Thursday, January 26, 2012

26/366 Carilah yang lebih hot dan bergembiralah.

Ada sesetengah dari kita memerlukan sebab paling konkrit untuk melupakan seseorang, melupakan crush atau melupakan apa saja tentang dia. Bagaimana ya kita mencintai seseorang (sepenuh hati) sedangkan pihak yang satu lagi tidak pernah memberi kata putus ‘aku juga cinta padamu’? Bagi perempuan, kata keramat itu ialah lesen. Kau bermain kayu dua, tiga, empat di belakang, itu lain cerita. Bagi perempuan, kalau lelaki sudah melafazkan kata itu, ini simbolik automatik kepada perempuan untuk sehabis setia.

 Mungkin kau kata, sedangkan orang berkahwin boleh bercerai berai, lagi nak setia habis-habis. Itu kata kau yang mungkin menganggap perkara mencintai itu sebagai satu perkara sia-sia. Beb, bukan senang orang nak jatuh cinta pada kau. Eh ini cerita lain. Aku ada seorang kawan dan kami selalu bercerita tentang dia dan si dia. Aku tau benar cerita diorang ni dan selalu berharap hubungan mereka akan termeterai sebagai kekasih.

Tahun pertama kawan aku ni benar-benar berusaha untuk dekat dengan yang satu lagi. Oklah, berkenalan, berbalas mesej dan kemudian keluar beramai-ramai. Tahun kedua, rasa cinta itu sedikit tebal, mungkin yang satu lagi mungkin kerap muncul di depan mata. Rasa sungguh bahagia. Tapi kawan aku tak berapa bodoh nak stick dengan yang satu lagi. Kawan aku still membuka hati kepada sesiapa. Kawan aku dan pihak satu lagi masing-masing bercinta dengan orang lain. Mungkin tahun kedua ini mereka belum yakin untuk bercinta sesama mereka.

Kemudian, kawan aku break dengan kekasih hati sebab hati masih ‘kepada’ si dia. Begitu juga pihak yang satu lagi. Mereka sekali lagi masuk ke dalam liga. Tahun ketiga, kedua-duanya sudah mula keluar berdua-duaan. Ini harapan baru kepada kawan aku. Mungkin renew contract di hati. Oh, aku kena usaha lagi untuk hubungan ini. Walaubagaimanapun, aku kena move on juga. Aku cari orang lain dengan syarat; rambut macam dia, daerah asal macam dia, penampilan macam dia.

Beb, macamana kau nak move on sedangkan kau dah tetapkan kau nak cari orang sebiji macam dia!

 Hinggakan pada satu peristiwa, kawan aku mungkin sedikit tersedar bahawa dia dah tunggu lama untuk pihak yang satu lagi. Kawan aku pernah bertanyakan soal hati pada pihak yang satu lagi. Jawapannya adalah: Belum ada komitmen untuk hubungan kekasih.

1 tahun, 2 tahun, 3 tahun..kau nak komitmen untuk berapa lama lagi. Bukannya ajak kahwin pun. Yang bikin haru bila dalam tahun terakhir tu layanan kau seolah-olah kawan aku ni seperti seorang yang telah dilamun cinta oleh kau. Kalau nak kata kau player, tak juga. Sebab kau tak ada kekasih-kekasih lain. Tapi apa kau buat kat kawan ni seperti harapan bahawa korang memang menuju ke arah alam percintaan; I love u, u love me dan kita sama-sama in love!

Tiba-tiba kau kata belum ada komitmen?? Kau tak rasa kejam ke buat perasaan orang macam tu? Oh mungkin kau akan kata, kau layan macam biasa aja. Dia yang feeling lebih. Apa kau buat, kau sendiri tahu. Hati kawan aku ni bukan bola dilantun-lantun. Cuba bayangkan kau di tempat dia.

Aku faham setiap manusia berhak menentukan untuk memilih siapa yang mereka suka, tapi kau sebagai dari manusia juga berhak untuk tidak melukakan perasaan orang lain. Tak boleh ke bila orang tu tanya pasal komitmen percintaan, kau pandai-pandailah nak bawa diri agar orang tu tak terus menerus berharap dengan kau?

 Aku yakin kawan aku dah sedikit matang untuk teruskan apa yang perlu. Last aku dengar bila, dia dah move on secara serius. Beb, manusia ni punya tingkat tertentu untuk nak nasihatkan rakan. Aku tau payah benar kau nak lupakan dia, tapi aku yakin kau boleh. Aku dah minta kau delete dia dari friendlist facebook kau supaya kau tak nampak dia dan tak mengingatkan kepada benda-benda lepas. Tapi kau kata kau nak jalinkan hubungan sebagai kawan kat dia. Eh, tanpa facebook pun kau boleh berkawan dengan dia.

Mungkin cara aku ni kejam sedikit, tapi kau tak fikir kejam dia kat kau? Jangan nak sedapkan hati, kau cakap dia tak kejam dan kau bodoh sendiri.

 Jangan buang masa beb.

 Banyak benda lain yang menarik kau boleh lakukan, termasuk mencari mereka yang lagi hot tetapi menghormati kau seadanya.

 Jangan lagi buang masa untuk dia. Paham?

Tuesday, January 24, 2012

24/366 Tanggapan; kepada diri sendiri atau kepada orang lain.

Kalau ada di antara teman apatah lagi kenalan baru, tidak memahami kita, biarkan saja. Kalau kita memikirkan untuk menjadi seperti apa yang mereka mahu, kita sebenarnya telah banyak membuang masa. Tetapi jangan dibuang 100% kritikan, nasihat mahupun pandangan mereka. Jadikan batasan ataupun target. Ada baiknya mereka hadir di dalam diri kita kerana sudi memberitahu sisi buruk kita di mata mereka. Yang buruknya apabila kita terlalu memikirkan pandangan orang lain tentang diri kita.

Motto hidup kita berubah mengikut keadaan. Tak ada suatu zarah pun yang tidak berubah di dunia ini. Jadi, janganlah kita menganggap seseorang itu seperti lalang, tidak mempunyai pendirian atau apa saja yang berkaitan. Melainkan kalau kita ini hanya berada di sebuah tempat dan statik. Katak di bawah tempurung pun mencari jalan untuk keluar dan hidup 'segar'.

Jadi pandai-pandailah bila membuat keputusan tentang tanggapan kita; kepada diri sendiri ataupun orang lain.

p/s Entry pendek ini berinspirasikan tentang fikiran sepintas lalu. Sayang kalau dibiarkan berperam; ada yang dilupakan.

Sunday, January 22, 2012

22/366 Bila terperesok.

Bukan mudah menjadi seorang yang berjaya. Kita terpaksa mendaki untuk mencapai apa yang kita mahukan.

Tetapi yang lagi susah, apabila kita terjatuh dari tempat yang selesa itu. Amat payah untuk bangun kerana terperesok begitu dalam. Tiada siapa yang melihat. Jangan diharap akan bantuan tapi apa yang pasti ramai manusia asing akan selalu berada di samping kita untuk memberi motivasi. 

Apa yang tidak cukup lagi? Jangan meminta lebih-lebih tetapi nasihatkan diri apabila sekali lagi berada di tempat yang tinggi, janganlah lupa memberi kesenangan kepada orang lain.

Friday, January 20, 2012

20/366 - Formasi awan selama 5 hari di belakang rumah.

Melihat formasi awan pagi setiap hari rupanya memang menggembirakan. Sekitar 5 hari berturut-turut merakam awan di belakang rumah. Selamat pagi untuk semua umat.


Tuesday, January 17, 2012

17/366 Cerita seorang Melayu.

Saya mencicip kopi perlahan-lahan kerana kopi panas saya itu baru saja dibuat sebentar tadi. Sekarang ini adalah sesudah subuh. Sengaja saya buka langsir tingkap di hadapan meja minda saya ini, menanti kalau-kalau ada sunrise yang cantik pada pagi ini. Keadaan masih gelap namun sudah kedengaran jiran tetangga sudah sibuk 'bunyinya. Mungkin sedang menyiapkan sarapan atau menyediakan keperluan anak-anak ke sekolah. 

