Wednesday, December 16, 2009

Beri tangan kananmu.


Awal pagi semalam aku berdiri di tepi tebing, berhadapan dengan hempasan ombak dan dikelilingi bunga-bunga kecil yang sedang memekar. Awan di atas kelihatan biru dan angin mencium wajahku sampai aku rasa terawang. Aku menutup mata dan memicingkan telinga. Aku mendengar suara alam menyanyikan aku lagu-lagu keriangan yang tidak pernah aku dengari. Manusia tidak akan mengerti lagu keriangan alam. Dan aku juga manusia itu.

Bau-bau bunga ada di mana-mana. Aku masih memicingkan telinga dan membiarkan kulitku terbakar oleh panahan matahari pagi itu. Aku biarkan rambutku disaluti wap gegaram yang segar dari laut di hadapan ku. Aku biar tulang belakang ku sakit kerana berdiri terlalu lama menghadap ke depan sana. Aku biar badanku semakin 'pijar' kerana matahari mula memuncak. Aku biar dan aku masih menutup mata. Aku belum mahu melihat ombak bergurau senda dengan pantai di hadapan ku itu. Aku belum mahu melihat butir-butir halus benih bunga bebas berterbangan di sekelilingku kerana 'panahan' angin. Kalau boleh, aku mahu terus menutup mata, menikmati lagu keriangan malam sehingga bulan tiba.

Aku tahu bila bulan tiba, suasana menjadi gelap. Hanya tinggal desiran ombak, tinggal bau bunga-bungaan, tinggal lagi embun akan menapak di permukaan bumi di mana aku berdiri. Kemudian datang lagi si sejuk yang akan mendera badanku. Tapi malam belum tiba.

Cuba kamu. ya, kamu. Mari berdiri di sebelah ku. Mari merasa apa yang aku rasa. Mari aku berikan 'tenaga' ku kepadamu agar kau boleh merasa apa yang aku maksudkan. Mari ke sini untuk merasakan pijar matahari pagi, merasa bayu laut yang memanjakan aku, membau-bau bauan segar bunga-bunga liar di sekeliling aku ini.. Tapi kau juga harus seperti ku, tutup matamu. Dan aku akan memegang tangan kananmu dengan tangan kiriku, agar kau tidak janggal dengan permulaan keadaan itu. Aku boleh merasa getar takutmu sekiranya kau takut. Tetapi janganlah kau takut, percaya kepada aku yang memimpin tanganmu untuk merasai keadaan ini. Cuba diam-diam dan bebaskan perasaan ragu-ragumu.

Pembaca ku, aku cuba berinteraksi kepada kamu melalui emosi penulisanku. Rasakah kamu? Tinggalkan komen di ruang komen.


p/s gambar tiada kaitan dengan tulisan entri.

No comments: