Kalau sesiapa yang pernah berkawan dengan saya, sudah pasti tahu saya suka bercakap soal angan-angan. Saya nak pegi ke situ, nak ke sini, hendak buka bisnis, hendak belanja kawan pergi melancong, nak beli itu ini etc etc. Bagi saya, itu bukanlah angan-angan saya, tapi ianya merupakan impian. Saya tak pernah kata nak jadi angkasawan sebab saya tahu memanglah tak mungkin kalau saya tak mempunyai asas keperluan yang baik untuk menjadi seorang angkasawan. Saya pernah kata kalau saya jadi kaya, saya nak belanja kawan-kawan yang baik hati kepada saya untuk pergi melancong. Hendak menjadi kaya itu mungkin boleh dicapai, sebab ia tidak memerlukan asas keperluan seperti menjadi angkasawan. Saya selalu membawa 2 maksud di dalam angan-angan saya, bergurau atau impian.
Ada satu impian saya yang belum tercapai secara rasmi, sejak dari kecil sehinggalah menjadi besar ini. Dulu saya suka membaca terutamanya bahan bacaan seperti novel, bibliografi, majalah dan akhbar. Saya pernah mempunyai manuskrip cerpen panjang (tak layak dipanggil novel, walaupun saya dah menggelarkannya novel masa itu) yang saya buat ketika berumur 10 tahun. Tapi dibuang oleh emak, apabila dia fikirkan itu cuma buku yang terbiar dan tak berguna dah. Sebenarnya saya dah tulis dalam buku kertas kajang warna biru. Ala buku untuk tulis surat tu. Sayang betul manuskrip tu dah terbuang. Kemudian, selepas itu saya mempunyai 2 manuskrip lagi. 1 ada dalam komputer saya, saya dah lupa password officenya. Ada 12 bab dah semuanya. Manakala yang 1 lagi, hilang entah ke mana. Kemudian, saya menghadapi krisis cita-cita sebagai seorang penulis. Naif saya masa itu adalah bila saya menganggap cerita yang saya tulis itu adalah diri saya, saya tak mahu ada penciptaan keadaan yang menakutkan dan beranggapan itu adalah satu doa. Gila naif tak ingat.
Menjadi penulis adalah cita-cita kecil yang besar. Saya bimbang kalau penulisan saya tidak ada rasa, salah maklumat mahupun tidak menarik langsung. Beberapa tahun kebelakangan ini, pasaran novel Malaysia dihujani dengan terbitnya buku-buku indie. Ada yang bagus, ada yang ...em..saya rasa rugi membuang masa kerana membaca novel yang tidak 'sedap'. Lebih-lebih lagi kalau novel ini ialah novel yang saya beli. Itulah yang saya takut, saya takut menulis penulisan yang tidak sedap dan merugikan duit pembaca. Dalam masa yang sama, saya terfikir sesuatu. Sebenarnya bukan mudah seseorang itu menghasilkan karyanya. Dia mungkin menghabiskan masa yang banyak untuk mencipta keadaan yang tidak wujud, duduk berlama-lama mencari idea, berjalan ke sana sini mendapatkan gambar semata-mata untuk hanya menghasilkan sebuah manuskrip. Saya mula menghargai seni dalam alam dewasa saya. Saya cepat melenting kalau seeorang itu menghina hasil karya orang lain. Seseorang itu menghasilkan karya sememangnya untuk dikongsikan dengan orang lain. Kalau disimpan untuk diri sendiri, saya rasa itu adalah prototype saja. Bukannya karya.
Entahlah. Saya tidak tahu bila masanya saya akan menulis. Kawan-kawan terdekat selalu memberi dorongan kepada saya untuk menulis. Entah sudut mana diri saya yang mereka nilai bahawa saya layak menjadi seorang penulis. Membaca blog ini? Ini belum cukup sebagai bukti. Saya tidak pasti apakah dorongan itu bersifat ikhlas atau sekadar menyokong impian saya. Tapi sebentar tadi saya telah sedar. Kenapa saya harus bersangka buruk terhadap sokongan teman-teman itu? Kenapa saya ragu-ragu dengan kelemahan diri sendiri? Kenapa saya kena tunggu masa yang sesuai dan merasakan ilmu sudah cukup untuk menulis? Sedangkan saya sendiri tahu, manusia tidak pernah kecukupan dalam diri sendiri.
Baiklah, saya akan mengubah persepsi ini. Saya memerlukan sokongan berterusan dari teman-teman. Saya juga wajar memberi peluang kepada diri sendiri untuk mencapai cita-cita yang satu ini.
Kalau saya menjadi penulis, apakah nama pena yang sesuai? Eh, belum ada point cerita dah pilih nama pena?
Saya tidak akan mengambil pandangan yang negatif dari kamu. Salam pagi.
No comments:
Post a Comment