Showing posts with label Cerita kecil. Show all posts
Showing posts with label Cerita kecil. Show all posts

Sunday, September 1, 2013

Sulaiman, Laki-Laki Senteng.

'Sekarang saya hendak menulis buku sampai tahap boleh difilemkan!' katanya penuh semangat. Laki-laki yang sering dituduh senteng itu tiba-tiba bangkit dari kerusi plastik yang hampir patah itu. Bau bakau menyengat tenggorok. Air laut sudah sampai ke paras betis manusia. Air sedang pasang. Entah kenapa laki-laki itu digelar senteng. Atau manusia sekelilingnya sebenarnya kumpulan manusia yang tidak berguna kepada dirinya sendiri.

'Aku juga ingin menjadi Tarzan! Tapi versi penjaga hutan bakau. Hari ini saja, aku sudah menanam 60 biji benih pokok bakau. Hutan kita ini sebenarnya sudah musnah! Kalau tsunami nanti, senang-senang kampung kita hilang! Kalau  satu hari 60 biji aku boleh tanam, sebulan kita boleh dapat 1, 800 batang pokok yang baru. 1 biji bersamaan dengan 1 batang pokok bakau untuk masa depan kamu. Aku tanam pokok bakau, orang panggil aku senteng.' Kelmarin tadi, laki-laki senteng itu dilihat terbongkok-bongkok sedang mengutip benih bakau dari hutan paya bakau itu. Ada sekarung guni sedang disandangnya. 

Saya dengar laki-laki senteng bernama Sulaiman ini merupakan lulusan universiti di dalam bidang perhutanan. Mengikut cerita orang kampung, Sulaiman ini menjadi senteng selepas kepalanya tertimpa oleh dahan pokok durian ketika berjalan mencari buah durian di sekitar rumahnya. Sebelum itu, Sulaiman cuma lelaki biasa. Tidak pernah dilihat sendirian seperti sekarang. Saya tertarik untuk membuat dokumentari kecil tentang diri Sulaiman sebagai tugasan terakhir pengajian saya.

--------------------------------------------------------------------------------------------

Sarjan Foong memandang jauh ke luar pejabatnya. Tadi baru usai melihat beberapa rakaman visual yang dilakukan oleh pelajar komunikasi media tahun akhir bernama Asri itu. Pagi tadi, dia bertanyakan beberapa soalan kepada Sulaiman Laki-Laki Senteng itu. Asri dikhuatiri hilang semasa membuat rakaman tentang Sulaiman dan hutan bakaunya. Kata Sulaiman, Asri mungkin disembunyi oleh hantu hutan. Budak bandar dan terpelajar macam Asri mana biasa masuk hutan bakau macam itu. Yang tinggal cuma, beg yang berisi kamera perakam, buku catitan, alat tulis, dompet yang tidak berusik dan sebuah botol minuman. Sulaiman dilihat seperti kebingungan, kepalanya berbalut kerana luka. Seperti pernah dipukul, tetapi Sulaiman memberitahu kepalanya luka kerana terjatuh.

Sarjan Foong, memainkan semula rakaman visual peninggalan Asri di dalam laptopnya.

------------------------------------------------------------------------------------------------

'Aku hairan kenapa orang kata aku senteng? Aku tahulah aku bukan orang berharta, aku cuma ada segulung ijazah. Itupun payah nak cari kerja. Aku cuma tanam biji benih bakau, salahkah?'

'Bila aku bagitau dekat Ali, aku nak tulis buku, dia ketawakan. Semua benda aku buat, semuanya salah. Ali dan kawan-kawannya selalu kutuk-kutuk aku. Kadang diorang sengaja sembunyikan karung berisi biji benih pokok bakau aku. Penat aku mencarinya. Lagi nak susahkan aku mencari biji benih yang baru. Aku berazam untuk menanam pokok bakau semula dan jaga pesisir pantai kampung kita. Hah! Kau jangan lupa masukkan dalam rakaman kau, ya.'

'Yang ini, offrecord. Aku nak beritahu kau satu rahsia. Dalam hutan bakau ini, ada taman puteri. Aku dah pernah sampai. Perempuan-perempuan di situ cantik sungguh, tapi aku tak adalah nak mengoratnya. Setiap kali aku berjaya tanam 60 biji benih, mereka akan memberi aku seuncang emas. Hah, sebab itulah aku tak payah kerja sekarang ni.  Aku cuma perlu menanam pokok bakau, aku dapat habuan! Agak itulah kot, aku dipanggil senteng. Aku pernah ajak budak sekampung untuk join bersama. Tapi puteri-puteri itu tak setuju. Mereka tak percaya dengan manusia.'

Dokumentari saya bertambah menarik dengan cerita 'taman puteri'. Saya berasa kurang percaya, hinggalah satu hari Sulaiman jatuh sakit dan hanya berehat di rumah. Saya dalam diam-diam pergi masuk ke dalam hutan bakau kerana teringin melihat taman puteri yang dimaksudkan oleh Sulaiman.

------------------------------------------------------------------------------------------------------

Catatan yang dilakukan oleh pelajar itu menarik perhatian Sarjan Foong. Seolah-olah, ia memberi satu petunjuk baru di mana pelajar itu sedang berada. Tapi kenapa pelajar itu meninggalkan beg sandang miliknya di rumah Sulaiman. Kenapa dia tak bawa sekali untuk membuat rakaman? Sarjan Foong mengarahkan beberapa orang anggota bawahannya untuk masuk ke dalam hutan bakau yang 'didiami' oleh Sulaiman Laki-Laki Senteng. Sulaiman juga dibawa bersama dengan tangan bergari, takut-takut dia melarikan diri pula. Sarjan Foong tidak mahu menganiaya sesiapa yang tidak bersalah. Dia juga yakin Sulaiman sebenarnya 'tidak sihat'. Sulaiman hanya ketawa mengekek bila Sarjan Foong meminta dia menunjukkan uncang emas pemberian taman puteri di dalam hutan bakau itu. Katanya semua orang tamak hendak melihat 'kesenangan'nya. Sarjan Foong mengarahkan rumah Sulaiman digeledah untuk mencari petunjuk kehilangan Asri. Hari ini sudah masuk hari ketiga, Asri hilang. Ini mencabar tugasnya sebagai ketua penyiasat bagi kes ini. Kelihatan sederetan benih-benih bakau yang sudah bercambah setinggi selutut kaki dewasa. Kata Sulaiman, taman puteri itu terletak jauh terperosok ke dalam hutan bakau itu. Hanya boleh dijangkau dengan perjalanan kaki. Sarjan Foong menerima laporan dari anggota polis yang sedang meronda sekitar hutan bakau itu dengan menggunakan helikopter. Tiada sebarang tanda ada manusia tinggal di dalam hutan itu. Sarjan Foong mengeluh berat, dia segera meminta anggotanya untuk patah balik ke balai polis kerana hari sudah beransur surut siang.

'Aku yakin ada sesuatu yang kau sembunyikan, Sulaiman.' Ujar Sarjan Foong. Di hadapannya, seorang Sulaiman sedang memandangnya, tersenyum kecil. Sulaiman akan dilepaskan dari sel itu dengan ikat jamin.

'Manusia perlu kembali ke pada alam. Perlu tahu alam ini perlu dijaga. Musibah menimpa gara-gara 'tangan' manusia itu sendiri. Asri sedang mencari sesuatu di dalam dirinya.' Kata Sulaiman sebelum keluar dari balai polis itu. Sulaiman dilepaskan bersyarat, perlu melaporkan diri pada setiap minggu sehingga kes ini selesai. Dia menarik nafas lega, sampai di pintu pagar utama balai polis itu. Sepanjang perjalanan, beliau mencari cara untuk mencari Asri. Asri ini apa? Hanya pelajar yang sedang menghabiskan semester akhirnya. Sedang mengerjakan tugasannya, tetapi kenapa dia hilang?

Sampai di rumahnya, dia memerhatikan sekeliling ruang kerjanya. Ada sedikit kesan berselerak, mungkin ianya kerana polis menggeledah rumahnya untuk mencari bahan bukti berkaitan dengan kehilangan Asri. Dia menghidupkan laptop dan internet. Membuka aplikasi Google Map dan mencari peta hutan bakau yang sedang dikerjakannya. Tiba-tiba dahinya mengerut. Ada orang telah meletakkan tag di dalam hutan bakau itu, sebelum ini tag itu tidak ada. Seolah-olah hanya dia sahaja manusia di dunia ini yang berminat tentang hutan bakau yang hampir pupus itu. Tag itu diberi nama 'Hutan Sulaiman'. Fikirannya bingit. Dia mengingat-ingatkan hari terakhir Asri berada bersamanya. Asri ada memberitahu ingin meminjam laptop dan talian internetnya. Dia menekan Ctrl + H, untuk mencari History penggunaan laptop di hadapannya itu. History 5 hari lepas terpampang di skrin. Pada fikirnya, memang Asri yang telah meletapkan tag Hutan Sulaiman, tapi untuk apa. Kemudian, dia melihat terdapat pautan lain di dalam History itu. Ada satu pautan yang mempunyai alamat sebuah blog. Sulaiman membaca isi blog tersebut, ini mungkin blog Asri. Terdapat banyak entry di dalamnya, termasuk gambar-gambar aktiviti Asri. Mungkin Asri seorang yang sukakan cabaran lasak. Update terbaru ialah sekitar 5 hari lepas, hari terakhir Sulaiman melihatnya.

'Sulaiman kata, ada taman puteri di dalam hutan bakau ini. Aku hendak tengok sejauh mana sentengnya Sulaiman ini. Korang guys jangan bimbang, Malaysia ni kecil. Tak mungkin aku akan sesat. So, nantikan cerita aku yang seterusnya. Pencarian taman puteri, namanya. Aku dah tag hutan bakau ini dalam Google Map, aku beri nama Hutan Sulaiman. Harap aku akan berjumpa dengan puteri-puteri itu. Well, this sound freaky, tapi inilah hidup aku. 7 hari lepas ini, baru aku akan keluar. Tak lama. Jangan bimbang.

Pencari diri, Asri.'

