Tuesday, January 25, 2011

Cerita hari ke 25.



Hari ke 25 dalam bulan Januari tahun 2011. Hari ke 25 saya sudah ditamatkan kontrak oleh Kementerian Pelajaran Malaysia, pekerja sebagai Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT). Saya tidak berkeseorangan, tetapi ada lagi 11, 999 orang lain yang juga ditamatkan perkhidmatan secara kontrak ini. Macam-macam artikel berita keluar tentang isu GSTT ini. Namun sudah hari ke 25, belum ada tanda-tanda positif yang menyenangkan. Saya masih positif dengan keadaan ini walaupun saya sudah tidak mahu percaya dengan janji-janji sebelum ini.

Manusia, kita mudah merasa terdesak apabila kedudukan kita diancam. Terpaksalah kita mengadakan beberapa idea untuk membantu kita terus melalui kehidupan seharian yang memerlukan saraan wang ringgit. Nasib baiklah saya ada kemahiran yang satu lagi, hari ini hari ke 25 saya bekerja sendiri. Tahun lepas saya cakap, saya mahu berhenti untuk ambil gambar orang kahwin. Ini kerana passion saya bukan ke arah ini. Saya mungkin lebih terarah kepada bukan bidang komersial. Namun tahun ini, saya rasa Tuhan mengarahkan saya supaya berusaha menjadi lebih baik. Hari ke 25 sebagai Jurugambar Sepenuh Masa bukan perkara yang senang. Syukurlah, sedikit-dikit saya menyimpan dan mencari ilmu dalam bidang yang saya cintakan ini. Saya bekerja secara online dan ada masa tertentu saya akan keluar untuk berjumpa dengan bakal client. Bunyinya macam sudah bertahun menjual gambar, tapi ya, ini tahun ketiga sebenarnya saya telah menjadi seorang penjual gambar. Cuma tahun ini, 2011, saya tidak mempunyai majikan. Saya mengajak dua orang rakan kongsi untuk sama-sama berniaga menjual gambar.

Sudah hari ke 25.

--------------------------------------

Bila saya lihat tulisan-tulisan saya pada tahun 2009, saya dapati azam tahun 2008, 7 daripada 10 buah azam sudah saya capai. Ini memang menggembirakan. Namun pada tahun 2010, tidak banyak azam saya tercapai. Tetapi azam yang tidak tercapai itu telah digantikan dengan perkara yang lagi hebat. Tahun 2010 adalah tahun banyak berjalan dan tahun ramai kawan baru. Saya suka dengan perkara ini. Saya mengembara ke tempat lain dengan gambar-gambar baru dan mula merindui momen-momen itu. Macam anak kecil, yang bercita-cita besar, kemudian apabila sudah besar saya gembira kerana sudah mencapai apa yang saya mahu. Tetapi sebenarnya itu bukan impian semasa kecil, semuanya datang secara tiba-tiba. Bidang fotografi pun bukan impian semasa kecil. Saya mula mencintai bidang ini sejak di universiti lagi. Ah, berapa tahun sangat kan?

Tahun lepas, saya jadi seorang guru. Saya gembira dengan bidang tugas ini, tetapi tiada rezeki untuk ke jawatan tetap. Dulu tak terfikir pun akan menjadi seorang guru, sebab masa itu saya fikir pekerjaan guru tak sesuai buat saya. Siapalah mahu; berbelas tahun berhadapan dengan buku, takan sampai ke mati pun nak menghadap buku lagi? Nah Tuhan balas kesombongan saya itu. Bukanlah maksud saya, semua orang mesti menjadi seorang guru. Tetapi Tuhan balas dan suruh saya menjadi apa yang saya tidak mahu.

Dalam masa yang sama, saya bertekad untuk menjadi anak watan yang dapat menyumbang sesuatu dalam masyarakat.

Saya tidak mahu menjadi guru?
Saya mahu menjadi anak watan yang menyumbang sesuatu kepada anak negeri saya?

Tuhan bagi saya benda yang saya tidak mahu. Tetapi siap berbonus, DIA berikan pula apa yang saya mahukan. Saya jadi malu. Malu sebab saya tidak mahu, DIA berikan juga dan ditambah lagi benda yang saya mahu. Rancangan Tuhan memang sudah teratur lama.

Menjadi seorang guru, memang mengubah diri saya. Atitud saya, keperluan saya, malahan keperibadian saya. Banyak perkara-perkara positif yang sudah saya lakukan. Saya tahu saya hanyalah guru sandaran di sekolah itu, tetapi saya sudah menjadi seorang 'pemburu'. Saya bersaing dengan guru tetap yang lain (hanya dalam pertimbangan saya sendiri).

Malulah saya, kalau saya berfikiran; Oh, guru kontrak pun, buat apa nak serius?

Nasib baik saya bukan berpendirian seperti itu. Beza saya dengan guru tetap, saya tidak berlatarbelakangkan ijazah pendidikan. Tetapi bidang tugas saya adalah sama seperti guru tetap. Tak salah saya mencabar diri sendiri untuk sama-sama bertugas seperti guru tetap yang lain. Memang agak payah sebenarnya, tapi nasib baik saya mempunyai pengalaman kerja yang lain. Cuma tanggungjawab menjadi guru ini adalah SUPER BESAR, kepada para pelajar, sekolah dan masyarakat.

Kalau diberi peluang, saya mahu mengajar lagi. Kalau dapat subjek yang saya suka pun, mestilah saya super gembira.

2 minggu selepas seisi persekolahan dibuka, bekas pelajar saya sibuk bertanya khabar saya. Mereka kata mereka rindu saya, mereka hairan kenapa saya tidak berada di sekolah. Semasa masih mengajar dulu, saya selalu ingatkan mereka bahawa saya hanyalah guru kontrak dan hanyalah bertugas sementara. Mungkin mereka sudah lupa. Ya, sangat menghibakan bila saya tahu rupanya saya sudah menjadi 'sebahagian' dari mereka. Di akhir pesanan, saya menyuruh mereka supaya belajar bersungguh-sungguh dan jangan hampakan orang tua. Jangan lupa hormat guru yang lain kerana selepas ibu bapa, gurulah orang terpenting untuk mendidik anak bangsa.

Selamat menjalani kehidupan seharian.

No comments: