Monday, May 30, 2011

Bebas.


Kita tidak lagi bebas ke mana-mana. Ini gambar aku ambil dalam beberapa bulan yang lepas. Seorang anak kecil mungkin sedang melihat ibunya sedang berbual di sebelah sini, sambil memakan aiskrim. Ini sebuah pemandangan pada waktu malam, di pinggir jalan sebuah pusat membeli belah.

Lampu neon mewarnai alam, tapi ia hanyalah tinggal simbolik jiwa warna-warna peradaban manusia. Tiada lagi (mungkin) kebebasan menghirup udara malam, digantikan dengan tragedi-tragedi yang gila.

Apa gila dunia masa kini? Yang digantikan dengan stres-stres manusia gilakan nama dan harta. Ada juga yang masih terus hidup dalam kebencian. Itu salah, ini salah, semua orang salah. Bagi dia, dialah betul. Dia juga segalanya, tapi pada siapa? 'Segalanya' pada diri sendiri. Menjadi ketuanan kepada dunia sendiri.

Di sana-sini masing-masing mempertahankan hak asasi manusia. Kepada siapa kau bersaing? Tiada kebebasan mutlak di dunia ini, di dalam agama mu sendiri mempunyai sidang-sidang tertentu yang akan membebaskan kau dari masalah yang kau cipta sendiri. Yang baik tu hanya dari Pencipta Maha Kaya. Bukan kau, asyik-asyik mengeluh, memaki; ketika kau sakit, memaki; ketika kau lapar, memaki pada siapa sebenarnya?

Aku kira ini salah orang-orang pandai yang cuba berlagak tahu segalanya. Konspirasi, kematian, kegagalan, kelemahan; semuanya satu tujuan. Mereka sebenarnya bersaing bersama siapa? Apa yang mereka takut?

Ada lelaki-ku yang sedang sakit jiwa merana. Ada beberapa orang. Suami, tunangan orang, si bercinta mahupun sedang kekeliruan identiti sedang bergaduh jiwa. Aku tidak pasti lelaki-lelaki-ku ini macam lemah, lemah pada tuntutan hati. Tapi aku rasa perempuan pun begitu, nanun lemah itu sikap perempuan. Aku tidak hairan kalau perempuan dikata lemah, tetapi kalau lelaki; memang agak janggal bunyinya di situ. Atau niatmu memang tidak lurus?

Perempuan-perempuan-ku juga sedang bergaduh jiwa. Isteri, tunangan orang, si bercinta mahupun yang sedang kekeliruan identiti. Oh, aku tiada perempuan yang sedang kekeliruan identiti. Ada juga yang bimbang kalau poketnya kurang duit, malam-malam tersepit dengan tuntutan dunia dan takut akan dosa. Menjadi seorang perempuan yang baik kepada manusia lain, tapi perkara pokok tetap sama. Sikit-sikit pasti ada kotoran yang tertinggal dari hal semalam. Ada perempuan-ku yang sedang berhiba jiwa, terkedu dengan sikap sang kekasih yang sudah pergi. Semasa hayatnya, lelaki-ku sibuk menyulam kasih sayang, dan perempuan-ku bertanya "kenapa lelaki-ku tidak memberitahu aku tentang hatinya. Aku fikir aku sudah tahu semuanya? Dia kejam." Aku hanya diam, sebak dan mataku kosong. Berpisah mati, itu sakit. Berpisah hidup, itu sakit. Matanya kosong, hatinya kosong.

Ada perempuan-ku sedang berbahagia. Lelaki-nya saban pagi ku lihat mencuci baju, perempuan-ku terkedek-kedek di sebelahnya bergurau senda melihat lelaki-nya sedang melakukan rutin harian. Di sebelahnya ialah anak lelaki, masih kecil. Milik lelaki lain. Terkedip-kedip matanya melihat perempuan-nya dan lelaki-baru-nya bergurau senda. Aku lupa, perempuan-ku itu sedang mengandung besar (masa itu). Rumah itu dulu keruh, macam aku rasa datangnya lelaki itu seperti membawa cahaya baru. Aku sudah beberapa kali terdengar nyanyian harijadi yang sebelum ini tiada. 3 pot beras sehari dikongsi dengan 12 perut yang lain. Anak-anak cucu yang sedang membesar, datuk dan nenek dan anak-anak besar yang lain. Tapi aku jarang mendengar luahan kesusahan mereka. Lapar sama lapar.

Macam-macam. Emosi-emosi ini mewarnai langit. Cuaca di sini agak panas, cukup membuat pitam kalau pergi berjalan-jalan. Hari itu, di sini dibanjiri lumpur, hujan yang cukup mengubah sedikit lantai bumi. Kemudian hari-harian yang panas menyengat, sekarang ini aku hanya duduk di rumah. Sekiranya ada kerja-kerja di luar atau hal komitmen, barulah aku keluar rumah. Adakalanya aku ingin seperti dulu. Tiada ketakutan bila ke sana sini. Tiada lirih-lirih hati yang memerangkap dan kemudian sesuka hati menghirup udara aman di mana sahaja. Aku juga ingin sedikit kebebasan emosi tentang perempuan-perempuanku dan lelaki-lelaki ku yang aku cerita seimbas lalu sebelum ini.

Aku rasa cara terbaik untuk tidak merasa kesulitan hati ialah mendekati Tuhan, bercerita kepadaNya dan melaksanakan suruhanNya. Apabila ada hati yang lurus, maka senanglah kita melalui semua kehendak-kehendak murni kita. Alhamdullilah.

Sunday, May 15, 2011

Sunday, May 1, 2011

Baby. (Kids Potraiture)


Cahaya sedia ada di waktu petang.