Asri ini memang gila. Jadi, hari ini hari ke 6 dia hilang. Esok dia dijangka akan keluar dari Hutan Sulaiman itu. Esok dia tak ada, aku akan laporkan benda ini kepada Sarjan Foong. Sulaiman memicit-micit dahinya, terasa ada denyut di dalam kepalanya. Masalah hidup tidak akan pernah selesai.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------

Sarjan Foong terkejut dengan kehadiran Sulaiman di hadapan balai polis itu, kira-kira jam 10 pagi itu. Sulaiman, dilihatnya sedang 'mencari-cari' sesuatu di dalam tablet elektroniknya itu. Sarjan polis itu mendekati Sulaiman dan melihat sama.

'Apa kau buat kat sini, Sulaiman? Tak kan nak lawat saya pula?' Soal Sarjan Foong.

'Saja. Rindu nak tengok muka Sarjan Foong yang tenang tu. Sarjan ni tak pernah ada masalah ke? Tak pernah pukul tahanan ke?' Sulaiman selamba, jarinya masih menguis-nguis skrin tablet di hadapannya. Dia kemudian meneguk air teh tarik yang dibelinya sebelum sampai ke sini.

'Haha! Kau ni memang senteng ke Sulaiman? Orang kampung panggil Sulaiman Senteng, kau tak marah ke?'

'Dulu marahlah, Sarjan. Tapi nak buat macam mana, biar sajalah. Tanam pokok bakau lagi bagus. Hidup sihat, membawa berkat.'

'Dah tu, kau buat apa, dekat depan balai ni?' Tanya Sarjan Foong sekali lagi. Mood paginya sederhana baik. Semalam tidur awal, kes tak berapa banyak. Isterinya memasakkkan makanan kegemarannya semalam, anak-anak tidak berperangai sangat. Hari yang baik hari ini. Agaknya. Tiba-tiba telefon selfonnya berbunyi, ada panggilan di hujung sana. Sarjan Foong tergamam, Sulaiman kerut kening memandang wajah polis cina itu.

Sulaiman hanya diam, dia duduk di kerusi panjang di hadapan kaunter melaporkan aduan. Asri ada di hadapan matanya, pakaiannya berbau masam. Rambut serabai. Oh, ini kesan hilang di dalam hutan bakau itu barangkali, kata Sulaiman di dalam hati. Ibu bapa Asri juga turut berada di situ. Asri dilihat seperti tiada apa-apa yang terjadi kepada dirinya. Asri mendatangi Sulaiman sambil tersenyum-senyum.

'Saya dah jumpa.' Asri tersenyum, Sulaiman tercengang.

'Saya dah jumpa taman puteri itu. Betul kata Encik Sulaiman, tapi mereka tak suruh saya hebohkan. Tadi pun saya laporkan, saya hanya tersesat di dalam hutan itu. Encik Sulaiman ni pasti dah baca blog saya kan? Saya tahu. Nah, puteri-puteri bagi dekat Encik Sulaiman. Mereka kata, teruskan usaha murni Encik untuk menjaga hutan bakau itu. Eh, Hutan Sulaiman. Saya pergi dulu, ibubapa saya dah tunggu. Nanti saya datang lawat Encik. Bye.'

Sulaiman tercengang-cengang, dia menepuk-nepuk pipinya sambil memerhati bungkusan kain di tapak tangannya itu. Dia membuka bungkusan itu, ada kepingan emas berbentuk bulat di dalamnya. Dia tambah bingung dengan keadaan ini. Sebenarnya, dia menipu semua orang tentang cerita taman puteri dan upah kepingan emas ini. Cerita itu hanya direka-reka supaya orang kampungnya mahu mengikutnya menjaga hutan bakau itu. Dia sendiri tidak pernah mempunyai uncangan emas seperti yang ada di dalam telapak tangannya itu.

5 bulan berlalu. Sulaiman masih dipanggil Sulaiman Senteng. Dia masih meneruskan kerja-kerja penanaman benih bakau. Usahanya itu mendapat perhatian sekumpulan ahli badan bukan kerajaan. Setiap 2 minggu, dia akan menerima kunjungan kumpulan tetamu yang akan mempelajari hal-hal berkaitan dengan penjagaan hutan bakau. Pangkin rumahnya dibesarkan untuk dijadikan tempat sidang pembentangan usahanya itu. Bilik-bilik di dalam rumahnya juga dibaiki dan selalu disewa oleh pelancong asing. Pendapatannya semakin bertambah. Tiba-tiba satu petang, Sarjan Foong muncul di hadapan rumahnya bersama 3 orang anggota polis yang lain. Sulaiman pelik.

'Ali dan kawan-kawannya hilang dalam hutan kau ni Sulaiman. Ada apa-apa maklumat tak? Tuan puteri tak bagitau kau apa-apa?' Sulaiman tepuk dahi. Masalah datang lagi, dia sendiri pun tak pernah jumpa tuan puteri rekaannya itu.

'Dah, aku gurau saja. Kami datang nak makan seafood. Masak sedap-sedap.'



Thursday, August 1, 2013

Badut Sarkis Yang Lucu.

