Sunday, June 1, 2014

Pertemuan soalan berjawab sendiri di pinggir bandar.


Aku menemui seorang laki-laki di pinggir bandar. Kenalan lama-tidak-lama. Dia sedang memangku kucing seperti gambar di atas, di tepi sebuah bangunan usang. Aku tanya, betulkah barang siapa memelihara haiwan maka itu tandanya dia adalah seorang yang penyayang?

Soalan aku disambut dengan perilaku laki-laki itu sedang mengelus pangkal leher kucing hitam seperti di dalam gambar di atas. Aku cuma memerhatikan sambil cuba menjawab soalanku sendiri. Mungkin juga, memelihara haiwan, memberi haiwan makanan minuman secukupnya, keselamatannya dari diburu binatang liar di luar sana, memandikannya, memberikannya permainan, rawatan kesihatan, malah dibuat disayang seperti manusia; itu tandanya sikap seorang penyayang? 

Tapi ada juga temanku, yang sayangnya pada haiwan peliharannya melebihi manusia biasa. Dia berbual-berjuih tentang rakan-rakan pejabatnya. Malah aku juga sudah tahu, mana satu rakannya yang pernah berskandal dengan sang suami milik perempuan lain, hasil perbualannya dengannya.

Bagaimana sikap menyayangi haiwan seperti kucing itu boleh disamakan dengan sikap menyayangi atau berbaik-baik dengan manusia lain? Aku masih menunggu jawapan laki-laki tadi. Kesimpulan kecil aku, memelihara haiwan dan layanan terhadap haiwan bukan tanda manusia itu ialah sebagai seorang penyayang total. Mungkin dia hanya mempunyai rasa prihatin dengan haiwan peliharaan; yang hari-hari dilihat di depan mata.

Manakala sikap menyayangi berbaik-baik sesama manusia itu tetap ada pasang surutnya. Manusia dibekal dengan sikap rasa skeptikal dengan apa saja yang lalu di hadapan matanya; sejak lahir. Mungkinkah soalan aku sudah berjawab oleh aku sendiri? Laki-laki tadi tidak menjawab sepatahpun. Mungkin sedang berkira-kira untuk membawa balik kucing jalanan itu ke rumahnya atau tidak? Dia masih dengan perilakunya sedang memangku kucing seperti gambar di atas.

1 comment:

bonsud™ said...

sayang menyayang cinta dikenang