Wednesday, November 27, 2013

Rumah idaman dan hal-hal masa depan.



Gambar ini saya cilok dari laman Twitter orang Indonesia. Berkenan sangat tengok rumah macam ini. Saya belum ada rumah sendiri. Mungkin satu masa nanti. Rumah idaman saya cuma macam ini. Rasanya tak mampu nak bayar mahal-mahal untuk sebuah rumah teres yang mencapai harga ratusan ribu. Rumah apartment? Boleh, tapi saya selalu membayangkan nanti di masa tua saya, rumah saya dikelilingi pokok-pokok hijau sebab semasa muda, saya memang menyukai hutan dan tumbuh-tumbuhan.

Kenapa perlu ada platform di hadapan tu? Sebab saya sukakan langit, saya sukakan sejuk malam. Mungkin malam, kita dan kawan-kawan boleh minum kopi bersama-sama. Saya hidang kuih muih untuk mengisi perut tetamu sebelum pulang ke rumah. Atau mungkin bersama anak-anak mengira bintang malam. Itu kalau saya berjodohan dengan seseorang dan mempunyai anak-anak. Saya mahukan anak-anak yang mencintai alamnya, seperti saya di masa muda 'dulu'. Jodoh saya, kalau tidak mencintai alam tidak apa. Biar dia pulang ke rumah cuma untuk beristirehat, pinggirkan soal kerja di siang hari. Yang pasti bila pulang ke rumah, dirinya cuma milik keluarganya. Biar sejuk alam memeluk dirinya supaya lebih sabar dan lupakan dulu amarahnya di siang tadi. Atau, kalau dia juga mencintai alam, mungkin ini hadiah Tuhan paling bermakna buat saya. Tapi, kalau ada juga perbezaan yang jauh, biarlah perbezaan saya dan dia itu adalah titip cinta Tuhan kepada kami supaya saling melengkapi. Aneh ya perasaan begini. Seingat saya, saya belum pernah bercerita hal jodoh di dalam blog saya.

Tapi harga binaan kayu dah mahal kan sekarang?





Thursday, November 7, 2013

Perihal 2: Rumah Koff, rumah penuh cinta.

Perempuan itu masih di situ. Dia sedang duduk menghadap tingkap. Hari ini sudah masuk hari ketiga dia di situ. Kerusi yang didudukinya adalah sebuah kerusi Inggeris yang kami beli dari sebuah jualan gudang. Kerusi yang kusyennya kami telah gantikan, kusyen lama sudah rosak tetapi struktur sokongan kayunya masih bagus. Kami beli dengan harga RM10.00 sahaja. Di hadapannya ada sebuah meja kayu, juga meja terpakai. Kelihatan ada 2 buah buku dan 2 batang pen. Ada sebuah telifon genggam yang sedang bersambung 'tenaga'. Katanya, namanya Lili, sedang melancong di sekitar daerah ini. Dia menyewa katil backpacker kami tetapi dia dilihat lebih banyak masanya di kerusi itu.

'Boleh kan saya duduk di sini 2-3 hari lagi? Saya kemaskini bayaran setiap hari. Rumah Koff ini sangat selesa. Rumah saya pun tidak seperti ini.'

Dia memesan segelas kopi setiap 4 jam. Di sisinya sentiasa ada sebotol mineral untuk minuman tambahan. Sudah 3 hari berkampung di Rumah Koff, dia memesan makanan seperti jadual makan seorang manusia biasa. Cuma yang pelik, dia banyak menghabiskan masa di kerusi Inggeris itu. Tetapi kami sudah boleh menerima keadaan, ramai manusia pelik di dunia ini. Kadang-kadang dia dilihat seperti mencatat sesuatu, kadang-kadang seperti membelek-belek telifon genggamnya dan kadang-kadang dia seperti termenung jauh. Kami pekerja saling berpesanan, agar memberi perhatian kepada Lili. Takut-takut sesuatu di luar jangkaan boleh berlaku.

'Saya sudah 72 jam tidak tidur. Saya tidak dapat tidur. Mungkin minum kopi terlalu banyak. Tetapi saya selesa dengan keadaan ini.'

Matanya kelihatan sembap, seperti baru menangis. Esok masuk hari keempat, mungkin esok matanya masih kelihatan begitu. Dia membersihkan diri seperti biasa. Ada tandas pancur Rumah Koff sediakan di bahagian belakang. Setiap kali lepas mandi, wajahnya kelihatan segar. Sejam tadi, dia mencuci pakaiannya dengan menggunakan mesin basuh kami sediakan. Selepas menjemur pakaiannya, dia duduk setengah jam di bawah cahaya matahari di samping kawasan ampaian. Pakaian tetamu nampaknya banyak tengah 'bersidaian' di luar itu, mungkin kerana semalaman hari semalam hujan turun tidak berhenti. Rumah Koff kalau jam-jam begini memang agak sunyi. Tetamu lain mungkin sedang berada di mana-mana kawasan pelancongan di daerah ini.

'Saya okay, jangan bimbang. Saya cuma mahu berehat.'

Malam ini, kami seperti agak sibuk. Hari Jumaat memang kerap menerima pengunjung yang datang makan malam di sini. Nasiblah cuaca agak baik, persembahan musik akustika berjalan lancar seperti biasa. Kami lihat Lili seperti sedang berteman. Ada seorang lelaki duduk di sebelah dan sedang memandang tepat ke arah Lili. Lili sedang mengamati persembahan musik, manakala lelaki itu seperti sedang mengatakan sesuatu. Kawan kenalan mungkin.

'Hebat persembahan akustika tadi, saya rasa terhibur. Oh, lelaki itu? Hmm..Dia kawan saya. Dia memarahi saya kerana menyimpan perasaan terhadap dia. Sedangkan dia menganggap saya hanya sekadar kawan yang rapat. Saya banyak berdiam dan biarkan dia bercakap. Salahkah saya menyimpan perasaan terhadap dia? Kenapa dia beria-ria memarahi saya? Saya sekadar meluah perasaan saya tetapi tidaklah berniat untuk memiliki sebuah hubungan cinta dengan dia. Cuba awak fikir, dia melayani saya dengan baik. Kadang-kadang dia mengirimkan bait lagu cinta kepada saya. Saya mulanya tidak ada perasaan sebab saya tahu dia ada kekasih hati. Sebenarnya, ada beberapa kali kami keluar bersama. Katanya, kekasih hatinya tahu saya keluar bersama dia. Kekasih hatinya tidak kisah. Saya katakan pada dia, 'Awak perlu kisah dengan kekasih yang tidak kisah kekasihnya keluar bersama dengan perempuan lain.' Satu malam, saya bertanya soal hati kepadanya. Dia tak menafikan perasaan itu, cuma saya pelik dalam tempoh sejam dia seperti berubah rasa. Aneh ya. Dan, tadi dia datang memarahi saya.'

Kami terasa aneh dengan butir kata Lili. Tetapi mungkin ini cuma salah faham. Betul katanya, salahkah menyimpan perasaan terhadap seseorang? Menyimpan dan meluah rasa tidak semestinya mahu  membina hubungan cinta. Tetapi kami yakin lelaki semalam itu ada isunya sendiri. Kalau tidak ada rasa, kenapa mahu melayan Lili begitu rupa? Anehnya cinta. Yang aneh, bila cinta itu berpusing-pusing keadaannya. Lili mahupun lelaki itu sudah pasti adalah manusia-manusia yang mahu dicintai dan mencintai.

Pagi itu, perempuan Lili itu sudah tidak kelihatan di kerusi Inggeris itu. Barang-barangnya juga sudah tidak ada. Ada sehelai memo di atas kaunter pertanyaan Rumah Koff, ringkas tulisannya.

'Cinta itu ada satu tuju dan dua perkara;mencari persamaan,dan menghormati perbezaan.'
Rumah Koff, rumah penuh cinta.
Salam sayang, Lili.

Yang lagi aneh, kami menemui 3 buah botol ubat batuk yang sudah kosong di bawah meja yang 'dihuni' oleh Lili selama beberapa hari.



Wednesday, November 6, 2013

Konversasi Terdalam (1)

'Boleh pinjam bahu?'

'Kenapa? Awak nak menangis?'

'Tidak. Saya cacah tatu dekat bahu awak.'

'Err...ok. Nak buat gambar apa?'

'Saya nak 'buat' gambar ikut bentuk hati saya yang baru renyuk sebentar tadi.'

Friday, November 1, 2013

Perihal 1: Sebuah malam di Rumah Koff.

Malam itu, rooftop Rumah Koff didatangi oleh ramai pengunjung. Kami bikin acara bertajuk 'Berdirinya Saya di Sini...'. Acara ini ialah acara pengucapan bebas. Kami sudah membuat hebahan besar-besaran sebelum ini dan menjemput beberapa orang kenamaan dan sahabat handai yang terdekat. Acara begini hanya dilakukan sebulan sekali. Oh ya, kami baru sahaja beroperasi semenjak 5 bulan yang lepas. Apa itu Rumah Koff? Rumah Koff ialah separa kafe, separa perpustakaan, separa tempat tinggal backpacker dan juga separa untuk tempat santai. Apa yang kami lakukan semuanya berprinsipkan perniagaan. Setakat ini, kami mempunyai 10 katil double decker untuk sewaan backpacker dengan kadar RM15.00 semalam, tanpa breakfast. Tiada bilik tidur cuma dihadang oleh langsir yang panjang. Cuba bayangkan anda bersantai di dalam kafe disertai dengan rak-rak buku? Ah, begitulah. Tawaran makanan dan minuman kami sangat berbaloi. Kami juga menyediakan perkhidmatan membuat acara-acara tertentu di bahagian rooftop Rumah Koff kami. Berbalik kepada acara pengucapan bebas.

