Kadang saya tertanya, apakah yang membuatkan seorang perempuan (mungkin isteri atau kekasih) masih memaafkan lelaki yang banyak kali melukakan hati mereka.
Mungkin tulisan kali ini, berbaur sedikit kekeliruan. Mungkin berkait dengan kamu, atau memang berkait tentang kamu.
Melukakan bagaimana? Mental dan fizikal, maksud saya. Saya kurang pasti, adakah kesetiaan itu lambang isteri yang taat? Setia pada lelaki yang selalu membuat kamu susah hati, takut dan tidak selesa. Itu setia yang bagaimana?
Kalau di dalam rumahtangga, syurga disimbolis terletak di bawah kaki suami. Tetapi suami yang bagaimanakah mempunyai syurga di bawah telapaknya? Kalau suami yang mempunyai syurga di bawah telapaknya, sudah pasti dia akan menyediakan mahligai kasih untuk isteri dan anak-anaknya.
Kalau soal kesempurnaan yang mungkin kamu tuntut, saya rasa itu bukan helah belah diri terbaik untuk mengelak.
Saya teringat seorang teman. Bercerai dan merujuk semula. Suami berjanji menjadi suami yang baik, dan dengan sedar penyakit kelamin akibat persetubuhan dengan pekerja seks ada di dalam tubuhnya. Isteri merasa kasihan, lagi-lagi dengan ada anak. Bersatu kembali dan teman saya juga turut kejangkitan penyakit dari suaminya itu. Kemudian suami buat hal lama.
Teman saya sakit. Saya pernah nasihatkan agar berfikir sedalamannya. Tapi katanya, dia bertahan hati kerana masih sayang. Sayang jenis apakah kalau sampai memudaratkan diri?
Saya keliru dengan soal perjodohan.
No comments:
Post a Comment