Wednesday, December 9, 2009

Rundingan sehari sebelum Aidiladha 2009. Apakah itu?

Saudara Pengarang yang dihormati,

Saya ingin bertanya secara jelas apakah prosedur polis ketika melakukan sekatan jalanraya ke atas kenderaan awam atau persendirian. Pengalaman saya begini, sehari sebelum AidilAdha yang lepas saya pulang bercuti ke Sandakan melalui jalan Telupid – Sandakan dengan menggunakan van penumpang berpermit jalan yang sah. Tiba-tiba van yang kami naiki ditahan oleh 2 orang anggota polis yang berkenderaan pacuan empat roda. Pemandu van terbabit segera meletakkan kenderaan beliau di tepi jalan. Seorang anggota polis yang berpangkat koperal bertanya kepada semua penumpang, tetapi soalan pertama yang beliau ‘jeritkan’ adalah; Siapa pakai paspot di sini?

Saya meninjau ke belakang van yang kami naiki kemudian meneliti anggota polis berpangkat koperal yang sedang memeriksa penumpang di dalam van itu. Terdapat 2 orang penumpang yang tidak mempunyai passpot, ini sekaligus membuktikan mereka berada di dalam negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah. Mereka dibawa ke kenderaan polis pacuan empat roda oleh anggota polis terbabit. Saya hanya memerhati melalui cermin sisi van. Dalam fikiran saya, sudah tentu mereka berdua yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah ini akan ditangkap dan dibawa untuk penahanan seterusnya. Tetapi saya hairan, tiada lori seperti Black Maria kelihatan di situ. Mengikut pengalaman saya, sekiranya sekatan jalanraya yang dilakukan oleh polis dilakukan, sekurang-kurangnya ada sebuah lori polis serba guna (Black Maria), dan beberapa tenaga anggota turut kelihatan. Sekatan jalanraya yang saya lihat ini, adalah seramai 2 orang anggota dan sebuah pacuan empat roda sahaja.
Kedua-kedua pemuda yang tidak mempunyai paspot tadi kembali ke van penumpang. Kemudian, kami meneruskan perjalanan seterusnya ke Sandakan, tanpa sebarang tangkapan dibuat. Di situ saya mula tertanya:

1) Apakah prosedur sebenar (oleh polis) bila melakukan sebarang sekatan jalanraya?

2) Kenapa 2 orang pemuda tanpa dokumen diri yang sah dilepaskan begitu saja?

3) Apakah ‘rundingan’ yang telah dibuat yang telah saya nampak sendiri melalui cermin sisi van?

Sekiranya ‘rundingan’ itu hanyalah untuk meraih duit belanja raya korban, saya berharap anggota polis yang terbabit segera melucutkan jawatan keanggotaan beliau dari pasukan polis negara kita. Saya malu bila mendengar sosek-sosek masyarakat tentang gejala rasuah, gejala menindas rakyat mahupun salah laku yang dikatakan telah dilakukan oleh mereka. Jangan fikir kerana anda memegang lencana polis, anda boleh bertindak sesuka hati di luar bidang kuasa anda. Mungkin anda tidak nampak kesannya pada hari ini. Tetapi insyaAllah, di masa depan anda mengalaminya.

________________________________________________________________

p/s : Artikel di atas merupakan percubaan pertama saya untuk menghantar artikel ke laman sesawang SabahDaily. Ini sekaligus untuk meraikan ulangtahun kedua blog saya (sejak Disember 2007) dan merupakan entri saya yang ke 300.

2 comments:

Cikgu Metal said...

Sekatan jalan raya sekurang-kurangya perlu ada :
1. papan tanda sekatan jalan raya
2. diketuai oleh seorang pegawai polis yang sekurang-kurangnya berpangkat inspektor.

Namun demikian, anggota polis mempunyai kuasa yang diperuntukkan kepada mereka untuk menahan orang yang disyaki, asalkan mereka mempamerkan identiti mereka sebagai anggota polis. Orang awam berhak meminta tanda penganalan individu yang mengaku polis walaupun mereka berpakaian seragam dan menggunakan kenderaan polis.

Sekiranya, kita mengesyaki suatu salah laku telah dilakukan oleh anggota polis, kita boleh melaporkannya kepada pihak atasan, SPRM, dan Biro Pengaduan Awam. Paling mudah, catatkan nombor pengenalan mereka, masa berlaku kejadian, tempat berlaku kejadian,nombor pendaftaran dan jenis kenderaan polis yang mereka gunakan. hantarkan surat aduan / pertanyaan kepada Ketua Polis Negeri dan cckan kepada KPN, Ketua Polis daerah. Surat yang dihantar itu akan disalurkan ke unit tatatertib.Tapi orang awam yang menulis surat tersebut bersedia untuk menjadi saksi sekiranya penyiasatan dilakukan.

Anonymous said...

polis hari ni mana ikut sangat prosedur, main redah je. walaupun ada org atasan yg mmg amanah, tpi kalau kat sabah, .u org fikir la sendirik