Sebuah motor 125z diletak di atas pentas kecil. Lampu di sorot ke ruang berkenaan. Semua meja kerusi tetamu sudah dipenuhi. Pelayan part time Rumah Koff sedang sibuk menghantar makanan yang dipesan. Ada ruang santai di hadapan pentas kecil itu. Tetamu boleh duduk bersila di atas karpet yang disediakan. Kami juga ada menyediakan bantal-bantal besar yang mengandungi bahan kekabu. Kelihatan peserta satu-satunya malam itu sudah naik ke atas pentas. Mikrofon sudah tersedia untuk 'dijamah'. Namanya Nasirun Bin Abdillah. Kedengaran sorakan oleh teman-temannya. Ada 2 orang YB politik sudi bersama kami malam itu. Mereka masing-masing datang bersama isteri. Tiada arak kami sediakan. Yang paling sedap ialah air buah-buahan. Nasirun sudah bersedia dengan ucapan beliau.

'Hobi saya sememangnya membuang masa dengan motor saya. Keluar dan lepak bersama teman-teman di malam minggu. Orang panggil kami, Mat Rempit. Mula-mula kami kisah dengan gelaran ini kerana menurut filem rempit di pasaran, mat rempit sinonim dengan gejala yang buruk. Puas mulut kami menafikannya, tetapi apalah sangat yang boleh dibuat. Mulut celupar biarkan saja. Lagipun gejala buruk bukan milik mutlak komuniti kami. Yeahh!!'

Sorakan memecah malam. Suasana sejuk melilit badan. Kami, tenaga Rumah Koff memerhatikan segenap ruang rooftop itu. Lampu-lampu kecil dipasang keliling, meja dan kerusi untuk tetamu yang ingin menjamah makan malam, kami letakkan di tepi. Di atas setiap meja, kami letakkan gelas berisi sumbu dan api. Macam konsep candle light dinner, sambil mendengar acara ini. Pengunjung di ruang tengah yang duduk di atas karpet juga kelihatan selesa. Ada yang memesan kudapan ringan. 

' Selamat malam YB-YB yang sudi datang bersama isteri. Assallamuallaikum dan salam sejahtera saya ucapkan kepada hadirin yang sudi hadir datang mendengar saya berucap pada malam ini. Terima kasih kepada Rumah Koff yang menjemput saya. Nama saya Nasirun, saya wakil kawan-kawan yang sukakan motor dan kerap membuat bising di jalan-jalan utama di daerah kita yang cantik ini. Malam ini, saya diberi peluang untuk berucap di atas pentas ini. Akhirnya, ada juga pihak yang sudi mendengar luahan isi hati kami.

Tidak dapat dinafikan, golongan mat rempit selalu terlibat dengan macam-macam masalah. Tetapi pernahkah hadirin terfikir untuk mendekati kami? Secara kasarnya, kebanyakan dari kami cuma pekerja-pekerja sektor biasa. Ada yang bekerja sebagai penghantar surat, operator kilang, buruh biasa dan macam-macam lagi. Untuk ke tempat kerja, kami menggunakan motor sebagai pengangkutan utama. Ada juga di antara kami terdiri daripada pekerja di dalam sektor profesional, cuma menjadikan motor sebahagian dari keperluan untuk merewang-rewang bila tengah malam bosan tidak tahu hendak berbuat apa. Hendak ke kedai, pakai motor, senang hendak park, senang mencelah di dalam kesesakan lalu lintas dan macam-macam lagi. Kalau kita tinjau pekerja yang bergaji murah, hanya motorsikal yang mampu dimiliki. Berikutan dengan harga belian minyak yang sudah naik, motor ialah keperluan utama kami untuk ke tempat kerja. 

Kami juga mempunyai keinginan seperti pemilik kereta yang lain. Kalau anda sanggup berikat perut membuat maintenance kereta, kami juga seperti itu. Anda dengan kereta anda, kami dengan motor kami. Kami tak pernah mempersoalkan kadar gaji anda berapa dengan menghasilkan kereta make-up serupa kereta lumba anda itu. Tetapi ada di antara kalian yang memandang rendah dengan usaha kami untuk menghasilkan motor yang laju dan dibuat lumba bila di jalan raya. Berlibur di malam minggu, begitu? Anda main kereta, kami main motor. Adil tak adil? Kami juga seperti anda, ada crowd sendiri. Suka keluar lepak-lepak tengah malam, mungkin kami nampak mendominasi keadaan di kedai-kedai mamak. Negara kita masih ramai yang terdiri daripada golongan yang tidak berkemampuan memiliki kereta. Apa ingat kalau kami bergaji besar, nak pakai motor lagi? Kami pun ada nafsu seperti teman-teman semua.