'Hei, tolong update status tentang cerita lucu. Hari ini tidak ada?', tiba-tiba kotak mesej dari Facebook dari seorang teman menjelma. Saya membaca mesej itu 3 kali untuk cuba memahami. Cerita lucu? 'Hari ini tidak ada?', soalan ini memberikan imaginasi saya seperti seorang pembuat kisah-kisah lucu. 

'Tolong buat cerita yang mampu membuat aku ketawa sambil berguling-guling. Sudah lama tidak ketawa.' Sambungnya lagi. Saya kerut dahi, tadi dia kata dia minta untuk saya update-kan kisah lucu. Kemudian sekarang ini, dia memberitahu dia sudah lama tidak ketawa. Saya terbayangkan badut sarkis.

Saya membawa ingatan semasa berusia 17 tahun, ketika sedang bekerja sambilan di dalam sebuah kedai pakaian milik taukeh cina. Masa itu adalah selepas saya menduduki peperiksaan SPM. 'Cuba, tolong ceritakan kisah-kisah lucu. Aku seronok mendengar kisah-kisah kau. Cerita-cerita dongeng.'

Cerita dongeng? Macam seorang penglipurlara pula saya ini. Kadar kejutan yang saya alami masa itu, sama seperti malam ini. Mungkin paparan status di dinding Facebook saya kadang-kadang memberi impak rasa lucu. Ya, saya memang selalu menyelitkan sisi tulisan yang lucu. Bila saya geram, tetap ada tulisan lucu, walau sedikit. Mungkin kawan saya tadi itu sedang bersedih hati. Entah apa ada di dalam fikirannya. Mungkinkah rasa lucu langsung ketawa boleh mengurangkan rasa-rasa yang pahit itu?

Badut sarkis, apa salahnya?  Badut memakai warna palitan pelbagai di wajahnya sambil menunjukkan ekspresi lucu. Siapa yang memandang, pasti rasa suka. Badut tidak ada ekspresi sedih. Mungkin dari sisi lain, badut juga mampu menakutkan kanak-kanak. Iyalah, kadang-kadang palitan warna di wajah badut lucu ini ada yang tampak seram. Persepsi manusia itu berlainan. Mungkin tulisan saya seperti itu. Nanti saya perah lagi fikiran saya untuk menghasilkan update yang lucu, walau sedikit.

Membuatkan orang lain gembira itu juga satu passion. Mungkin.


Wednesday, July 31, 2013

Gelinciran Hati

Kau tahu saat sakit hati seorang isteri itu berlaku bila? Yang aku kira paling maksima? Saat bila suami kita mengalami gelinciran hati dengan perempuan lain. Perempuan ini bercintanya lain macam, setianya lain macam. Lain masa bercinta, lain lagi masa selepas berkahwin. Bagi aku, kenapa perempuan tidak diberikan keistimewaan berkahwin poligami seperti lelaki kerana adalah emosi-setia. Istimewa yang ada pada sang perempuan ialah setia. Aku tahu, bukan semua perempuan ada keistimewaan ini. Tapi hampir semua perempuan memilikinya. Kita bercakap dalam konteks perempuan macam aku. 

Manusia itu sentiasa diuji, laki-laki atau perempuan. Lelaki selalu diuji dengan nafsu, perempuan selalu diuji dengan setianya. Dulu kau pernah lihat aku bertudung litup semasa sekolah kan, tapi bila aku mendapat tahu suami aku mengkhianati aku, aku 'cabut' tudung aku dan gantung atas pokok. Masa muda itu, aku seperti hilang akal, apa yang perempuan itu buat, aku buat. Konon-konon seperti bertanding merebut hati lelaki yang bernama suami halal. Dia buat potongan rambut begini, aku buat. Dia pakai pakaian itu ini, aku pun turut tiru pakai. Yang paling teruk, aku mula berseluar pendek masuk ke dalam pusat membeli belah. Kawan-kawan terkejut dengan perubahan ini. Bayangkan saja, bertudung litup kemudian berseluar pendek? Wang saraan keluarga tak usah cakap. Masa suami buat hal, aku baru lepas bersalin. Melebih-lebih rasa 'pahit'nya. Lagi-lagi bila perempuan itu sudah mula berani bersemuka dengan aku dan ceritakan hal-hal dia bersama suami aku. Gila, memang gila. Kemuncak cerita bila aku membawa hal ini ke mahkamah. Aku kira talak sudah jatuh sebab suami pernah ugut untuk talakkan aku kalau berani buat hal ke mahkamah. Tapi syukurlah, kami masih bersama sehingga ke hari ini. Aku sempat buat pemeriksaan darah untuk pengesahan sebab aku dapat tahu perempuan itu sering bertukar-tukar pasangan seksnya.  Perkara paling bodoh bila aku fikir sekarang ini adalah kenapa aku membanding-bandingkan diri aku dengan perempuan itu. Takanlah isteri yang halal ini lagi buruk dari perempuan itu? Itu satu-satunya pemikiran bodoh pernah aku buat.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------

Saya mengimbas-imbas wajah kawan saya itu. Kali terakhir kami bertemu-sama semasa di sekolah tinggi. Bertudung labuh, wajahnya jernih seperti keibu-ibuan. Sekarang pada usia 32 tahun, katanya dia sudah 'mengikat' rahimnya kerana kesan kejadian lampau. Marah benar bunyi bicaranya. Mungkin begitulah bila hati isterinya dikhianati. Tapi benarlah pujangga lepas, setia ini harus bertempat. Simpan sedikit rasa ragu-ragu tetapi harus juga bersedia untuk menghadapi saat-saat pahit yang tidak dirancang. Ujian kesusahan hidup itu sebenarnya peringkat kesediaan kita untuk menjadi manusia yang hebat. Bila hati rasa sedih, syaitan bergembira sakan. Sebab itulah kita mudah terpesong hati untuk hal-hal seperti ini. Saya yakin kawan saya itu lebih kuat dari masa-masa lepas. Dia sedang menyambung pelajaran peringkat Master, sedikit masa lagi untuk bukti usaha lebih baik dari kehidupan semalam.

Monday, July 29, 2013

Seorang bukan pendeta yang dulu seorang pendeta.

Fenomena googlisme mengganggu hubungan manusia moden pada hari ini. Seorang pendeta yang sejak akhir-akhir ini tidak mahu lagi dipanggil sebagai pendeta, berdiri di hadapan sebuah gumpulan buku-buku yang sangat masif. Dia melepaskan keluh.

Dulu, di meja-meja inilah aku dan para pelajarku selalu berdudukan sama. Mereka bertanyakan sebarangan soalan. Dari sekecil-kecil soalan tidak masuk akal, sampailah ke soalan-soalan yang kadang mampu memecahkan pembuluh darah di akal ruang ingatanku untuk menjawabnya. Aku masih ingat Lili Siew, gadis Tionghua, yang selalu membawa sebekas botol air yang besar ke dalam ruang ini. Prem, selalu meminum air dari botol itu tanpa sedar oleh Lili Siew. Hajar, Kasim, Kanang anak orang Sarawak dan Kalin anak soljar dari utara; itu barisan anak-anak muda yang selalu mengajak aku untuk datang ke ruang ini. Kami berbicara tentang banyak hal. Paling aku tidak lupa, bila ada satu hari itu mereka semua meminta aku membaca sajak. Aku lupa hari itu, aku tidak membawa buku catatan ku bersama. Aku pergi ke satu ruang terpuruk sudut-sudut buku itu. Aku capai satu buku; fikirku, buku ini sudah cukup memberi sajak yang puitis.

Aku membacanya seketika dan memahami konteksnya, mesejnya, atau apa-apa yang sesuai untuk barisan anak-anak muda itu. Mereka lapar cerita-cerita hebat dari seluruh dunia. Selain aku digaji oleh orang-orang besar di kota ini untuk menyampaikan ilmu (yang aku tahu), aku juga selalu tidak cukup masa untuk diri aku sendiri. Nama-nama yang ku sebut tadi, mereka yang selalu membuat temujanji untuk bertemu denganku. Aku gembira dengan ajakan-ajakan mereka untuk diskusi ilmu seperti hari ini. Aku sesekali, merindui guru hebatku yang sudah pulang ke rahmatullah 23 tahun yang lepas. Aku kadang titis air mata, mengenang kenangan bersama kawan-kawan lain ketika berlumba-lumba menuju ke rumah guru kami untuk mendengar ajaran-ajaran arwah guruku yang hebat itu. Al Fatihah untuknya.

Sajakku yang baru dicipta tadi mengundang kerut di dahi anak-anak muda di hadapanku. Tanyaku, mengapa terdiam? Mereka kata, sajak ku itu puitisnya lain macam. Semacam amaran-amaran untuk masa depan, semacam juga teladan-teladan manusia yang lepas. Semacam juga penawar-penawar kepada persoalan kehidupan. Aku letak buku yang ku ambil dari rak yang terpuruk itu di hadapan mereka. Kataku, ini adalah buku panduan yang paling hebat untuk dijadikan panduan selain pengamatan kita terhadap sekeliling kita. Bacalah sedikit-sedikit, fahami sedikit-sedikit dan sampaikan sedikit-sedikit kepada sesiapapun. Jadikan ia hamparan rasa yang boleh memberi manfaat kepada manusia lain. Prem dan Lili Siew bertanya, bolehkah mereka membacanya? Kataku, kalau faham bahasa Arab, mungkin boleh saja. Tapi buku tafsir sudah banyak dijual di pasar-pasar buku. Tapi pesanku, fahaminya betul-betul. Kalau membawa 'pusing', harus dirujuk kepada yang lebih tahu.

Kini ruang itu kosong. Ingatan lepas telah berhenti berlayar di kotak ingatan. Anak-anak muda tadi hanya aku hubungi melalui maya internet. Masing-masing sudah sibuk dengan tugasan. Rak-rak buku sudah mula berhabuk di sana sini. Aku fikir, tukang bersihnya tidak ada motivasi untuk membersihkan ruang yang sunyi ini. Segala maklumat boleh didapati dari kotak elektrik yang ajaib dipanggil komputer. Dulu di padang hampar di bawah sana, aku boleh melihat pengunjung ruang ini berbaringan sambil membaca buku. Sekarang tiada lagi. Yang ada cukup rumput-rumput kekuningan bersama bebunga liar. Ruang ini juga sudah nampak sedikit kusamnya. Ada yang masih tinggal seperti dulu iaitu bayu laut. Ah, senyum sajalah.

