Wednesday, July 31, 2013

Gelinciran Hati

Kau tahu saat sakit hati seorang isteri itu berlaku bila? Yang aku kira paling maksima? Saat bila suami kita mengalami gelinciran hati dengan perempuan lain. Perempuan ini bercintanya lain macam, setianya lain macam. Lain masa bercinta, lain lagi masa selepas berkahwin. Bagi aku, kenapa perempuan tidak diberikan keistimewaan berkahwin poligami seperti lelaki kerana adalah emosi-setia. Istimewa yang ada pada sang perempuan ialah setia. Aku tahu, bukan semua perempuan ada keistimewaan ini. Tapi hampir semua perempuan memilikinya. Kita bercakap dalam konteks perempuan macam aku. 

Manusia itu sentiasa diuji, laki-laki atau perempuan. Lelaki selalu diuji dengan nafsu, perempuan selalu diuji dengan setianya. Dulu kau pernah lihat aku bertudung litup semasa sekolah kan, tapi bila aku mendapat tahu suami aku mengkhianati aku, aku 'cabut' tudung aku dan gantung atas pokok. Masa muda itu, aku seperti hilang akal, apa yang perempuan itu buat, aku buat. Konon-konon seperti bertanding merebut hati lelaki yang bernama suami halal. Dia buat potongan rambut begini, aku buat. Dia pakai pakaian itu ini, aku pun turut tiru pakai. Yang paling teruk, aku mula berseluar pendek masuk ke dalam pusat membeli belah. Kawan-kawan terkejut dengan perubahan ini. Bayangkan saja, bertudung litup kemudian berseluar pendek? Wang saraan keluarga tak usah cakap. Masa suami buat hal, aku baru lepas bersalin. Melebih-lebih rasa 'pahit'nya. Lagi-lagi bila perempuan itu sudah mula berani bersemuka dengan aku dan ceritakan hal-hal dia bersama suami aku. Gila, memang gila. Kemuncak cerita bila aku membawa hal ini ke mahkamah. Aku kira talak sudah jatuh sebab suami pernah ugut untuk talakkan aku kalau berani buat hal ke mahkamah. Tapi syukurlah, kami masih bersama sehingga ke hari ini. Aku sempat buat pemeriksaan darah untuk pengesahan sebab aku dapat tahu perempuan itu sering bertukar-tukar pasangan seksnya.  Perkara paling bodoh bila aku fikir sekarang ini adalah kenapa aku membanding-bandingkan diri aku dengan perempuan itu. Takanlah isteri yang halal ini lagi buruk dari perempuan itu? Itu satu-satunya pemikiran bodoh pernah aku buat.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------

Saya mengimbas-imbas wajah kawan saya itu. Kali terakhir kami bertemu-sama semasa di sekolah tinggi. Bertudung labuh, wajahnya jernih seperti keibu-ibuan. Sekarang pada usia 32 tahun, katanya dia sudah 'mengikat' rahimnya kerana kesan kejadian lampau. Marah benar bunyi bicaranya. Mungkin begitulah bila hati isterinya dikhianati. Tapi benarlah pujangga lepas, setia ini harus bertempat. Simpan sedikit rasa ragu-ragu tetapi harus juga bersedia untuk menghadapi saat-saat pahit yang tidak dirancang. Ujian kesusahan hidup itu sebenarnya peringkat kesediaan kita untuk menjadi manusia yang hebat. Bila hati rasa sedih, syaitan bergembira sakan. Sebab itulah kita mudah terpesong hati untuk hal-hal seperti ini. Saya yakin kawan saya itu lebih kuat dari masa-masa lepas. Dia sedang menyambung pelajaran peringkat Master, sedikit masa lagi untuk bukti usaha lebih baik dari kehidupan semalam.

Monday, July 29, 2013

Seorang bukan pendeta yang dulu seorang pendeta.

Fenomena googlisme mengganggu hubungan manusia moden pada hari ini. Seorang pendeta yang sejak akhir-akhir ini tidak mahu lagi dipanggil sebagai pendeta, berdiri di hadapan sebuah gumpulan buku-buku yang sangat masif. Dia melepaskan keluh.

Dulu, di meja-meja inilah aku dan para pelajarku selalu berdudukan sama. Mereka bertanyakan sebarangan soalan. Dari sekecil-kecil soalan tidak masuk akal, sampailah ke soalan-soalan yang kadang mampu memecahkan pembuluh darah di akal ruang ingatanku untuk menjawabnya. Aku masih ingat Lili Siew, gadis Tionghua, yang selalu membawa sebekas botol air yang besar ke dalam ruang ini. Prem, selalu meminum air dari botol itu tanpa sedar oleh Lili Siew. Hajar, Kasim, Kanang anak orang Sarawak dan Kalin anak soljar dari utara; itu barisan anak-anak muda yang selalu mengajak aku untuk datang ke ruang ini. Kami berbicara tentang banyak hal. Paling aku tidak lupa, bila ada satu hari itu mereka semua meminta aku membaca sajak. Aku lupa hari itu, aku tidak membawa buku catatan ku bersama. Aku pergi ke satu ruang terpuruk sudut-sudut buku itu. Aku capai satu buku; fikirku, buku ini sudah cukup memberi sajak yang puitis.

Aku membacanya seketika dan memahami konteksnya, mesejnya, atau apa-apa yang sesuai untuk barisan anak-anak muda itu. Mereka lapar cerita-cerita hebat dari seluruh dunia. Selain aku digaji oleh orang-orang besar di kota ini untuk menyampaikan ilmu (yang aku tahu), aku juga selalu tidak cukup masa untuk diri aku sendiri. Nama-nama yang ku sebut tadi, mereka yang selalu membuat temujanji untuk bertemu denganku. Aku gembira dengan ajakan-ajakan mereka untuk diskusi ilmu seperti hari ini. Aku sesekali, merindui guru hebatku yang sudah pulang ke rahmatullah 23 tahun yang lepas. Aku kadang titis air mata, mengenang kenangan bersama kawan-kawan lain ketika berlumba-lumba menuju ke rumah guru kami untuk mendengar ajaran-ajaran arwah guruku yang hebat itu. Al Fatihah untuknya.

Sajakku yang baru dicipta tadi mengundang kerut di dahi anak-anak muda di hadapanku. Tanyaku, mengapa terdiam? Mereka kata, sajak ku itu puitisnya lain macam. Semacam amaran-amaran untuk masa depan, semacam juga teladan-teladan manusia yang lepas. Semacam juga penawar-penawar kepada persoalan kehidupan. Aku letak buku yang ku ambil dari rak yang terpuruk itu di hadapan mereka. Kataku, ini adalah buku panduan yang paling hebat untuk dijadikan panduan selain pengamatan kita terhadap sekeliling kita. Bacalah sedikit-sedikit, fahami sedikit-sedikit dan sampaikan sedikit-sedikit kepada sesiapapun. Jadikan ia hamparan rasa yang boleh memberi manfaat kepada manusia lain. Prem dan Lili Siew bertanya, bolehkah mereka membacanya? Kataku, kalau faham bahasa Arab, mungkin boleh saja. Tapi buku tafsir sudah banyak dijual di pasar-pasar buku. Tapi pesanku, fahaminya betul-betul. Kalau membawa 'pusing', harus dirujuk kepada yang lebih tahu.

Kini ruang itu kosong. Ingatan lepas telah berhenti berlayar di kotak ingatan. Anak-anak muda tadi hanya aku hubungi melalui maya internet. Masing-masing sudah sibuk dengan tugasan. Rak-rak buku sudah mula berhabuk di sana sini. Aku fikir, tukang bersihnya tidak ada motivasi untuk membersihkan ruang yang sunyi ini. Segala maklumat boleh didapati dari kotak elektrik yang ajaib dipanggil komputer. Dulu di padang hampar di bawah sana, aku boleh melihat pengunjung ruang ini berbaringan sambil membaca buku. Sekarang tiada lagi. Yang ada cukup rumput-rumput kekuningan bersama bebunga liar. Ruang ini juga sudah nampak sedikit kusamnya. Ada yang masih tinggal seperti dulu iaitu bayu laut. Ah, senyum sajalah.

Pendeta itu berlalu dari situ. Dia tinggalkan saya sebuah buku. Buku yang berbalut dengan kertas coklat usang saya buka lapisnya. Katanya tadi, buku ini banyak memberinya panduan. Zamannya dulu, sudah banyak buku-buku palsu yang banyak menyesatkan manusia. Zaman sekarang, maklumat sudah berbaur-baur. Payah hendak dihadam. Katanya lagi, buku itulah menjadi panduan akhirnya ketika menciptakan sajak spontan untuk anak-anak muda Prem, Lili Siew, Hajar, Kasim, Kanang dan Kalin. Saya terkejut memandang buku yang dimaksudkan. Paling terakhir saya nampak buku seperti ini adalah di rumah nenek Atim. Nenek Atim, saya ingat dulu dia selalu membaca buku ini. Air mata saya bertakung sedikit, saya kucup buku itu, halakan rapat ke dahi dan menyimpankannya di dalam kantung buku saya. Memori saya berputar-putar ke zaman lepas, mengenang zaman pergi mengaji. Selepas itu, saya tidak pernah lagi melihatnya sehinggalah ke hari ini.

Pendeta sudah hilang dari pandangan.