Tuesday, March 29, 2011

Cerita hari ke 89.

Haiz.

Macam-macam perkara dunia yang telah terjadi. Saya ini menulis ketika talian broadband Celcom sangat lembab. Siang tadi saya hubungi Khidmat Pelanggan Celcom, mujurlah saya sudah tahu beberapa hafalan dialog-bersama-pelanggan. Dapatlah perbualan disingkatkan, sistem talian saya di-refresh-kan dan saya menerima kata akhir dari mereka; 'paham-paham aja la baru kena landa tsunami'. Kemudian dapatlah sikit-sikit rasa laju dari 4 hari yang sudah. Tapi masih tidak boleh upload gambar-gambar ke facebook dan blogpot. Online newspaper pun tak boleh baca smooth, sudahlah saya tidak gemar menonton televisyen sekarang ini. Boleh dikatakan saya lagi banyak berada di dalam bilik sendiri dan membuat kerja-kerja mengedit gambar sambil bersosial di laman maya.

Cuaca pula tidak menentu. Lebih banyak keadaan hujan sepanjang hari. Saya rasa saya juga seperti orang lain. Aktiviti luar terpaksa ditundakan. Sebelum ini, hanya pada hujung minggu akan keluar rumah. Itupun sekadar melepas kerinduan mengambil gambar ataupun ada kerja-kerja mengambil gambar perkahwinan. Saya juga sedang menunggu peluang pekerjaan yang baru. Kerja mengambil gambar perkahwinan bukannya setiap hari. Pendapatannya boleh tahan, tapi fizikal mental kenalah juga tahan. Cuma pemikiran dan ketakutan saya masih sama seperti orang lain; mengharapkan pekerjaan yang lebih bagus. Perasaan saya terhadap dunia fotografi perkahwinan sentiasa adanya pasang surut. Kadang ok, kadang tak ok. Kadang gembira, kadang mengeluh. Bila melihat laman web jurugambar tertentu, semangat saya naik semula. Saya tidak pernah main-main atau bersandarkan MENGAMBIL GAMBAR SECARA SUKA-SUKA. Saya serius mengambil gambar dan serius untuk belajar meningkatkan lagi mutu karya. Satu perkara manis yang saya dah pegang semenjak di awal minat saya dalam fotografi ialah, saya sentiasa menanam minat ingin menjadi seorang photojournalist (di sini). Sudah masuk tahun keempat, sedar tak sedar dah banyak perkara berkaitan yang saya dah belajar. Perkara mempelajari tidak pernah habis, malah sampai selepas alam kematian. Pada sisi hitam saya, saya selalu mengeluh kenapalah minat ini tidak muncul semenjak remaja lagi. Kalau tidak, mungkin sekarang saya sudah berada di mana-mana pelusuk dunia dan menulis secara official tentang sesuatu isu. Hmmm.. mungkin ada bahagian-bahagian lain yang Allah hendak tunjukkan. Saya disuruh bersabar, saya disuruh belajar.

Niat saya dalam industri ini ialah ke arah bidang kemanusiaan. Kalau prihatin dengan gambar-gambar saya, saya tidak mempunyai gambar-gambar wanita seksi. Melainkan gambar model berkemban kain ela di atas puncak sebuah bukit. Link saya malas nak cari. Haha. Namun gambar itu saya masih klasifikasikan gambar tidak keterlaluan. InsyaAllah, saya mahu mengurangkan gambar bertemakan wanita seksi sama ada tidak keterlaluan ataupun sampai tingkat yang lain. Saya tahu bidang ini begitu luas, dan saya sedang berusaha mempelajari genre-genre yang lain. Tidak yang itu. Semoga Allah memelihara niat saya.

Saya harap tulisan saya ini tidaklah disalahertikan. Ini pendapat peribadi saya dan ruangan saya sendiri. Kelemahan saya ialah sisi hitam saya. Saya juga seperti kamu dan kawan-kawan lain. Sampai jumpa lagi.

No comments: