Tuesday, August 23, 2011

Pelangi.


Pagi ini, saya mendengar beberapa kali bapa saya cuba menyembunyikan tangisnya. Bapa saya seorang yang mudah tersentuh hati. Ibu saya nampak sedih, saya tahu mereka berdua sedang bersedih. Semalam pada pukul 9.10 malam, abang ipar saya telah kembali ke rahmatullah selepas menderita sakit kanser paru-paru. Bermula dari kesan tiroid dan menular ke bahagian paru-paru. Dan pada bulan Ramadhan ini, beliau kembali menemui Pencipta nya. Allahyarham meninggalkan seorang balu (kakak kedua saya) dan sepasang anak yang baru berusia 9 tahun dan 7 tahun.

Saya tidak tidur semalaman, semenjak berbuka puasa petang lepas. Tiada rasa mengantuk, malahan sejak kepergian ipar saya, terlalu banyak benda yang saya fikirkan. Itu semenjak semalam. Tentang pegangan, tentang kehidupan dan perihal-perihal lain.

Apa rasanya menjadi seorang pemerhati; kepada orang yang masih hidup sedang memerhatikan jasad kita (sudah tidak bernyawa)?

Apa rasanya melihat isteri dan anak-anak yang masih kecil sedang duduk terkilan di sebelah jasad kita (sudah tidak bernyawa)?

Kali terakhir saya berjumpa arwah ialah semasa cuti persekolahan tahun lepas. Saya ingat lagi keletah anak-anak arwah semasa bersama arwah di dalam rumah kecil saya ini. Saya ingat lagi Subuh saya yang lalai mendengar Fikri melagukan ayat-ayat suci Quran ketika ibunya sedang membersihkan luka tapak kakinya. Saya ingat lagi Fikri disuruh melaungkan azan oleh datuknya ketika bersantai di anjung rumah. Cuma pelat kanak-kanak, sambil saya perasan arwah ayahnya melihat anak kecilnya itu sedang berada di pangkuan datuknya. Manakala saya lihat kakak saya dan anaknya Farhana pun tersenyum melihat perilaku Fikri ketika itu.

Itu semua 9 bulan yang lepas.

Saya tahu kematian itu sesuatu perkara yang pasti pada setiap benda bernyawa di dunia ini. Ada orang berpisah dengan kekasih atau berpisah cerai dengan suami, malahan dengan sesiapa pun pasti meninggalkan parut di hati. Apatah lagi berpisah mati; sudah tiada komunikasi lisan, sudah tiada tempat mengadu rasa. Jauh bezanya mengadu rasa kepada bukan sang kekasih. Saya tahu perasaan ini walaupun belum berkahwin. Saya banyak melihat kecederaan hati insan lain. Cuma yang menjadi penguat kepada kehidupan adalah pegangan agama dalam diri sendiri serta tanggungjawab menjaga diri sendiri untuk masa depan.

Untuk ke sekian kali, saya berharap kehidupan ini baik-baik saja.

Monday, August 15, 2011

Luna dan puisi saya.

Dunia lebih indah jika kita saling mengasihi, sekuat-kuatnya.
Kita mesti berani menghadapi apa juga perkara mendatang.
Menangislah;
Untuk kegembiraan.
Untuk kejayaan.
Untuk kegagalan.
Untuk apa saja.
Allah memberikan kita airmata untuk mencuci debu alpa di mata kita.
Selesai menangis, berjalan lagi.
Berjalan lagi ke serata tempat yang kita mahu.
Senyum pada mereka; berpada-pada.
Hulurkan sedekah pada siapa-siapa; tanpa mencebik.
Tak mungkin satu-satu ibadah itu diberikan kepada kita tanpa sebab.
Apabila kita melihat keindahan, maka bersyukurlah.
Apabila kita melihat kelemahan, maka tegaplah kita.
Teruslah hidup.





Wednesday, August 10, 2011

Semporna (Street Shooting with 'heart')

Gantungkan kamera di leher dan ke paras dada, kemudian mulalah berjalan. Ambil gambar berpandukan dari 'hati' yang begitu dekat dengan kamera. Tidak perlu mata, lupakan ketajaman gambar, lupakan tone menyesakkan, lupakan apa-apa rules. Teruskan langkah, pandang dari hati dan tekan shutter.




Friday, August 5, 2011

Kasih dan Sayang.


Saya agak menyesal kerana terlambat merasakan bersama debaran kegembiraan dan kesedihan bersama-sama penonton lain filem Nurkasih The Movie pada bulan Mei yang lepas. Saya mendapat link filem penuh/ fullmovie dari seorang kaki movie, kemudian memulakan penumpuan saya terhadap filem ini. Kawan lelak di facebook kata filem ini bisa menitiskan air mata lelaki mereka; saya merasa pelik namun masih bersangka baik. Bila saya pula yang melihatnya, boleh dikatakan setiap babak yang menarik emosi saya, saya akan menangis. Betapa hebatnya kuasa Nurkasih menarik perhatian dan mempermaikan emosi para penonton. Saya yakin saya tidak berkeseorangan menjadi penonton pen-tangis terhadap filem ini.

Rasa kasih dan sayang ialah perkara misteri yang Allah turunkan kepada setiap pemilik hati di dunia ini. Haiwan dan tumbuhan juga punya rasa kasih dan sayang. Malah matahari, bulan dan bintang dan semua ciptaan yang Maha Agung. Malah sampai ke alam kematian pun kasih dan sayang itu tetap wujud. Syurga ialah landasan abadi yang Tuhan berikan untuk kita. Terpulang pada kita untuk memilih mana-mana jalan kehidupan. Kalau pincang sekalipun, kita sentiasa punya peluang untuk memperbaiki haluan diri. Malah sehingga ke hujung nyawa sekalipun, pintu taubat sentiasa terbuka untuk kita. Kecuali bila nafas sudah berhenti..

Di sana sini saya melihat pertelingkahan manusia berlaku pada setiap saat. Saya tertanya-tanya bila pertelingkahan emosi ini akan berakhir. Bak kata Ana Rafali, kasih dan sayang harus ada kasihan. Bak kata saya, diri sendiri perlu memberi peluang untuk kasih dan sayang. Malah semua hati perlukan terma ini. Tanpa kasih dan sayang, dunia menjadi kucar kacir seperti sekarang. Saya yakin manusia yang kejam mana sekalipun masih mempunyai perasaan kasih dan sayang, cuma ketamakan dunia telah menutup keseluruhan hati secara total bila didesak lagi dengan bisikan syaitonnirojim.

Ada masanya saya selalu beragak-agak; agaknya ada tidak sudut di dunia ini yang tidak mempunyai jiwa-jiwa kacau ini? Semua orang di situ hidup harmoni meskipun latar belakang yang berlainan. Itulah Utophia saya, ataupun tanah masyarakat impian saya. Keamanan itu boleh dicipta cuma bersyaratkan keberanian dan pegangan hidup berteraskan wahyu. Saya amat yakin semua manusia dibekalkan dengan sikap kasih dan sayang ini. Cuma faktor terdesak atas kehidupan overload yang menyebabkan banyak hal negatif telah berlaku.

Tontonilah filem ini. Saya yakin anda juga akan menangis seperti saya. Selamat berkasih sayang.