Pendeta itu berlalu dari situ. Dia tinggalkan saya sebuah buku. Buku yang berbalut dengan kertas coklat usang saya buka lapisnya. Katanya tadi, buku ini banyak memberinya panduan. Zamannya dulu, sudah banyak buku-buku palsu yang banyak menyesatkan manusia. Zaman sekarang, maklumat sudah berbaur-baur. Payah hendak dihadam. Katanya lagi, buku itulah menjadi panduan akhirnya ketika menciptakan sajak spontan untuk anak-anak muda Prem, Lili Siew, Hajar, Kasim, Kanang dan Kalin. Saya terkejut memandang buku yang dimaksudkan. Paling terakhir saya nampak buku seperti ini adalah di rumah nenek Atim. Nenek Atim, saya ingat dulu dia selalu membaca buku ini. Air mata saya bertakung sedikit, saya kucup buku itu, halakan rapat ke dahi dan menyimpankannya di dalam kantung buku saya. Memori saya berputar-putar ke zaman lepas, mengenang zaman pergi mengaji. Selepas itu, saya tidak pernah lagi melihatnya sehinggalah ke hari ini.

Pendeta sudah hilang dari pandangan.

Sunday, February 14, 2010

Cerita Kecil - 4


Aku pernah melihat jasad seorang perempuan yang dijangkakan tidak akan hidup lama, selepas 2 minggu koma di hospital. Makanan disalurkan melalui tiub yang ditebuk ke dalam badan dan aku melihat anak gadisnya sentiasa datang menemani ibunya di hospital. Aku melihat anak gadis itu begitu tabah datang ke hospital dengan masih berbaju sekolah pada setiap hari. Dan kemudian, di satu hari aku melihat anak gadis itu menangis teresak-esak. Kelihatan ada seorang doktor dan pembantunya sedang menenangkannya.

Esok, kamu panggil semua ahli keluarga kamu datang ke sini. Saya mahu memberitahu sesuatu kepada mereka.
Kenapa doktor?
Ibu kamu dijangkakan tidak dapat bertahan lama. Laporan kesihatan yang kami terima setiap hari begitu menyusut keadaaannya. Panggil bapa kamu dan keluarga kamu, ya. Kamu bersabar saja.
.........

Pesakit di sebelahku bercerita. Suami kepada wanita itu tidak pernah datang menjenguk kerana dia bekerja agak jauh dari situ. Dengar-dengar di kawasan pedalaman yang mengambil masa 6- 8 jam untuk sampai ke tepi jalan utama Sandakan - Telupid. Anak gadis itu bersekolah di bandar, dan dialah yang selalu menemani ibunya. Kompilasi penyakit 3 serangkai membuatkan wanita itu menjadi koma tiba-tiba. Aku percaya perasaan anak gadis itu memang sangat menyeksakan apabila ibunya dijangkakan tidak dapat hidup lama.

*************************************

Marilyn, bangun. Aku sudah datang ni. Kenapa kau mahu tinggalkan aku?

Lelaki itu mengucup kening isterinya. Kemudian air mata lelakinya tumpah. Aku percaya, itu bukan air mata biasa. Siapa yang sanggup menerima kematian yang sudah dijangkakan. Anak-anaknya saling menangis berpelukan, apatah lagi ahli keluarga yang lain. Ternyata doktor bukan nujum, bukan malaikat yang boleh menjangkakan kematian. Tiba-tiba Marilyn yang sudah lama koma, tiba-tiba membuka matanya sambil mengalirkan airmatanya. Walaubagaimanapun, wanita itu masih belum dapat menggerakkan apa-apa anggota badannya. Lelaki itu bertambah sayu dan terkejut. Anak-anak segera memeluk ibu mereka. Doktor dan kumpulannya segera memeriksa tubuh Marilyn. Marilyn hanya tahu menangis.

*************************************

Aku percaya wanita itu menderita perasaannya ketika koma. Selain dari mengingatkan Tuhan, dia juga memerlukan sokongan moral dari luar. Dia tahu dia akan pergi, tetapi dia juga tahu dia mesti berusaha untuk kali yang terakhir. Bisikan dari suaminya untuk tidak mahu melihat dirinya pergi, membuatkan dia kembali bersemangat untuk melawan 'jangkaan takdirnya'. Perempuan, selalu berperang dengan emosi. Kalau mengalah, akan mati. Kalau berjuang, belum tau lagi jawapannya. Mahu tidak mahu, demi tanggungjawab dirinya dia terpaksa memaksa dirinya untuk terus hidup. Memang benar, hidup dan ajal adalah ketentuan dari Pencipta. Tetapi perjuangan hidup bukan hanya ketika sakaratulmaut tiba saja. Tetapi juga ketika hari penentuan di sana. Jadi, dalam konteks kehidupan, emosi jangan dibiarkan terhanyut. Menangis itu adalah kekurangan kita. Merayu, merintih, meminta, merindu, mencinta..dan lain-lain..itu sikap yang diberikan kepada perempuan. Perempuan, kalau tidak ada sikap-sikap itu, maka dianya bukan perempuan sejati. Tetapi dalam satu-satu fasa kehidupan, perempuan haruslah faham kenapa dia harus menjaga rahasia-rahasia perempuannya. Kalau mahu menjadi seorang perempuan yang dihormati, maka jagalah diri.

Orang lain melihat kamu. Melihat kamu sampai saat-saat akhir hidup kamu.

Sekian.

p/s Belum izinNya untuk Marilyn pergi. Marilyn sudah sihat kembali seperti biasa. Dan kini menjalani program kesihatan atas arahan doktor.

Thursday, January 7, 2010

Cerita Kecil - 4

Kawan-kawan kau dah buat kau begitu.

Agak terkilan, tapi lantak p ar. Aku tak boleh paksa sapa-sapa pun, tapi at least jadi lah manusia berhati 'manusia' sedikit. Just like; Helo, saya manusia. Saya dah buat silap, saya minta maaf.

Ah, it sounds so plastic.

At least, hati aku sejuk bila aku dengar perkataan maaf tu. Apa, kau fikir aku ni scanner, aku boleh scan apa yang ada dalam hati sapa2 pun? Bodoh punya lagu Xray Hatiku.

Habis kau marah?

Ya.

Kenapa kau marah? Kau sendiri cakap kau tak kisah.

Aku marah sebab aku bodoh sikit. Masih percaya ada konsep best-fren-forever. Padahal, aku ni bukan kawan dorng pun.

Haih, tak baik kau cakap dorg macam tu.

Apa pula tak baik. Ok la tu. Kalau kawan, dorang takan buat kawan dorg yang bodoh sikit ni datang tersorong-sorong, akhirnya kena smash dengan alasan yang ntah apa apa ntah. I shud notice it early. Sebab aku memang dah nampak tanda tu.

Emo.

I should be an emo, what? Mana-mana kawan pun akan 'sentap' kalau kena buat macam ini. Lainlah kalau memang tak ada perasaan pun.

Jadi, sekarang macam mana?

Sekarang? Aku rasa aku nak jadi Rockstar kampung aku.

Sunday, December 20, 2009

Cerita Kecil - 2

12 tin Cap Harimau masih berisi di hadapanku. Meja kami dihuni oleh 5 orang. 3 lelaki, peminum air Cap Harimau, aku dan kawan perempuan hanya minum Coke. Di meja-meja lain, lebih kurang begitu pemandangannya. Tambahan, ada pelayan-pelayan perempuan berada dalam pelukan di 3 buah meja sebelah sana. Oh, di meja ku ada seorang perempuan bernama Candy. Bukan aku yang memeluk, tetapi rakan lelakiku. Lagu demi lagu, asap rokok makin menyaluti tubuhku. Dan seperti biasa, dia datang duduk di sebelah aku. Gelas berlaga, antara dia dan kawan-kawanku. Dia pegang Cap Harimau, aku pegang Coke.

Apasal datang tak bagitau? Boleh aku datang awal tadi. Lainkali kalau nak datang, call dulu. Aku suka kalau kamu ada di sini.

Katanya sambil tangan menutup mulut. Mungkin dia tahu mulutnya berbau air Cap Harimau. Oh bingit di situ.

Seganlah kak. Tapi lepas ni please duet dengan saya. - Hahahaha..

Adeh, suara power. Aku lagi malu. Aku sudah tua ni, tak mampu dah.

Power ranger bleh la. Hahahaha.. Tak lah tua. Kalau rasa tua, sila duduk rumah. Perempuan tak boleh rasa tua, sesekali boleh. - Tambahku.

Ah, pandailah ko Mas. Nanti kau sudah tua, baru kau rasa apa aku rasa. - dia teguk lagi.

Nanti masa tu baru kita cakap ya kak. Kurang-kuranglah sikit minum tu kak. Ubat mujarab ghout tu, tak pasal-pasal 'tarik kaki'.

Hahaha..minggu lepas kaki aku terkena lagi. Entahlah Mas. Orang cakap kalau minum arak, boleh lupakan sikit nak pikir masalah. Ini tak, makin sakit kepala ada lah.

Aku ketawa, turn ***** untuk menyanyi. Wanita berumur 45 tahun itu, memandang jauh ke skrin.

Pelan-pelan la kak. Susah kalau berubah mendadak. Take your time. Anyway, how come your voice is so sedap or else menten?

Hahahaha.. kau jangan tak tahu. Masa aku umur 30, aku masih setia ke gereja. Kau taulah, kami pun diajar macam-macam di sana. Mungkin Tuhan terbalikkan hidup aku sekarang ni.

oh patutlah. Maksud kakak, diterbalikkan macam mana?

Dia teguk Cap Harimau lagi, sambil rokok disedut dan dilepaskan. Dia owner pub itu.

Ya la, dari ahli gereja, jadi begini pula. Aku pun sebenarnya tak pernah choose kehidupan macam ni.

Aku tidak mahu 'padan muka' kepada dia. Aku juga tidak mahu dibuat begitu oleh sesiapa. Setiap manusia berhak menjalani kehidupan walau payah mana sekali pun. Jadi, aku menghormati setiap kehendak orang lain.

Kakak pernah susahkan orang lain? Masih close dengan family?

Eh tak pernah. Aku bisnis untuk cari makan. Family suma ok. Cuma, i felt alone. Mungkin sebab aku ni divorced woman.

Kalau tak ada, tak perlu risau. But I know, there are several things yang saya tak perlu tau kan. Cuma as a friend of you boleh berharap, kakak boleh jaga kesihatan, do not take alchohol too much, even you did it so..or else tak menyusahkan orang lain. Setiap benda yang kita buat, mesti ada sebab. Salah atau tidak, just take it easy.

Itu la pasal, bila aku nak retire dari benda-benda ni pun aku tak tahu. Aku pun tak mahu selama-lamanya asyik difikir as a bad woman. Even aku tak jahat pun, tapi kau tahulah bisnis macam ni. Could'nt escape dari mulut-mulut orang kampung.

Take it easy kakak. Give yourself sometimes with a good thing or though. Kalau kakak selalu fikir benda cam ni, confirmed sebulan 3 kali injection muka pun tak cukup.

Dia ketawa, sambil tepuk2 lenganku.

Ah Mas, tu pasal aku suka kau datang sini. Aku suka berbual dengan kau. Even umur kita jauh beza, tapi kau tahu apa patut kau buat untuk seorang perempuan macam aku.

Kita, perempuan. Memang lemah pada emosi. Tapi kita harus saling memberi sokongan hidup. Memang senang kita meluahkan emosi. Tapi siapa yang mahu mendengar deretan cerita yang sebenarnya asasnya adalah sama. Pedulikan hal-hal yang lepas, tapi kita harus hidup..terus hidup..

Friday, December 18, 2009

Cerita kecil.

Aku duduk makan malam bersama 3 orang kawan di kedai makan itu. Terletak di sebuah pekan kecil, di tengah Sabah.

Hei, aku mau lagu Slank, Ku Tak Biasa. Ada nggak?

Tadi dia duduk di meja berhadapan denganku. Berbual jarak jauh. Dan kemudian, dia mengambil kerusi dan duduk di sebelah ku. Disuanya telefon bimbit Sony, memasang Bluetooth. Dia masih muda, layak ku panggil adik. Beza 3 tahun.

Ah, aku pikir kamu di sini tidak mengenali Kaka. Kamu pun tau lagu-lagu Indo?

Telefon bimbit, milik aku dan milik dia saling berdekatan. Aku paling senyum.

Jangankan Kaka. Kaka tayang bontot masa terima anugerah hari itu pun aku tahu. Peristiwa tayang bontot itu kamu tau?

*Senyum manis aku terima, manis ku labelkan selepas aku melihat senyum manis penuh rahsia dari Ariel Peterpan semasa konsert dan showcase mereka di ibunegara beberapa tahun yang sudah.

Ku Tak Bisa sudah habis ku 'dapat'. Dan dia pergi ke sebelah sana, melayan pelanggan. Aku belek-belek lagu yang ada di dalam telefon bimbitnya. Serba salah sebenarnya, aku pandang dia. Seperti dia berfikir tiada apa-apa, percaya kepada aku 'meninjau' alatan komunikasi itu. Ah, sial. Banyak sungguh koleksi lagunya. Yang tidak pernah aku dengar nama band negara itu pun, banyak di dalam alat ini. Kemudian, dia kembali lagi duduk di sebelahku. Dengan rokok dan hembusan penuh hormat, tidak ke arah aku.

Biasanya orang-orang di sini hanya mengenali Dewa ataupun Peterpan. Nggak gitu?

*Aku memuat turun lagu Hujan dari Slank.

Terpulang dong. Aku selalu aja download dari internet. Macam-macam band yang nggak pernah aku dengar, aku download aja. Suka atau tidak, aku simpan aja dalam laptop.

Iya..aku tiba-tiba rindu Indonesia kala bicara ama kamu.

Kawan-kawan lain ku lihat menghabiskan makan malam mereka sambil menonton cerita bergerak di tv plasma sana.

Pulang aja deh..kalau rindu.

Dia senyum. Pelanggan kedai makan itu tidak ramai malam itu, sebab itu dia ada masa di sebelahku. 4 lagu aku dapat.

Aku mau balik. Nanti aku pinjam lagi henfon mu. Minta lagu deh. (padahal aku boleh download dari internet saja)

Bisa aja. Datang macam biasa ok.

Aku dan kawan-kawan pulang ke rumah. Online sekejap dan bersiap mahu ke alam mimpi. Aku pasang lagu Kaka. Aku tidur dengan lagu Kaka. Kaka memberi janji kepadaku. Ah, tiba-tiba aku teringat pada senyuman tadi. Sudah lama tidak melihat senyuman manis dari seorang lelaki. Bukan aku tak pernah nampak lelaki senyum kepada aku selama ini, banyakkk.. sangat banyak. Tapi bukan yang 'seperti' yang tadi.

Ini bukan proses jatuh perasaan. Jauh sekali.