Kami sudah imun ditahan di dalam sekatan jalanraya oleh pihak polis dan JPJ. Tidak dapat dinafikan, ada yang gagal ujian air kencing, tidak memiliki lesen motor dan macam-macam lagi kesalahan. Cuma kebetulan, pihak berkuasa kerap membuat sekatan di malam minggu di mana kami kerap memilih malam minggu untuk pergi berlibur di jalanraya. Hari biasa ialah hari bekerja, badan tak larat hendak berembun malam. Maklumlah bekerja di dalam sektor yang lebih banyak berada di luar pejabat. Perlumbaan motor di jalanraya ialah satu hiburan bagi kami yang tak mampu untuk masuk ke pusat-pusat hiburan. Kalau anda terhibur dengan gelekan gegadis di dalam kelab malam, kami pula terhibur untuk membelah larut malam dengan perlumbaan. Kadang-kadang kami tak berlumba, cuma kami suka untuk meronda-ronda bersama kawan-kawan. Dulu-dulu naik basikal, keliling kampung. Mat-mat yang bawa kekasih meronda malam itu, itu hak mereka. Yang tak ada kekasih, layan motor, layan lap. Kemalangan motor juga adalah perkara biasa. Kami juga tahu, mati itu pasti. Cuma kadang-kadang kita dengar, bila mat motor menyusahkan pengguna jalanraya yang lain. Padahal, pengguna jalan seperti pemandu kereta juga tak kurang hebatnya bila seperti merasakan jalanraya itu bapa mereka yang punya.

Kalau anda pergi ke negara Indonesia, penunggang motosikal tidak memakai topi keledar langsung. Pengguna jalanraya di sana lebih bertolak ansur dan sentiasa memberi perhatian ketika di jalan raya. Mereka sedar, tidak semua rakyat mampu untuk memiliki sebuah kereta mobil. Lagipun, kadar macetan atau kesesakan lalulintas di kota mereka adalah sangat menggerunkan. Jadi, motorsikal adalah pengangkutan paling efisyen untuk mengelak dari macet. 

Pernahkah teman-teman terfikir untuk memikirkan apa yang ada pada kami yang rata-rata berpendapatan kecil dan sederhana? Motorsikal juga agen pencari rezeki untuk kami, cuma kadang-kadang ada di antara pengguna motorsikal ini yang terlibat dengan macam-macam gejala. Media cuma suka menumpukan perhatian kepada golongan kami. Padahal golongan lain juga lagi teruk sikapnya seperti terlibat dengan rasuah dan menjadi musuh nombor 1 negara. Kalau kami terlibat dengan rasuah, takanlah masih mahu menunggang motor cabuk lagi? Tak ada posmen yang mahu menghantar surat ke rumah antara dengan menggunakan kenderaan seperti kereta dan van. Nampak tak takdirnya sebagai ahli masyarakat yang kaya dan tidak kaya?

Walau apa pun labelan anda, ianya tidak mengubah nasib kami bagaimana. Gaji kami tetap rendah, cukup makan dan pakai. Kalau rajin sedikit, bolehlah menambah pendapatan dengan melakukan kerja-kerja tambahan. Terima kasih dengan peluang berucap ini. Semoga anda mendapat manfaat dari perkongsian ini. Assallamuallaikum'.

Sesi soal jawab bersama penonton pun bermula. Nasirun tetap tenang menjawab sebarang soalan. Yang menarik, setiap kali beliau selesai menjawab soalan yang dilontarkan, sorakan pasti bergema. Malam di Rumah Koff diteruskan lagi dengan persembahan nyanyian dan musik akustika oleh rakan-rakan Nasirun. Malam itu milik mat-mat rempit. Pengunjung yang datang rata-rata yang telah memenuhi jemputan kami, dari badan-badan NGO dan kerajaan, orang perseorangan serta 2 orang ahli politik yang dipanggil YB. 

Esok paginya, YB Lee menelefon kami. Butir katanya seperti mahu menaja acara pengucapan awam untuk bulan depan pula. Tambahnya dia mahu menjemput rakan-rakan politiknya untuk datang 'berlibur' di Rumah Koff.

'Saya bosan dengan protokol dan majlis-majlis rasmi. Saya mahu entertainment macam inilah. I punya wife pun suka. Tak perlu set-set rambut. Bagi tau apa you orang perlu. Saya sponsor. You orang punya makanan, kasih sedap lagi.'