Monday, March 7, 2011

Cerita hari ke 64.


Setakat ini, saya juga melibatkan diri di dalam fotografi perkahwinan. Mula-mula dulu (sekitar tahun 2009) saya tidak begitu yakin dengan kemampuan diri sendiri. Tapi setelah beberapa lama melalui proses membuat 'keyakinan', saya semakin seronok merakam hari bersejarah para mempelai. Saya juga semakin mempunyai ramai kenalan baru yang terlibat secara langsung dalam industri perkahwinan. Mak andam, designer pakaian pengantin, designer hantaran, tukang jahit sehinggalah kepada golongan-golongan yang lain. Hidup saya memang berwarna-warni. Syukurlah, kawan-kawan ini pun saling memberikan nilai-nilai positif secara tidak langsung kepada saya. Kadang-kadang kami keluar minum, ada ketikanya saya melawat butik mereka. Tidak lupa membawa buah tangan semasa melawat. Ianya bukan tujuan membodek atau mengampu, atau berharap agar dapat peluang job dari mereka. Tidak sama sekali. Tapi saya lebih kepada ingin belajar ilmu dari usaha yang mereka sudah buat. Samaada ilmu bertukang fesyen, ilmu perniagaan mahupun sisi kehidupan yang lain. Mereka melayan saya dengan baik, seharusnya saya menghargai masa yang ada.

Di sisi yang lain, saya memerhati orang lain. Mendengar dan melihat, tetapi kadang-kadang tidak perlu bercakap. Cukup diri sendiri tahu, membuat konklusi berdasarkan imbangan yang disetujui. Di dalam bidang fotografi perkahwinan, isu yang selalu menjadi bual-mulut ialah harga, produk dan atitut. Saya selalu menilai kerja-kerja hasil tangan orang-orang terdahulu, membaca blog-blog cerita perihal selaku jurugambar perkahwinan. Ada yang biasa-biasa, ada yang memang cantik di hati saya, ada yang memberi inspirasi dan macam-macam lagi. Di ruang maya, tak kurang juga ada cerita-cerita yang tidak enak didengar. Bagi saya, ini semua persaingan. Sama ada persaingan sihat atau tidak, kita boleh nilai di mana titik kita sedang berada. Pandangan kita tidak sama, citarasa juga tidak sama. Samalah ketika kita menyakinkan bakal client tentang produk kita. Ada yang suka ikut trend masa kini, ada juga yg hendak seperti zaman yang sudah. Ini pengalaman saya sendiri. Permintaan client hendaklah dihormati, lantaran saya juga terpaksa menggodek perihal style zaman yang sudah.

Soal harga, bagi saya, eloklah harga itu diukur kepada kemampuan diri sendiri. Saya positif dengan perkembangan industri fotografi perkahwinan hari ini. Saya suka melihat kesungguhan orang lain, tetapi kadangkala pandangan itu tersasar juga. Ini semua dari hati dan kemampuan menguasai skil teknikal tertentu. Tapi kita jangan sombong bila dinasihati ataupun ditegur oleh orang lain. Kita semua sama-sama belajar. Bezanya boleh kita lihat dari hasil akhir gambar. Perbezaan org lama (baca: oldtimer) dan mereka yang baru setahun pegang kamera memang agak jauh bezanya. Ada juga orang lama (baca:oldtimer) yang sudah lama pegang kamera tetapi masih belum jumpa tema produknya sendiri. Yang tua dihormati, yang muda disayangi. Seharusnya kedua golongan ini hendaklah saling memahami. Jangan disamakan kemampuan diri sendiri dan orang lain sekiranya masih belum sedia. Dunia hari ini semakin 'laju'. Siapa ada jati diri yang tinggi, faktor masa bukan lagi menjadi pengukur kebolehan seseorang. Tetapi kemahuan untuk melaksanakan impian itulah yang paling penting sekali. Namun bila membina impian, fikirkan faktor internal dan eksternal yang ada pada diri kita.

"Tiada impian setinggi mana, semua boleh dicapai" - Sang Pemimpi, Band Naif (Indonesia)

Berkaitan dengan atitut; di sekeliling saya mempunyai ramai peminat seni fotografi. Sudah tentu kita secara automatis boleh mencium aura-aura yang ada. Bila berbual-bual tentang idola seni, seharusnya kita menghormati pandangan dan mengapa si dia itu menjadi idola si kawan yang tadi. Betapa tidak elok, sedang kita sedap-sedap berbual, tiba-tiba kamu mencela keburukan si idola tadi di hadapan si pencerita. Mula-mula saya boleh menerima kelemahan kawan tersebut, tetapi bila terlalu banyak celaan, saya menjadi ragu. Bagaimana sang idola boleh menjadi maju dengan keburukan-keburukan yang disebut-sebut? Bagaimana mereka yang mengata, masih berada di tampuk yang sama. Ada juga yang mengata, tetapi jalan mereka terus maju ke hadapan. Itulah manusia, tidak pernah cukup. Apa pun, apa yang penting hormatilah pandangan sesiapa pun asalkan pandangan tersebut tidak meloyakan pula di pihak yang satu lagi. Terlalu banyak cakap pun tidak berguna, padahal eloklah masa yang ada itu kita mencari stok-stok gambar yang lagi bagus. Mungkin lebih bagus dari si idola yang kita kutuk tadi. Lebih banyak jumlah ringgit kita perolehi di atas usaha yang kita buat sendiri.

Betul kata idola saya, orang hendak berjaya tidak akan ada masa untuk memikirkan kelemahan orang lain.

Siapa idola saya? Itu tidak penting. Baik kamu berusaha mencari gambar yang lagi bagus. Hehe.

Salam fotografi.

No comments: