Tuesday, August 23, 2011

Pelangi.


Pagi ini, saya mendengar beberapa kali bapa saya cuba menyembunyikan tangisnya. Bapa saya seorang yang mudah tersentuh hati. Ibu saya nampak sedih, saya tahu mereka berdua sedang bersedih. Semalam pada pukul 9.10 malam, abang ipar saya telah kembali ke rahmatullah selepas menderita sakit kanser paru-paru. Bermula dari kesan tiroid dan menular ke bahagian paru-paru. Dan pada bulan Ramadhan ini, beliau kembali menemui Pencipta nya. Allahyarham meninggalkan seorang balu (kakak kedua saya) dan sepasang anak yang baru berusia 9 tahun dan 7 tahun.

Saya tidak tidur semalaman, semenjak berbuka puasa petang lepas. Tiada rasa mengantuk, malahan sejak kepergian ipar saya, terlalu banyak benda yang saya fikirkan. Itu semenjak semalam. Tentang pegangan, tentang kehidupan dan perihal-perihal lain.

Apa rasanya menjadi seorang pemerhati; kepada orang yang masih hidup sedang memerhatikan jasad kita (sudah tidak bernyawa)?

Apa rasanya melihat isteri dan anak-anak yang masih kecil sedang duduk terkilan di sebelah jasad kita (sudah tidak bernyawa)?

Kali terakhir saya berjumpa arwah ialah semasa cuti persekolahan tahun lepas. Saya ingat lagi keletah anak-anak arwah semasa bersama arwah di dalam rumah kecil saya ini. Saya ingat lagi Subuh saya yang lalai mendengar Fikri melagukan ayat-ayat suci Quran ketika ibunya sedang membersihkan luka tapak kakinya. Saya ingat lagi Fikri disuruh melaungkan azan oleh datuknya ketika bersantai di anjung rumah. Cuma pelat kanak-kanak, sambil saya perasan arwah ayahnya melihat anak kecilnya itu sedang berada di pangkuan datuknya. Manakala saya lihat kakak saya dan anaknya Farhana pun tersenyum melihat perilaku Fikri ketika itu.

Itu semua 9 bulan yang lepas.

Saya tahu kematian itu sesuatu perkara yang pasti pada setiap benda bernyawa di dunia ini. Ada orang berpisah dengan kekasih atau berpisah cerai dengan suami, malahan dengan sesiapa pun pasti meninggalkan parut di hati. Apatah lagi berpisah mati; sudah tiada komunikasi lisan, sudah tiada tempat mengadu rasa. Jauh bezanya mengadu rasa kepada bukan sang kekasih. Saya tahu perasaan ini walaupun belum berkahwin. Saya banyak melihat kecederaan hati insan lain. Cuma yang menjadi penguat kepada kehidupan adalah pegangan agama dalam diri sendiri serta tanggungjawab menjaga diri sendiri untuk masa depan.

Untuk ke sekian kali, saya berharap kehidupan ini baik-baik saja.

2 comments:

C Nong said...

Sedih aku membaca entrimu kali ini. Perasaan ndak, this is our 1st experience about death from our family.

mas said...

iya..