Thursday, March 31, 2011

Aku Hanya Serangga. (Tips Close Up)


Aperture F/Stop : f/16
Exposure Time : 1/200
Focal lenght : 55 mm
ISO : 200
Lens : 18 - 55mm
Close up filter : 8+
Flash : direct flash with difusser
Post Processing: Adobe Photoshop (at RAW format), exposure correction, zooming until 33% (2 times zooming and crop)

Tips lain:
1) Berhati-hati bila masuk ke dalam semak. Mungkin ada ular atau serangga beracun yang lain.
2)Jangan lupa bawa spare bateri untuk flash, nanti menyesal sbb subjek banyak.
3)Jangan banyak cakap bila dalam hutan, mulut kena jaga. Ada lagi makhluk lain yang harus kita hormati.
4)Niat kena betul, insyaAllah, Hutan juga akan menghormati kita.

Wednesday, March 30, 2011

Wana + Hairie

Filem.

Semalam saya menonton DVD, 2 buah karya dari seberang. Satu bertajuk Cinta, dan satu lagi bertajuk Rumah Maida. Hari-harian tanpa talian internet yang kurang bagus, memang selalu saya habiskan dengan menonton filem atau membaca buku. Atau sekurang-kurangnya mengemas bilik. Bila saya ke mana-mana atau ke luar daerah, ataupun ke Kota Kinabalu (6 jam perjalanan dari rumah saya) saya pasti mendapatkan sejumlah DVD filem atau buku baru. Tahun lepas saya ke Indonesia dan berlibur di Tanah Malaya, saya sudah membeli sejumlah buku yang mungkin pada firasat saya cukup untuk bekalan setahun. Jumlahnya bukan banyak, tapi saya ialah internetier (?). Majalah lagi belum dikira.

Berbalik kepada filem-filem yang saya tontoni semalam. Sejak beberapa tahun ini, saya suka menonton filem dari Indonesia. Saya kira, mungkin ianya bermula sejak di zaman kampus universiti lagi. Jiran saya ialah pelajar-pelajar Masscomm yang sukakan hobi menonton movie. Tidak hairanlah salah seorang dari mereka sudah berjaya menjadi seorang pelakon yang sedang meningkat naik. Fun-nya hidup mereka. Saya selalu ke rumah mereka meminjam cd (pada masa itu) dan menonton di rumah saya. Kadang-kadang menonton bersama teman serumah, kadang-kadang saya layan sendiri dengan memasang headphone Sony di telinga. Peliknya saya tidak pula suka menonton sinetron atau drama mereka di televisyen. Mungkin saya tidak suka menunggu setiap hari di depan televisyen semata-mata sinetron seperti ibu saya.

Filem mereka (yang saya sudah lihat) kebanyakannya bersikap ringan, idealistik, rutin harian dan tiada melebih-lebih. Mereka banyak mempunyai filem yang bersikap nasionalisme Indonesia pada zaman presiden-presiden Indonesia yang pernah memerintah. Jiwa rusuh, reformasi, anak jalanan, kisah teladan masyarakat, penuh kritis, props yang minimalis, konsepsualistik, apatah lagi bakat-bakat pelakonnya. Tiada wajah-wajah yang jambu, tiada watak kening yang di-alis padahal berada dalam scene jalanan, tiada watak korporat yang melampau sombongnya...semuanya sederhana dan minimalis. Pengolahan cerita dan setiap scene yang diambil juga sangat menarik. Gerakan dari satu slot ke slot amatlah cantik.

Bukan seperti negara kita; asyik-asyik kereta mewah, lampu neon KLCC, gadis2 genit, muka-muka jambu dan urban..ah boring.

Saya rasa orang-orang produksi atau penulis atau penghasil karya filem mereka (saya tidak tahu frasa orang filem) selalu mempertingkatkan mutu kerja seharian, adrenalin membuak sentiasa berlumba-lumba mahu dapatkan hasil yang menarik dan hasilnya yang sederhana tetapi mendatangkan efek kepada orang lain berminat untuk menontonnya.

Orang filem kita gah dengan kos filem masing-masing. Arwah Yasmin Ahmad sempat menghasilkan karya-karya minimalis walaupun masih ada bau-bau stereotype filem Malaysia. Saya juga menyukai filem Mamat Khalid; bermula dari filem Rock sehinggalah yang terkini. Setiap satunya pasti mencatat pulangan yang menguntungkan. Ya saya tau, saya tidak seperti kawan-kawan yang masing-masing punya pendapat. Tak apalah, kita berkongsi hemat kan?

Filem epik Merong Mahawangsa mendapat pelbagai jenis kritikan dari para penonton. Harus diingat, mereka yang datang menonton adalah lapisan pelbagai masyarakat. Teaser filem ditayangkan di youtube, CGI yang dilakukan oleh Yusri Abdul Halim memang membanggakan. Saya kurang selesa bila sesetengah orang menyatakan dialog stereotype; Bolehlah bagi level orang Malaysia. Seolah-olah kita selalu membandingkan atau meletakkan diri kita setanding dengan Hollywood yang 100 kali ganda maju ke hadapan. Kita ini langsat, mereka durian. Jauh bezanya, tahu? Sesebuah karya sememangnya memerlukan kritikan untuk penambahbaikan. Tapi usahlah bersikap negatif sangat. Adik beradik KRU merupakan generasi contoh yang patut dibanggakan. Mereka berganding semangat menghasilkan sesebuah karya untuk dihargai. Saya rasa Yusry memerlukan sedikit tambahan masa untuk mengkaji lebih banyak tentang karya-karya yang akan datang.

Baru pukul 2.30 pagi. Sesuai lagi menambah satu filem untuk hidangan idea?


Tuesday, March 29, 2011

Cerita hari ke 89.

Haiz.

Macam-macam perkara dunia yang telah terjadi. Saya ini menulis ketika talian broadband Celcom sangat lembab. Siang tadi saya hubungi Khidmat Pelanggan Celcom, mujurlah saya sudah tahu beberapa hafalan dialog-bersama-pelanggan. Dapatlah perbualan disingkatkan, sistem talian saya di-refresh-kan dan saya menerima kata akhir dari mereka; 'paham-paham aja la baru kena landa tsunami'. Kemudian dapatlah sikit-sikit rasa laju dari 4 hari yang sudah. Tapi masih tidak boleh upload gambar-gambar ke facebook dan blogpot. Online newspaper pun tak boleh baca smooth, sudahlah saya tidak gemar menonton televisyen sekarang ini. Boleh dikatakan saya lagi banyak berada di dalam bilik sendiri dan membuat kerja-kerja mengedit gambar sambil bersosial di laman maya.

Cuaca pula tidak menentu. Lebih banyak keadaan hujan sepanjang hari. Saya rasa saya juga seperti orang lain. Aktiviti luar terpaksa ditundakan. Sebelum ini, hanya pada hujung minggu akan keluar rumah. Itupun sekadar melepas kerinduan mengambil gambar ataupun ada kerja-kerja mengambil gambar perkahwinan. Saya juga sedang menunggu peluang pekerjaan yang baru. Kerja mengambil gambar perkahwinan bukannya setiap hari. Pendapatannya boleh tahan, tapi fizikal mental kenalah juga tahan. Cuma pemikiran dan ketakutan saya masih sama seperti orang lain; mengharapkan pekerjaan yang lebih bagus. Perasaan saya terhadap dunia fotografi perkahwinan sentiasa adanya pasang surut. Kadang ok, kadang tak ok. Kadang gembira, kadang mengeluh. Bila melihat laman web jurugambar tertentu, semangat saya naik semula. Saya tidak pernah main-main atau bersandarkan MENGAMBIL GAMBAR SECARA SUKA-SUKA. Saya serius mengambil gambar dan serius untuk belajar meningkatkan lagi mutu karya. Satu perkara manis yang saya dah pegang semenjak di awal minat saya dalam fotografi ialah, saya sentiasa menanam minat ingin menjadi seorang photojournalist (di sini). Sudah masuk tahun keempat, sedar tak sedar dah banyak perkara berkaitan yang saya dah belajar. Perkara mempelajari tidak pernah habis, malah sampai selepas alam kematian. Pada sisi hitam saya, saya selalu mengeluh kenapalah minat ini tidak muncul semenjak remaja lagi. Kalau tidak, mungkin sekarang saya sudah berada di mana-mana pelusuk dunia dan menulis secara official tentang sesuatu isu. Hmmm.. mungkin ada bahagian-bahagian lain yang Allah hendak tunjukkan. Saya disuruh bersabar, saya disuruh belajar.

Niat saya dalam industri ini ialah ke arah bidang kemanusiaan. Kalau prihatin dengan gambar-gambar saya, saya tidak mempunyai gambar-gambar wanita seksi. Melainkan gambar model berkemban kain ela di atas puncak sebuah bukit. Link saya malas nak cari. Haha. Namun gambar itu saya masih klasifikasikan gambar tidak keterlaluan. InsyaAllah, saya mahu mengurangkan gambar bertemakan wanita seksi sama ada tidak keterlaluan ataupun sampai tingkat yang lain. Saya tahu bidang ini begitu luas, dan saya sedang berusaha mempelajari genre-genre yang lain. Tidak yang itu. Semoga Allah memelihara niat saya.

Saya harap tulisan saya ini tidaklah disalahertikan. Ini pendapat peribadi saya dan ruangan saya sendiri. Kelemahan saya ialah sisi hitam saya. Saya juga seperti kamu dan kawan-kawan lain. Sampai jumpa lagi.

Thursday, March 10, 2011

Monday, March 7, 2011

Cerita hari ke 64.


Setakat ini, saya juga melibatkan diri di dalam fotografi perkahwinan. Mula-mula dulu (sekitar tahun 2009) saya tidak begitu yakin dengan kemampuan diri sendiri. Tapi setelah beberapa lama melalui proses membuat 'keyakinan', saya semakin seronok merakam hari bersejarah para mempelai. Saya juga semakin mempunyai ramai kenalan baru yang terlibat secara langsung dalam industri perkahwinan. Mak andam, designer pakaian pengantin, designer hantaran, tukang jahit sehinggalah kepada golongan-golongan yang lain. Hidup saya memang berwarna-warni. Syukurlah, kawan-kawan ini pun saling memberikan nilai-nilai positif secara tidak langsung kepada saya. Kadang-kadang kami keluar minum, ada ketikanya saya melawat butik mereka. Tidak lupa membawa buah tangan semasa melawat. Ianya bukan tujuan membodek atau mengampu, atau berharap agar dapat peluang job dari mereka. Tidak sama sekali. Tapi saya lebih kepada ingin belajar ilmu dari usaha yang mereka sudah buat. Samaada ilmu bertukang fesyen, ilmu perniagaan mahupun sisi kehidupan yang lain. Mereka melayan saya dengan baik, seharusnya saya menghargai masa yang ada.

Di sisi yang lain, saya memerhati orang lain. Mendengar dan melihat, tetapi kadang-kadang tidak perlu bercakap. Cukup diri sendiri tahu, membuat konklusi berdasarkan imbangan yang disetujui. Di dalam bidang fotografi perkahwinan, isu yang selalu menjadi bual-mulut ialah harga, produk dan atitut. Saya selalu menilai kerja-kerja hasil tangan orang-orang terdahulu, membaca blog-blog cerita perihal selaku jurugambar perkahwinan. Ada yang biasa-biasa, ada yang memang cantik di hati saya, ada yang memberi inspirasi dan macam-macam lagi. Di ruang maya, tak kurang juga ada cerita-cerita yang tidak enak didengar. Bagi saya, ini semua persaingan. Sama ada persaingan sihat atau tidak, kita boleh nilai di mana titik kita sedang berada. Pandangan kita tidak sama, citarasa juga tidak sama. Samalah ketika kita menyakinkan bakal client tentang produk kita. Ada yang suka ikut trend masa kini, ada juga yg hendak seperti zaman yang sudah. Ini pengalaman saya sendiri. Permintaan client hendaklah dihormati, lantaran saya juga terpaksa menggodek perihal style zaman yang sudah.

Soal harga, bagi saya, eloklah harga itu diukur kepada kemampuan diri sendiri. Saya positif dengan perkembangan industri fotografi perkahwinan hari ini. Saya suka melihat kesungguhan orang lain, tetapi kadangkala pandangan itu tersasar juga. Ini semua dari hati dan kemampuan menguasai skil teknikal tertentu. Tapi kita jangan sombong bila dinasihati ataupun ditegur oleh orang lain. Kita semua sama-sama belajar. Bezanya boleh kita lihat dari hasil akhir gambar. Perbezaan org lama (baca: oldtimer) dan mereka yang baru setahun pegang kamera memang agak jauh bezanya. Ada juga orang lama (baca:oldtimer) yang sudah lama pegang kamera tetapi masih belum jumpa tema produknya sendiri. Yang tua dihormati, yang muda disayangi. Seharusnya kedua golongan ini hendaklah saling memahami. Jangan disamakan kemampuan diri sendiri dan orang lain sekiranya masih belum sedia. Dunia hari ini semakin 'laju'. Siapa ada jati diri yang tinggi, faktor masa bukan lagi menjadi pengukur kebolehan seseorang. Tetapi kemahuan untuk melaksanakan impian itulah yang paling penting sekali. Namun bila membina impian, fikirkan faktor internal dan eksternal yang ada pada diri kita.

"Tiada impian setinggi mana, semua boleh dicapai" - Sang Pemimpi, Band Naif (Indonesia)

Berkaitan dengan atitut; di sekeliling saya mempunyai ramai peminat seni fotografi. Sudah tentu kita secara automatis boleh mencium aura-aura yang ada. Bila berbual-bual tentang idola seni, seharusnya kita menghormati pandangan dan mengapa si dia itu menjadi idola si kawan yang tadi. Betapa tidak elok, sedang kita sedap-sedap berbual, tiba-tiba kamu mencela keburukan si idola tadi di hadapan si pencerita. Mula-mula saya boleh menerima kelemahan kawan tersebut, tetapi bila terlalu banyak celaan, saya menjadi ragu. Bagaimana sang idola boleh menjadi maju dengan keburukan-keburukan yang disebut-sebut? Bagaimana mereka yang mengata, masih berada di tampuk yang sama. Ada juga yang mengata, tetapi jalan mereka terus maju ke hadapan. Itulah manusia, tidak pernah cukup. Apa pun, apa yang penting hormatilah pandangan sesiapa pun asalkan pandangan tersebut tidak meloyakan pula di pihak yang satu lagi. Terlalu banyak cakap pun tidak berguna, padahal eloklah masa yang ada itu kita mencari stok-stok gambar yang lagi bagus. Mungkin lebih bagus dari si idola yang kita kutuk tadi. Lebih banyak jumlah ringgit kita perolehi di atas usaha yang kita buat sendiri.

Betul kata idola saya, orang hendak berjaya tidak akan ada masa untuk memikirkan kelemahan orang lain.

Siapa idola saya? Itu tidak penting. Baik kamu berusaha mencari gambar yang lagi bagus. Hehe.

Salam fotografi.