Hari ini aku menjaga 3 buah kelas peperiksaan. Tapi hanya 2 kelas yang menarik perhatian aku untuk diblogkan. Satu kelas merupakan kelas 'hujung' dan satu lagi kelas pelajar yang cemerlang semasa UPSR yang lepas. Aku boleh melihat jurang yang begitu ketara kepada kedua buah kelas ini. Kelas hujung, kelasnya agak serabut sikit, ada papan dinding yang sudah pecah, buku kehadiran entah ke mana dan pemakaian pakaian seragam agak comot sedikit. Bau-bau kenakalan sentiasa harum semerbak. Pencahayaan bilik kelas ini agak kelam sedikit, mungkin kerana ia terletak di tingkat paling bawah. Bila aku bercakap, mereka juga bercakap.
Manakala, kelas yang satu lagi terletak di tingkat atas. Angin sentiasa masuk dan membuatkan aku sentiasa segar. Meja-meja pelajar kelihatan kemas dengan cover yang dikemaskan dari tikar getah. Sudut bulletin pula agak cantik. Tulisan tangan para pelajar pun agak kemas. Bila aku bercakap, mereka mendengar.
Kelas yang satu ini, aku jaga kertas Sejarah. Mula-mula aku hairan, kenapa mata mereka seperti terawang-awang, terkebil-kebil memandang aku. Semalam ada seorang pelajar kelas itu bertanya kepadaku.
Dia : cikgu, ini soalannya darab ke bahagi [aku pandang kertas soalan yg dia pegang]
Aku: Eh, ini bukan darab ni. Soalan ni senang saja. 613 800 ni kamu jadikan dalam bentuk perkataan.
Dia : Bukan darab cikgu? [matanya terkebil-kebil, dan aku mula syak sesuatu]
Aku: Eh, kamu tak boleh membaca?
Dia : Tak pandai, cikgu. [Dan dia terus kembali ke mejanya, di situ aku agak kecewa]
Hari ini aku tanya mereka, bila aku nampak mereka seperti terawang-awang. Siapa yang sudah siap di sini? Angkat tangan? Ini minit ke 20, mereka ada masa 20 minit lagi untuk tamat. Tak ada siapa pun yang angkat tangan dan semua memandang aku. Aku sudah mula syak sesuatu. Siapa yang tak pandai membaca di sini? Aku memang rasa sebak bila dari 44 orang pelajar di situ, hanya 2 orang yang tidak mengangkat tangan. Aku memang speechless di situ. Bagaimana agaknya mereka hendak menjawab kertas soalan yang diberikan?
Siapa yang tak pandai membaca, tembak saja jawapannya. Bulat saja mana-mana jawapan dan jangan biarkan kosong. Cikgu tak dapat membantu kamu dalam exam macam ni.
Tembak saja, cikgu? Kalau salah macam mana?
Siapa suruh kamu tak mahu belajar membaca. Tembak saja, mana tau betul.
Di satu kelas yang lain, aku berjalan dari satu meja ke satu meja untuk melihat proses melukis mereka. Baju sekolah mereka agak bersih dan suasana dalam kelas pun bagus. Ada kalanya aku membantu memberi idea pada pelajar di situ dalam proses mewarna. Aku suka pendidikan seni, tapi aku tak ada bakat melukis. Ada satu sudut, pelajar ini ligat mewarna. Set Buncho dan set berus ada di sekitarnya. Kamu suka melukis atau suka Pendidikan Seni? Suka, cikgu. Dia terus melukis dan mewarna dengan ligat. Kawan-kawan yang lain menyakat pelajar tadi tu. Kamu tahu, ramai manusia hebat dilahirkan melalui lukisan mereka? Aku mula sebut beberapa nama dan melihat mereka mula tercengang-cengang. Manusia genius bukan saja dalam Matematik (macam selalu kita ckp), tp mereka yang pandai gila bermain piano, boleh berbahasa asing lebih dari 7 bla bla bla bla..Wah! Bestnya kan cikgu?
2, 3 hari ni aku kompius. Profession guru sebenarnya memang aku tolak dari dulu. Riak kan. Sekarang dah jadi guru. Tapi angin aku berubah. Kali pertama aku terima ucapan Selamat Pagi Cikgu, memang aku rasa nikmat sangat. Tercengang, oh betul ka aku jadi guru ni. Dalam masa yang sama, aku macam diberikan sebuah beg mengembara. Tetapi di dalamnya semuanya bersifat invisible. Aku tidak diberikan kompas, atau alatan yang lain. Pandai-pandai nak survive.
Kelas yang satu ini tidak pandai membaca. Manakala yang satu pula, mereka belum tahu nak cita-cita jadi apa. Camana ya hendak memupuk semangat cintakan kehidupan pada mereka ni?
No comments:
Post a Comment