Friday, June 15, 2012

Kanak-Kanak dan Api


i

Kanak-kanak memang sukar dikawal, lagi-lagi bila mereka berada di dalam sebuah kelompok yang punya misi yang sama; bermain dan bergembira. Kau larang mereka itu ini, belum tentu mereka memberi perhatian atas larangan kau itu. Yang pasti, untuk hal-hal yang berbahaya, kita kena bertegas walaupun ayat tegas itu bakal mengubah sedikit persepsi mereka tentang kita.

ii
Kita tak payah tunggu untuk menjadi ibubapa, barulah hendak memahami sikap kanak-kanak. Bukankah kita juga asalnya adalah seorang kanak-kanak? Jangan dibiar kanak-kanak terlalu berani untuk mencuba semua perkara; lagi-lagi perangai yang boleh membawa kemudaratan.

iii
Kanak-kanak tidak perlu dipukul, dijentik, dikasari; bagi saya cukuplah sekadar memberi amaran berbau hal-hal yang boleh membawa kemudaratan kepada dirinya. Beritahu nasihat berbentuk ilmu kepadanya. Kanak-kanak punya sikap inkuiri; kenapa itu begini terjadi? Malahan sejak di dalam alam bayi di dalam perut ibunya lagi, kanak-kanak sudah menunjukkan sikap ingin tahunya.

iv
Lagi-lagi kanak yang mempunyai mempunyai masalah pembelajaran. Ada ibubapa yang tidak boleh menerima hakikat bahawa anak mereka memerlukan perhatian lebih di atas masalah pembelajaran mereka. Lembam, autistme, disleksia, hyperaktif dan lain-lain lagi merupakan salah satu penyakit moden. Sebenarnya masalah sebegini sudah lama wujud di muka bumi, cuma pada hari ini ia diberi penekanan khusus oleh masyarakat. Kanak-kanak juga mempunyai hak untuk mendapat taraf pendidikan, ibubapa ialah kumpulan yang pertama yang perlu tahu hakikat ini.

v
Ada juga kanak-kanak yang menghadapi kesan psioko manusia yang tidak terkira. Kanak-kanak mudah menghadapi trauma sejak awal umur mereka lagi. Seperti kain putih, manusia dewasa dan persekitaran yang membentuk warna di kain itu. Tetapi, tidak semesti hitam akan terus berwarna hitam, dan putih akan terus berwarna putih. Kadang-kadang manusia dewasa membandingkan pemikiran mereka dengan kanak-kanak di hadapan mereka. Ramai kanak-kanak hari ini membangun dari kesan trauma; antara sedar atau tidak.

vi
Saya juga masih mempelajari psiokologi dan tahap perkembangan kanak-kanak. Ini sedikit persediaan untuk saya sebelum benar-benar berhadapan dengan mereka secara rasmi kelak. Mungkin hari ini pendapat kita tidak sama, sebab itulah kita diminta berpesan-pesan sesama kita.

No comments: