Petang semalam baru sampai ke kampung halaman. Perjalanan dari Kota Kinabalu yang mengambil masa 6 jam cukup membuatkan tulang belakang menjadi sakit seketika. Perjalanan seperti biasa, cuma terdapat sedikit ampaian hujan sepanjang jalan dari Ranau ke Telupid. Cukup menggerunkan keadaan apabila duduk di bahagian paling depan tempat duduk penumpang. Tapi ketawa saya terburai bila melihat paparan movie Melayu Jangan Pandang Belakang lakonan Zizan Razak. Entah, ini versi Jangan Pandang Belakang yang ke apa. Penumpang di sebelah saya sudah lama tidur.
ii
Awal pagi saya siap mengemas kini wall post ‘Breakfast makan burasak dan ikan bilis, kampung ko ada?’’. Sebenarnya saya bukan berbangsa Bugis, tetapi rasanya di Malaysia ini memakan apa saja yang ditawarkan oleh pelbagai suku kaum. Ya, kita tetap mengambil kira yang mana boleh makan atau tidak, kamu tahulah soal pegangan agama kan. Itu yang kita pegang. Tapi ada juga kawan-kawan kita yang memakan benda terlarang, tak apalah it’s a life learning process. Esok kalau sempat sebelum mati, boleh bertaubat. Itu kalau kau tahu bila kau akan menemui tanah kubur..er di bahagian dalam.
iii
Pukul 10 pagi, panasnya cuaca di daerah saya ini memang berupaya mencarikan mekap. Ibu mengajak saya turun ke Bandar untuk membeli barang dapur, sempat makan tengahari di sebuah kedai India Muslim. Nasi kandar lauk ayam goreng dan satu tin 100 plus. Kemudian, sementara menunggu bapa mengambil kami, saya sempat melihat sekeliling sebahagian pusat bandar Sandakan. Sebenarnya sudah 3 bulan sudah tidak pulang bercuti. Terlalu banyak perubahan. Kedai cina lama berjual barang runcit sudah bertukar menjadi kedai pinjaman wang segera dan kedai telifon genggam. Ada jalan yang dibaikpulih dan orang-orangnya masih sedia membanjiri kawasan bandar ini.
iv
Ini gambar di kawasan Pasar Besar Sandakan. Dulu saya pernah menjadi sebahagian dari kawasan ini. Selepas SPM, saya bekerja sementara di sebuah kedai pakaian. Taukehnya bagus dan sekarang sudah menjadi salah seorang jutawan di Sandakan. Setiap hari, sebelah pagi dan petang, saya menyusuri kawasan belakang di deretan bangunan ini untuk pergi dan balik rumah. Saya berjumpa dengan ramai orang jalanan. Nelayan, penjahit/tukang ubah pakaian, penjual syabu, penjual telur penyu serta kanak-kanak yang berlari-lari di sekitar situ; adalah subjek yang hari-hari saya jumpa. Waktu itu (1999) gaji menjadi salesgirl hanya RM180.00 sebulan.
v
Saya cuba buat perbandingan 1999 dan 2012 dengan nilai RM180.00 sebulan. Saya yakin masih terdapat pekerja yang mempunyai gaji sebegitu rendah pada hari ini. Saya sudah pernah merasa dari gaji kecil sehinggalah ke gaji besar. Kadang saya lihat pakcik tua yang menjaga bahagian tempat menyimpan barang pelanggan, terlalu tua. Di situ saya berfikir, apakah sebenarnya pengisian hidup ini? Hidup muda, dengan kesenangan. Atau hidup tua, masih bekerja di pinggir bangunan. Atau seperti Bajau Pelauh, hidup sekadar hidup tetapi harus berjuang hingga ke petang tua untuk mencari sesuap nasi malah berlebih untuk seisi keluarga.
vi
Saya hirup jus Twister, mengisi tekak yang sudah kering dek cuaca panas ini. Buruk pun daerahku, inilah kesayanganku.
No comments:
Post a Comment