Saya selalu mengingatkan diri saya tentang hukum Pencipta kita. Kejadian Tsunami Acheh, marahnya Merapi, malahan banjir-banjir kilat di negara kita memberi keinsafan kepada saya, dan percaya hukum Allah s.w.t tidak mengira golongan. Samaada alim ulama, kaya raya, yang jahil, yang kurang upaya; apabila ianya datang, ia tetap memberi kesan kepada kita semua. Tidak semua dari kita mengambil iktibar tentang tanda-tanda kekuasaan Allah s.w.t. Apabila DIA mengkehendaki, maka terjadilah.
Masyarakat lebih suka mengambil jalan pintas, menghukum dan mencemuh mereka. Saya juga sebahagian dari masyarakat itu. Saya menganggap mereka golongan yang memang sudah menempah tempat di neraka. Tiba-tiba saya terdetik; mereka sudah tahu perbuatan mereka adalah salah, tetapi sekiranya mereka berbuat baik ataupun melakukan sesuatu yang mendatangkan kebaikan kepada orang lain, adakah kebaikan itu diambil kira oleh Si Tukang Kira? Di kiri kanan kita mempunyai malaikat pencatat dosa dan pahala. Ke neraka atau syurga, itu bergantung kepada perilaku kita semasa hayat.
Saya fikir, semua manusia mempunyai sisi hitam mereka sendiri. Saya yakin setiap manusia mempunyai peluang untuk menjadi manusia yang lagi baik walaupun kita selalu mengulangi perbuatan yang salah. Perihal isu mereka yang mempunyai naluri songsang ini; saya hanya mampu mendoakan perkara-perkara kebaikan kepada mereka. Semakin saya dewasa, semakin saya faham tentang kehidupan. Manusia diturunkan ke bumi setelah berbuat silap / mengingkari suruhanNya. Tetapi Adam dan generasi seterusnya diberi peluang untuk mengumpul kekayaan di akhirat kelak.
Janganlah dihina golongan ini. Sebaik-baiknya kita tidak henti-henti menghantar doa kepada Allah s.w.t supaya kita dan mereka diberi hidayah sehingga ke hari yang terakhir. Hari ini di Facebook saya, saya menyebut berkaitan dengan kekejaman manusia terhadap binatang.
mana-mana agama tak ada mengajar utk menyiksa binatang. haram dipegang, haram dimakan, tp tak ada rules pun bahawa binatang tersebut boleh diseksa. jangan jahat doh!
Apatah lagi kita sesama manusia. Walaupun golongan ini sudah dilabelkan jelas dengan balasan Allah s.w.t, tetapi kita tidak berhak menyakiti mereka. Saya percaya, agama lain pun tidak diajar sedemikian. Mereka mungkin 'cacat' pada satu sisi, tetapi saya yakin mereka juga seperti manusia yang lain. Mereka juga punya keinginan untuk berubah ke satu sisi yang lain, namun ini bukan sesuatu yang mudah. Doakan saja yang terbaik, mereka juga manusia seperti kita.
Selamat malam.
No comments:
Post a Comment