkara rasis ini.

"Kalau kamu kaitkan bangsa, masakan orang Cina dan India berdarah hijau atau biru. Saya rasa orang Melayu tidak seteruk itu, hanya orang Melayu yang teruk saja selalu merendah-rendahkan martabat kaum itu sendiri. Hanya segelintir yang suka mencari pasal. Apasalahnya kamu tidak menjadi Melayu yang begitu? Jadi Melayu yang tidak mencari kesalahan orang lain? Tidak salahkah kita selalu memikirkan kesalahan orang lain?", panjang lebar jawapan saya.

Tiada balasan yang saya terima selepas itu. Saya cicip kembali kopi saya yang sudah sejuk. Di bawah pemandangan dari dalam bilik saya pagi ini. Selamat pagi.


No comments: