Thursday, February 10, 2011

Pinggiran Kota Tua Surabaya - part 1.


Cerita di Surabaya belum habis. Malah saya rasa macam susah hendak habiskan. Saya tertarik dengan suasana hiruk di Surabaya. Gambar-gambar di atas diambil di pinggir Surabaya, sekitar Kenjeran dan Gresik. Tidak seperti pekerja-pekerja Indonesia di Malaysia, wajah orang Indonesia di sini begitu 'lembut'. Berpapasan dengan anak-anak ke sekolah, pengayuh beca, penjual ikan bakar, pekerja buruh di jeti pelabuhan; semuanya sama. Kita seringkali mendengar masalah internal di negara mereka, tapi saya yakin mereka juga sayangkan negera mereka. Hidup dan mati adalah di negara mereka sendiri. Serius, wajah mereka memang 'lembut'. Walaupun kita boleh melihat kesusahan (pada sesetengah tempat) tapi mereka tetap kuat untuk melalui kehidupan harian. Tanah mana yang tidak diusik untuk tujuan pertanian mahupun kegiatan ekonomi yang lain. Saya kagum melihat sawah padi, kebun jagung apatah lagi ladang sayur-sayuran yang sangat luas. Saya rasa negara Indonesia memang kaya raya, tapi entahlah mungkin sebab faktor penduduk yang beratus juta, kerajaan mereka begitu berhati-hati mengagihkan infrastruktur keperluan kepada penduduk. Saya yakin kerajaan mereka juga berhempas pulas untuk memberi kesenangan kepada lebih 200 juta penduduk di negara mereka.

Cuma mungkin ada yang kurang sabar, kurang berusaha mahupun sebab-sebab yang lain yang saya tidak tahu. Atau mungkin sebab-sebab itu sebab yang biasa ada di mana-mana negara. Hmm.. apa pun, saya merancang untuk datang setiap tahun ke Indonesia. Bagi saya, tiada kecantikan berulang di sana sebab semuanya unik-unik belaka. Tidak salah kita memenuhi kehendak diri kita asalkan ianya relevan dan boleh dicapai dengan kemampuan diri. Mudah-mudahan.

Thursday, January 27, 2011

Cerita hari ke 27.

Transeksual, pondan, 2 alam, gay, lesbian atau apa-apa lagi penggolongan terhadap naluri songsang ini merupakan isu tabuu yang sudah wujud semenjak di zaman awal. Kita dikejutkan dengan pengakuan berani seorang lelaki berbangsa Melayu dan beragama Islam tentang naluri songsang beliau sebagai gay. Di mana-mana tempat pun kita boleh melihat golongan naluri sebegini. Ada yang berani secara terang-terangan mahupun peringkat masih kadar cuba-cuba. Saya mempunyai beberapa orang rakan sedemikian. Semasa remaja, saya tidak nampak lagi ke-serius-san perilaku mereka. Namun semenjak menginjak ke zaman dewasa, hati saya berbaur-baur.

Saya selalu mengingatkan diri saya tentang hukum Pencipta kita. Kejadian Tsunami Acheh, marahnya Merapi, malahan banjir-banjir kilat di negara kita memberi keinsafan kepada saya, dan percaya hukum Allah s.w.t tidak mengira golongan. Samaada alim ulama, kaya raya, yang jahil, yang kurang upaya; apabila ianya datang, ia tetap memberi kesan kepada kita semua. Tidak semua dari kita mengambil iktibar tentang tanda-tanda kekuasaan Allah s.w.t. Apabila DIA mengkehendaki, maka terjadilah.

Masyarakat lebih suka mengambil jalan pintas, menghukum dan mencemuh mereka. Saya juga sebahagian dari masyarakat itu. Saya menganggap mereka golongan yang memang sudah menempah tempat di neraka. Tiba-tiba saya terdetik; mereka sudah tahu perbuatan mereka adalah salah, tetapi sekiranya mereka berbuat baik ataupun melakukan sesuatu yang mendatangkan kebaikan kepada orang lain, adakah kebaikan itu diambil kira oleh Si Tukang Kira? Di kiri kanan kita mempunyai malaikat pencatat dosa dan pahala. Ke neraka atau syurga, itu bergantung kepada perilaku kita semasa hayat.

Saya fikir, semua manusia mempunyai sisi hitam mereka sendiri. Saya yakin setiap manusia mempunyai peluang untuk menjadi manusia yang lagi baik walaupun kita selalu mengulangi perbuatan yang salah. Perihal isu mereka yang mempunyai naluri songsang ini; saya hanya mampu mendoakan perkara-perkara kebaikan kepada mereka. Semakin saya dewasa, semakin saya faham tentang kehidupan. Manusia diturunkan ke bumi setelah berbuat silap / mengingkari suruhanNya. Tetapi Adam dan generasi seterusnya diberi peluang untuk mengumpul kekayaan di akhirat kelak.

Janganlah dihina golongan ini. Sebaik-baiknya kita tidak henti-henti menghantar doa kepada Allah s.w.t supaya kita dan mereka diberi hidayah sehingga ke hari yang terakhir. Hari ini di Facebook saya, saya menyebut berkaitan dengan kekejaman manusia terhadap binatang.

mana-mana agama tak ada mengajar utk menyiksa binatang. haram dipegang, haram dimakan, tp tak ada rules pun bahawa binatang tersebut boleh diseksa. jangan jahat doh!

Apatah lagi kita sesama manusia. Walaupun golongan ini sudah dilabelkan jelas dengan balasan Allah s.w.t, tetapi kita tidak berhak menyakiti mereka. Saya percaya, agama lain pun tidak diajar sedemikian. Mereka mungkin 'cacat' pada satu sisi, tetapi saya yakin mereka juga seperti manusia yang lain. Mereka juga punya keinginan untuk berubah ke satu sisi yang lain, namun ini bukan sesuatu yang mudah. Doakan saja yang terbaik, mereka juga manusia seperti kita.

Selamat malam.

Tuesday, January 25, 2011

Cerita hari ke 25.



Hari ke 25 dalam bulan Januari tahun 2011. Hari ke 25 saya sudah ditamatkan kontrak oleh Kementerian Pelajaran Malaysia, pekerja sebagai Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT). Saya tidak berkeseorangan, tetapi ada lagi 11, 999 orang lain yang juga ditamatkan perkhidmatan secara kontrak ini. Macam-macam artikel berita keluar tentang isu GSTT ini. Namun sudah hari ke 25, belum ada tanda-tanda positif yang menyenangkan. Saya masih positif dengan keadaan ini walaupun saya sudah tidak mahu percaya dengan janji-janji sebelum ini.

Manusia, kita mudah merasa terdesak apabila kedudukan kita diancam. Terpaksalah kita mengadakan beberapa idea untuk membantu kita terus melalui kehidupan seharian yang memerlukan saraan wang ringgit. Nasib baiklah saya ada kemahiran yang satu lagi, hari ini hari ke 25 saya bekerja sendiri. Tahun lepas saya cakap, saya mahu berhenti untuk ambil gambar orang kahwin. Ini kerana passion saya bukan ke arah ini. Saya mungkin lebih terarah kepada bukan bidang komersial. Namun tahun ini, saya rasa Tuhan mengarahkan saya supaya berusaha menjadi lebih baik. Hari ke 25 sebagai Jurugambar Sepenuh Masa bukan perkara yang senang. Syukurlah, sedikit-dikit saya menyimpan dan mencari ilmu dalam bidang yang saya cintakan ini. Saya bekerja secara online dan ada masa tertentu saya akan keluar untuk berjumpa dengan bakal client. Bunyinya macam sudah bertahun menjual gambar, tapi ya, ini tahun ketiga sebenarnya saya telah menjadi seorang penjual gambar. Cuma tahun ini, 2011, saya tidak mempunyai majikan. Saya mengajak dua orang rakan kongsi untuk sama-sama berniaga menjual gambar.

Sudah hari ke 25.

--------------------------------------

Bila saya lihat tulisan-tulisan saya pada tahun 2009, saya dapati azam tahun 2008, 7 daripada 10 buah azam sudah saya capai. Ini memang menggembirakan. Namun pada tahun 2010, tidak banyak azam saya tercapai. Tetapi azam yang tidak tercapai itu telah digantikan dengan perkara yang lagi hebat. Tahun 2010 adalah tahun banyak berjalan dan tahun ramai kawan baru. Saya suka dengan perkara ini. Saya mengembara ke tempat lain dengan gambar-gambar baru dan mula merindui momen-momen itu. Macam anak kecil, yang bercita-cita besar, kemudian apabila sudah besar saya gembira kerana sudah mencapai apa yang saya mahu. Tetapi sebenarnya itu bukan impian semasa kecil, semuanya datang secara tiba-tiba. Bidang fotografi pun bukan impian semasa kecil. Saya mula mencintai bidang ini sejak di universiti lagi. Ah, berapa tahun sangat kan?

Tahun lepas, saya jadi seorang guru. Saya gembira dengan bidang tugas ini, tetapi tiada rezeki untuk ke jawatan tetap. Dulu tak terfikir pun akan menjadi seorang guru, sebab masa itu saya fikir pekerjaan guru tak sesuai buat saya. Siapalah mahu; berbelas tahun berhadapan dengan buku, takan sampai ke mati pun nak menghadap buku lagi? Nah Tuhan balas kesombongan saya itu. Bukanlah maksud saya, semua orang mesti menjadi seorang guru. Tetapi Tuhan balas dan suruh saya menjadi apa yang saya tidak mahu.

Dalam masa yang sama, saya bertekad untuk menjadi anak watan yang dapat menyumbang sesuatu dalam masyarakat.

Saya tidak mahu menjadi guru?
Saya mahu menjadi anak watan yang menyumbang sesuatu kepada anak negeri saya?

Tuhan bagi saya benda yang saya tidak mahu. Tetapi siap berbonus, DIA berikan pula apa yang saya mahukan. Saya jadi malu. Malu sebab saya tidak mahu, DIA berikan juga dan ditambah lagi benda yang saya mahu. Rancangan Tuhan memang sudah teratur lama.

Menjadi seorang guru, memang mengubah diri saya. Atitud saya, keperluan saya, malahan keperibadian saya. Banyak perkara-perkara positif yang sudah saya lakukan. Saya tahu saya hanyalah guru sandaran di sekolah itu, tetapi saya sudah menjadi seorang 'pemburu'. Saya bersaing dengan guru tetap yang lain (hanya dalam pertimbangan saya sendiri).

Malulah saya, kalau saya berfikiran; Oh, guru kontrak pun, buat apa nak serius?

Nasib baik saya bukan berpendirian seperti itu. Beza saya dengan guru tetap, saya tidak berlatarbelakangkan ijazah pendidikan. Tetapi bidang tugas saya adalah sama seperti guru tetap. Tak salah saya mencabar diri sendiri untuk sama-sama bertugas seperti guru tetap yang lain. Memang agak payah sebenarnya, tapi nasib baik saya mempunyai pengalaman kerja yang lain. Cuma tanggungjawab menjadi guru ini adalah SUPER BESAR, kepada para pelajar, sekolah dan masyarakat.

Kalau diberi peluang, saya mahu mengajar lagi. Kalau dapat subjek yang saya suka pun, mestilah saya super gembira.

2 minggu selepas seisi persekolahan dibuka, bekas pelajar saya sibuk bertanya khabar saya. Mereka kata mereka rindu saya, mereka hairan kenapa saya tidak berada di sekolah. Semasa masih mengajar dulu, saya selalu ingatkan mereka bahawa saya hanyalah guru kontrak dan hanyalah bertugas sementara. Mungkin mereka sudah lupa. Ya, sangat menghibakan bila saya tahu rupanya saya sudah menjadi 'sebahagian' dari mereka. Di akhir pesanan, saya menyuruh mereka supaya belajar bersungguh-sungguh dan jangan hampakan orang tua. Jangan lupa hormat guru yang lain kerana selepas ibu bapa, gurulah orang terpenting untuk mendidik anak bangsa.

Selamat menjalani kehidupan seharian.