Satu hari semalam tidak ada hujan bertandang. Apakah musim monsun sudah berlalu? Petani tanah mungkin sudah boleh pulang kembali menggembur tanah. Nelayan juga sudah boleh turun 'melaut'. Dan penggemar seni foto juga sudah boleh ke hutan rimba mencari gambar close up haiwan kecil. Jari mengetuk-ngetuk permukaan meja usang ini, sebenarnya ada seseorang di dalam talian maya di sana sedang menanti balasan jawapan saya. Mungkin dia sedang menanti walaupun sudah 5 minit saya mencari jawapan pada soalannya. Oh, dia kini telah offline. Baguslah, biarlah beristirehat setelah berbual maya dengan saya. Saya teringat perbualan tadi, tentang seorang jurugambar terkenal di negara saya.

"Dia bongkak, angkuh malah menganggap semua orang itu tidak hebat seperti dia. Orang macam itu tidak ke mana. Semoga mendapat balasan setimpal atas sikapnya itu'', kata kawan saya. Teringat saya secebis ayat dari dunia maya; manusia apakah yang mendoakan ketidaksejahteraan orang lain?

"Kamu pernah berjumpa, berbual dan bergaul dengannya?'', soal saya kembali.

"Tak pernah. Tapi aku melihat paparan tulisannya. Ah! Dia memang suka membuat kontroversi dari dulu. Semua orang tahu dia macam mana. Gambar dia bukan sehebat mana, cuma berjaya memperdayakan pelanggan. Itu semua soal marketing. Dia pandai cakap! Menyesal aku jadikan idola!", bunyinya seperti marah. Saya cuma diam dan mencari idea kalau-kalau ada butir ayatnya yang boleh disoal semula.

Tetapi bagaimana kita hendak memarahi seseorang yang tidak pernah kita temui? Kalau betul pun si polan yang kami maksudkan itu bersikap seperti itu, apakah kemarahan yang baru dihamburnya tadi begitu berbaloi?

"Saya juga selalu sarkastik dalam tulisan saya. Apakah kamu menganggap saya seperti dia? Sombong? Lantas pernah mendoakan saya seperti dia?", soal saya.

"Kamu bukan idola ku, lagipun kita sudah lama kenal walaupun tidak pernah berjumpa.''

''Idola? Apa bezanya dia dengan saya? Darah kami sama merah, seperti kamu. Masakan idola kamu darahnya bewarna hijau? Haha!'' Seloroh saya.

"Kamu tak faham. Kamu tak mempunyai idola? Yang kamu minat hasil karyanya, kamu ikuti segala perkembangannya? Ya, memang darah kita semua merah. Jadi apa yang kamu cuba sampaikan?". Ada bunyi sedikit gusar di situ.

"Saya rasa kamu bias. Dia sama seperti saya, tidak pernah berjumpa kamu. Idola saya ramai, tapi saya tidak keterlaluan menilai idola-idola saya itu. Bagi saya, apabila darah sama merah, kita semua adalah sama. Manusia. Seperti kamu, boleh berbuat silap malah selalu sengaja membuat silap. Masakan idola kamu tidak boleh berbuat silap, apatah lagi tanpa sedar?", bidas saya.

"Melayu! Bukan saya seorang tak suka dia, malah ramai. Kamu ingat mereka yang menjadi fan pada lamannya itu pengikut setia? Saya berani jamin, ada di antara mereka yang sekadar mahu tahu apa lagi yang boleh dia buat. Jadi saksi pada kejatuhan dia! Orang Malaysia ni memang macam tu!", agak berbaur rasis dan sememangnya saya tidak menyukai perkara rasis ini.

"Kalau kamu kaitkan bangsa, masakan orang Cina dan India berdarah hijau atau biru. Saya rasa orang Melayu tidak seteruk itu, hanya orang Melayu yang teruk saja selalu merendah-rendahkan martabat kaum itu sendiri. Hanya segelintir yang suka mencari pasal. Apasalahnya kamu tidak menjadi Melayu yang begitu? Jadi Melayu yang tidak mencari kesalahan orang lain? Tidak salahkah kita selalu memikirkan kesalahan orang lain?", panjang lebar jawapan saya.

Tiada balasan yang saya terima selepas itu. Saya cicip kembali kopi saya yang sudah sejuk. Di bawah pemandangan dari dalam bilik saya pagi ini. Selamat pagi.


Monday, January 16, 2012

16/366 - Politik.

Saya sudah lama tidak menonton televisyen. Kalau ada pun, mungkin saya sedang menikmati sarapan atau makan tengahari. Selain berita semasa, mungkin saya akan menonton Melodi. Hehehe.. Sebenarnya televisyen di rumah saya banyak dipengaruhi oleh drama sinetron dari Indonesia, perihal sukan dan berita semasa. Malaslah nak ganggu makpak saya, lagipun saya malas hendak memasang kaca mata sebab rabun. Tapi apapun, saya tetap mengambil hal isu semasa menerusi internet. Singgah sekejap dekat mana-mana newspaper online, cuma sekilas pandang. Untuk berita politik, saya pandang sebelah mata. Korupsi, konspirasi dan entah apa-apa lagi isu yang ada. Kengkadang, rasa muak pun ada.

2 hari lepas, seorang teman memberi url sebuah website. Terkedu saya melihat isi kandungan website tersebut. Kamu boleh lihat di sini. Entah rakyat mana yang sanggup memburuk-burukkan negaranya sendiri. Pada hemat saya, mungkin isi kandungan tersebut diolah oleh mereka yang berpendidikan tinggi. Butir katanya agak kurang elok tetapi isi kandungannya tersusun dan bijak membuat perumpamaan mengikut keadaan semasa. Kalau pun agak kecewa dengan keadaan semasa,  saya rasa tak patutlah kita mencemarkan negara kita di mata orang luar.

Kalau pun ada di antara kita membenci kerajaan yang memerintah, tak semestinya akan menghilangkan rasa kecintaan dan patriotik terhadap negara . Seperti di Amerika Syarikat, rakyat negara itu tak kisah siapa pun yang akan memerintah negara mereka. Mereka berpendapat mereka lebih suka untuk bersikap nuetral, ingin hidup selesa dan pendapatan ekonomi adalah berada tahap yang sederhana. Saya pernah terbaca artikel blogger lain di mana, Malaysia mempunyai 3 golongan utama.

1)pro pembangkang
2)pro kerajaan
3) golongan nuetral.

Golongan nuetral yang dimaksudkan sama seperti pendirian rakyat Amerika Syarikat. Mereka membenci kekacauan, mereka menghentam sikap kerajaan, menentang perilaku pembangkang dan baru-baru ini pula dikejutkan dengan golongan mahasiswa yang telah masuk ke dalam arus perdana suasana politik negara kita. Saya yakin, golongan nuetral di negara ini menguasai undi sebanyak 70%. Tetapi kerajaan mahupun pembangkang tidak pernah atau mungkin kurang mengambil tahu tentang golongan ini. Sedangkan golongan inilah yang menentukan tampuk pemerintahan negara kita.

Sedangkan dalam masa yang sama kedua belah pihak politik masing-masing berasak menyelamatkan apa juga jenis keadaan demi kepentingan diri sendiri. Rasuah, skandal, konspirasi bukanlah menjadi perkara rahsia di negara ini. Ledakan kuasa internet begitu meluas. Bagi golongan nuetral, mereka tidak perlu berarak di mana-mana, sebaliknya menilai melalui kandungan di dalam internet. Memang betul, tidak semua kandungan di internet itu adalah 100% kebenaran. Tetapi rangkaian sosial seperti Twitter, blog dan Facebook merupakan senjata utama untuk memusnahkan lawan masing-masing. Orang politik sudah celik IT, setiap masa mengemas kini aktiviti mereka. Hal ini menjadi intipan pada lawan masing-masing untuk dijadikan modal untuk memusnahkan antara satu dengan lain.

Mungkin nampak tidak logik kan? Tapi jelas, kuasa internet begitu berleluasa. Rakyat tidak perlu bersusah payah untuk ke sana sini, apabila ada sukarelawan pemberita internet akan membuat liputan dari ceruk mana sekalipun. Untuk hal sensasi, Malaysia hanya memerlukan sejumlah 5 minit untuk disensasikan dengan berita terkini menerusi Twitter mahupun Facebook. Untuk ahli politik yang tidak alert dengan kuasa ini, pasti memandang ringan. Zaman dah berubah, untuk menumbangkan lawan bukannya susah. Petik jari, maklumat di hujung talian.

Mungkin disebabkan isu inilah golongan muda bangun memperjuangkan badan politik masing-masing. Panglima-panglima perang sibuk mengugut dengan gaya masing-masing. Orang muda pada zaman sekarang perlu diteliti isi pandangan mereka. Bukanlah maksud berkurang ajar pada yang tua, tetapi ada juga orang tua negara ini yang telah memberikan perfomance buruk sebagai teladan. AKhiranya kepercayaan ini berubah. Negara ini perlukan semangat yang baru berdasarkan norma-norma masyarakat yang kukuh.

Bagi pandangan peribadi saya, saya percaya kerajaan yang ada memang mampu mentadbir untuk sepenggal dua lagi. Tetapi mungkin 2/3 dari ahli kerajaan yang ada hendaklah di-brainwash, tidak menyalahgunakan keistimewaan kedudukan yang mereka ada. Seperti kes pecah amanah bina rumah jutaan ringgit baru-baru ini, apakah yang berhormat tersebut tidak menyedari kehebatan teknologi yang ada?

Saya yakin, ahli kerajaan kini sudah makin berhati-hati demi menjaga periuk nasi masing-masing. Manakala pihak yang satu lagi akan terus mencari peluang untuk membina tapak kukuh memikat sejumlah lagi penyokong ideologi mereka.

Saya? Saya nuetral.

Sunday, January 15, 2012

15/366 - Perasaan teman-temanku.


Semalam tadi, saya berchatting dengan seorang teman lelaki dari negeri jauh. Kasihan, hatinya baru berpisah dengan bahagian hati yang satu lagi. Sudah berkira-kira untuk dibuat isteri, tetapi si perempuan berkata dia tak ada feeling, tak ada perasaan buat si lelaki. Saya bungkam di talian sebelah sini, hanya mampu menyuruh teman lelaki tersebut bersabar. Ah, nanti ada perempuan lagi yang datang bertandang dihatimu, kata saya.

Saya teringat pula kepada beberapa bulan yang lepas, keluar minum bersama teman perempuan. Dia juga telah kehilangan bahagian hati yang satu. Sudah hampir 1 tahun berkasih mesra. Gurindam jiwa terpahat, luahan hati seorang kekasih. Tetapi dia juga ditinggalkan, atas sebab lelaki tersebut tidak ada feeling kepadanya. 

1 tahun, berbagi hati. Itu, apa?

Lagi satu kisah, juga seorang teman. Duit hantaran sudah bertamu. Ikatan kasih sudah masuk tahun ke lapan. Tetapi sang tunang meminta tunda lagi untuk beberapa tahun. Kata teman saya, dia juga mahu berkeluarga, punya anak dan hidup happy ending. Saya tanya kepadanya apa yang ada pada pujaan hatinya itu sehingga teman saya itu sanggup menunggu. Dia setia, jawabnya.

Setia jenis apa bertahun-tahun. Ada juga perempuan memilih untuk jalan hidup begitu?

Kepada ketiga-tiga teman saya di atas, saya hanya menyuruh mereka bersabar. Dan sedikit nakal bila saya kata 'Nanti datang seseorang yang baikhati kepadamu. Yang akan menjaga hatimu sampai ke mati'. 

Saya berfikir dari pelbagai sudut. Dari segi tiada feeling hinggalah ke bab kesetiaan. Dulu saya fikir, lelaki selalu meninggalkan perempuan atas sebab remeh seperti bertemu dengan perempuan yang lebih baik. Perempuan pula meninggalkan lelaki kerana bertemu dengan lelaki yang mempunyai kemampuan atau ada masa depan yang cerah. Itu zaman dulu. Mungkin manusia pada zaman itu tidak mempunyai ledakan hidup seperti sekarang.

Tapi satu yang saya pegang kalau bab berkasih hati. Setiap individu berhak menentukan jalan hidupnya, memilih yang bagaimana dan selebihnya ketentuan dari Ilahi. Memang menyakitkan jiwa bila ditinggalkan dengan sebab 'tiada perasaan'. Katakanlah dia bersungguh untuk menjaga hubungan tersebut sampai satu takat hendak mengambil si perempuan sebagai isteri. Atas sebab tertentu, dia tidak dapat menjadi seperti kekasih orang yang lain, seperti melayan kerenah sang puteri sepanjang masa. Ada komitmen perlu diutamakan. Cinta bila sudah hadir dalam jiwa, ke mana sekalipun kita berada, hati kita tetap mempunyai ruang untuk si dia. Setiap dari kita punya cita-cita untuk menjadi kekasih yang baik hati. Tapi tak mungkin cita-cita itu difahami oleh mereka yang belum bersedia bergelar kekasih.

Mungkin juga faktor kurang matang.

Mungkin juga bukan seperti yang saya maksudkan.

Aneh kan? Lagi sekali keanehan saya rasakan pada teman saya yang ketiga. Dalam kehidupan manusia, perkahwinan merupakan puncak keinginan alam kedewasaan. Kenapa agaknya sang puteri hati tidak mahu berkahwin lagi bila teman lelaki sudah bersedia. Setia jenis apakah itu?

Saya tidak merendahkan sesiapa. Cuma terasa aneh dengan hubungan seperti ini. Saya cuma mampu menyuruh mereka bersabar. Kamu bagaimana? Punya cinta yang aneh? Bersabar ya.

Salam pagi.




Saturday, January 14, 2012

14 / 366.


Kalau sesiapa yang pernah berkawan dengan saya, sudah pasti tahu saya suka bercakap soal angan-angan. Saya nak pegi ke situ, nak ke sini, hendak buka bisnis, hendak belanja kawan pergi melancong, nak beli itu ini etc etc. Bagi saya, itu bukanlah angan-angan saya, tapi ianya merupakan impian. Saya tak pernah kata nak jadi angkasawan sebab saya tahu memanglah tak mungkin kalau saya tak mempunyai asas keperluan yang baik untuk menjadi seorang angkasawan. Saya pernah kata kalau saya jadi kaya, saya nak belanja kawan-kawan yang baik hati kepada saya untuk pergi melancong. Hendak menjadi kaya itu mungkin boleh dicapai, sebab ia tidak memerlukan asas keperluan seperti menjadi angkasawan. Saya selalu membawa 2 maksud di dalam angan-angan saya, bergurau atau impian.

Ada satu impian saya yang belum tercapai secara rasmi, sejak dari kecil sehinggalah menjadi besar ini. Dulu saya suka membaca terutamanya bahan bacaan seperti novel, bibliografi, majalah dan akhbar. Saya pernah mempunyai manuskrip cerpen panjang (tak layak dipanggil novel, walaupun saya dah menggelarkannya novel masa itu) yang saya buat ketika berumur 10 tahun. Tapi dibuang oleh emak, apabila dia fikirkan itu cuma buku yang terbiar dan tak berguna dah. Sebenarnya saya dah tulis dalam buku kertas kajang warna biru. Ala buku untuk tulis surat tu. Sayang betul manuskrip tu dah terbuang. Kemudian, selepas itu saya mempunyai 2 manuskrip lagi. 1 ada dalam komputer saya, saya dah lupa password officenya. Ada 12 bab dah semuanya. Manakala yang 1 lagi, hilang entah ke mana. Kemudian, saya menghadapi krisis cita-cita sebagai seorang penulis. Naif saya masa itu adalah bila saya menganggap cerita yang saya tulis itu adalah diri saya, saya tak mahu ada penciptaan keadaan yang menakutkan dan beranggapan itu adalah satu doa.  Gila naif tak ingat. 

Menjadi penulis adalah cita-cita kecil yang besar. Saya bimbang kalau penulisan saya tidak ada rasa, salah maklumat mahupun tidak menarik langsung. Beberapa tahun kebelakangan ini, pasaran novel Malaysia dihujani dengan terbitnya buku-buku indie. Ada yang bagus, ada yang ...em..saya rasa rugi membuang masa kerana membaca novel yang tidak 'sedap'. Lebih-lebih lagi kalau novel ini ialah novel yang saya beli. Itulah yang saya takut, saya takut menulis penulisan yang tidak sedap dan merugikan duit pembaca. Dalam masa yang sama, saya terfikir sesuatu. Sebenarnya bukan mudah seseorang itu menghasilkan karyanya. Dia mungkin menghabiskan masa yang banyak untuk mencipta keadaan yang tidak wujud, duduk berlama-lama mencari idea, berjalan ke sana sini mendapatkan gambar semata-mata untuk hanya menghasilkan sebuah manuskrip. Saya mula menghargai seni dalam alam dewasa saya. Saya cepat melenting kalau seeorang itu menghina hasil karya orang lain. Seseorang itu menghasilkan karya sememangnya untuk dikongsikan dengan orang lain. Kalau disimpan untuk diri sendiri, saya rasa itu adalah prototype saja. Bukannya karya.

Entahlah. Saya tidak tahu bila masanya saya akan menulis. Kawan-kawan terdekat selalu memberi dorongan kepada saya untuk menulis. Entah sudut mana diri saya yang mereka nilai bahawa saya layak menjadi seorang penulis. Membaca blog ini? Ini belum cukup sebagai bukti. Saya tidak pasti apakah dorongan itu bersifat ikhlas atau sekadar menyokong impian saya. Tapi sebentar tadi saya telah sedar. Kenapa saya harus bersangka buruk terhadap sokongan teman-teman itu? Kenapa saya ragu-ragu dengan kelemahan diri sendiri? Kenapa saya kena tunggu masa yang sesuai dan merasakan ilmu sudah cukup untuk menulis? Sedangkan saya sendiri tahu, manusia tidak pernah kecukupan dalam diri sendiri. 

Baiklah, saya akan mengubah persepsi ini. Saya memerlukan sokongan berterusan dari teman-teman. Saya juga wajar memberi peluang kepada diri sendiri untuk mencapai cita-cita yang satu ini.

Kalau saya menjadi penulis, apakah nama pena yang sesuai? Eh, belum ada point cerita dah pilih nama pena? 

Saya tidak akan mengambil pandangan yang negatif dari kamu. Salam pagi.

Friday, January 13, 2012

Selamat pagi. Pujuklah hati.

Pernah tidak sebelum kamu tidur pada sesebuah malam, kamu berharap agar esok terjadi seperti yang kamu mahu? Ataupun berdoa nakal kepada Tuhan agar kalau boleh esok kalau bangkit dari tidur, biarlah dengan tubuh badan yang cantik dan banyak duit? Saya yakin itu selalu kamu buat, bukan? Kemudian, mengatur nafas meminta yang baik-baik dari Tuhan, mendoakan kesejahteraan dan kemudian tidur dengan tenang.

Pernah tidak ketika tiba pagi seperti pagi ini, kamu telah mendapat seperti apa yang kamu semalam? Oh, kurus begitu cepat itu tidak mungkin. Tetapi mungkin ada perkara kebaikan yang tidak diduga telah muncul hari ini. Sudah tentu berita baik itu mempengaruhi mood sepanjang hari. Ada pula sebahagian dari kita, walaupun dicemari dengan berita kurang baik, tapi kita tetap bersikap seperti biasa. Bagai tiada apa-apa, cuma diri sendiri yang tahu. 

Pernah tidak ketika suatu pagi, kamu mengeluh; pagi itu sama seperti pagi-pagi sebelum ini? Fikiran jadi kosong dan tubuh lemah serta selalu rasa terpaksa. Pernah tidak ketika suatu pagi, kamu melangkah pergi kerja tetapi mood masih tidak elok kerana masih dipengaruhi hal semalam? Pernah tidak ketika suatu pagi, kamu memarahi seseorang, tetapi menyedari perkara tadi adalah perkara tidak sepatutnya berlaku?

Selamat pagi. Pujuklah hati untuk bersikap baik terhadap diri sendiri. Tidak adil kalau kamu terus memarahi diri sendiri kerana tidak mendapat apa yang kamu mahu. Ada ketentuan terbaik yang lain sedang menunggu kamu. Ingatan untuk diri sendiri juga.

Sunday, January 1, 2012

Pasar besar.

Saya pasti, Pasar Siti Khatijah yang terletak di Kelantan merupakan spot wajib harus dilawat dan mengambil gambar oleh setiap jurugambar travel. Saya sendiri belum pernah sampai ke sana. Sejak akhir-akhir ini, saya rajin mengikut emak ke pasar. Pasar besar di daerah saya sangat besar dan bersih. Susun atur dan partition yang terdapat di dalam pasar tersebut sangat menarik untuk dirakamkan gambarnya. Namun begitu, saya belum lagi mencatat gambar suasana di dalam pasar besar yang saya maksudkan.

Pasar merupakan antara lokasi yang terbaik untuk mengambil gambar. Tetapi tidak ramai yang menyedarinya. Tekstur jalinan, human interest, warna warni dan pelbagai lagi elemen fotografi boleh diraih apabila bila berada di dalam pasar. Cabaran yang paling utama ketika mengambil gambar di dalam pasar ialah ketika membuat setting eksposurnya. Ada kamera yang mempunyai limitasi bantuan ISO nya. Namun tak perlulah hendak memeningkan kepala, hanya putar setting ke AUTO dan mula mengambil gambar. Setelah itu, balik ke rumah kemudian mengkaji PROPERTIES pada gambar untuk setting gambar yang telah dilakukan oleh kamera tersebut.

Masalah utama yang selalu dihadapi oleh newbies ialah setting kamera. Cuba bayangkan bila berada di tempat yang menarik bersama teman baru, dekat situlah nak belajar, kat situ jugalah tekejar2 moment dengan kawan-kawan lain. Kalau rajin bertanya tak ada hal, tapi cubalah juga membuat kajian sendiri di rumah. 80% sebenarnya adalah daya usaha sendiri, 10% outing dan selebihnya mungkin perlu diasah dengan faktor-faktor lain. Kadang-kadang ada juga kawan-kawan yang pm, tanya setting yang sesuai untuk mengambil gambar yang diingini. Setting sebenarnya bergantung kepada availability keadaan pada masa itu. Tak semestinya bila kita bagi nombor-nombor dekat kawan, sesuai pula dengan sekeliling keadaan seperti eksposurenya. Tu pasal setiap dari kita kena memahami perkara-perkara asas di dalam kamera.

Ada juga kawan-kawan yang bagitau, kadang-kadang tak tau nak tanya apa dekat orang yang sudah mahir. Saya pun macam tu dulu. Frasa-frasa dalam bidang fotografi dan kamera pun tau lagi. Tu pasal bila jumpa orang lama-lama, boleh terkebil-kebil dibuatnya. Secara peribadi, saya cadangkan korang ambil je dulu gambar dalam MODE AUTO. Tak buang masa bila dah datang jauh-jauh ke tempat yang menarik. Kemudian pelajari juga cara mengedit gambar. Belajar pelan-pelan, as long minat tu ada. Dan bukan semata-mata trend.

Dan bila dah pandai sikit, silalah jangan menyombong. Jangan lupa sharekan kepada kawan yang lain. Perihal di pasar, sama juga keadaannya seperti di tempat sesak yang lain. Cuba banyakkan interaksi bersama peraih-peraih taukeh-taukeh peniaga dekat situ. Saya sendiri tak pernah jemu untuk mengambil gambar di pasar. Keyboard off for now. Selamat melawat ke pasar berhampiran.